Oleh Nurizan Abu Kassan
TIDAK dinafikan, keserasian melalui filem Sembilu yang ditayangkan pada tahun 1994, gandingan penyanyi rock terkenal, Datuk Awie serta primadona filem Melayu, Erra Fazira membuatkan para peminat sentiasa merindui kemunculan mereka berdua.
Justeru, tidak hairanlah apabila masih terdapat banyak permintaan untuk keduanya bersatu semula di atas satu pentas.
Menyedari perkara itu, FazzBuzz Event dan Media Sdn Bhd dengan kerjasama Awie Entertaiment dan HS Shazlicious membawakan Showcase Awie Romantika, kali ini bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 20 Ogos ini.
Pengarah Urusan FazzBuzz Event dan Media, Fazura Azima AG Sha selaku penganjur utama berkata, pemilihan Awie bersama Erra adalah tepat dan merupakan konsert yang dinantikan para peminat khususnya di Sabah.
Baca juga: Erra Fazira lebih terbuka
"Awie dan Erra mempunyai ribuan peminat di Sabah, dan Sembilu juga memberi impak kepada kejayaan showcase ini kerana para peminat sentiasa merindui gandingan mereka berdua.
"Kami telah merancang showcase ini sejak dua tahun lepas. Kami sebenarnya mahu mengadakannya lebih awal, tetapi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang seterusnya memperlahankan keadaan,” katanya.
Tambah Fazura, dari segi konsep, persembahan dan pemilihan lagu, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Awie Entertainment yang lebih berpengalaman untuk mengendalikan hal tersebut.
"Dalam masa sama, pada showcase ini juga penonton boleh berhibur sambil menderma. Semua tahu di Sabah ada beberapa kawasan yang sebelum ini terkesan dengan banjir besar.
"Ramai keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta kekurangan sumber pendapatan untuk menampung kos kerugian akibat banjir tersebut,” ujar Fazura.
Sementara itu, Pengarah Urusan HS Shazlicious pula, Mubarak Akhtar berkata, persembahan itu adalah kesinambungan daripada konsert Romantika Awie yang menyifatkan gabungan Awie dan Erra masih relevan hingga kini.
"Persembahan yang berkonsepkan makan malam ini pasti meletup kerana ia mengembalikan nostalgia mereka dalam filem Sembilu. Showcase kali ini bukan hanya menyanyi semata-mata, tapi ada sedikit lakonan atas pentas yang bakal mengejutkan para penonton yang hadir,” ujarnya.
Erra serasi bersama Awie
Sementara itu, bagi Erra Fazira, keserasian yang dicipta bersama Awie dalam showcase sebelumnya memudahkankannya untuk menjayakan acara tersebut.
"Dari segi keserasian, kami sudah saling mengerti. Cuma, pada usia sekarang, ada beberapa perkara perlu diambil kira.
"Sudah semestinya kami ingin berikan persembahan terbaik. Walaupun ini hanya majlis makan malam, tetamu yang hadir adalah pembeli meja.
"Jadi, tak boleh nak main-main. Tentu saja mereka harapkan sesuatu yang menghiburkan daripada kami,” ujarnya.
Erra berkata, dia juga bersyukur digandingkan lagi bersama Awie dan berjanji akan memberikan persembahan yang berkualiti.
Baca juga: Awie rangka misi kemanusiaan buat Palestin
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan