PENINDASAN demi penidasan yang berlaku terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis telah menarik perhatian penduduk di seluruh dunia.

Menolak ke tepi isu agama dan bangsa, ramai berpendapat penduduk di Palestin tidak sepatutnya diperlakukan sesuka hati oleh Israel sehingga banyak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa.

Tertarik menghulurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin, penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie bakal melancarkan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin dan juga Syria sedikit masa lagi.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 53, akan bergandingan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara langkah awal yang dibuat adalah penghasilan lagu berjudul Palestina yang akan dijadikan lagu tema untuk menarik perhatian orang ramai turut sama menyumbang.

“Lagu ini baru sahaja siap akhir Mei lalu dan saya bersama sebuah NGO merancang mengutip dana bagi membeli keperluan rakyat Palestin dan Insya-ALLAH untuk rakyat Syria juga.

“Saya berharap lagu ini dapat diputarkan di semua stesen radio, untuk menarik perhatian ramai agar kita sama-sama menghulurkan bantuan.

“Walaupun isu di Palestin ini bukan isu baharu, tetapi kita perlu berganding bahu menghulurkan bantuan.

“Ini bukan tentang agama atau bangsa tetapi kemanusiaan. Kalau isu sama berlaku di negara lain, kita perlu bantu sebab manusia tidak sepatutnya ditindas sebegini,” ujarnya ketika ditemui media dalam sesi sidang media Sumbang Suara secara maya baru-baru ini.

Tambah Awie, pihaknya juga merancang mengutip dana daripada kerajaan, badan korporat dan membuat penghantaran terus ke sana.

“Bantuan itu akan dibahagikan kepada perubatan, makanan dan keperluan. Jika ada lebihan, kita berhasrat untuk menyumbang dalam bentuk wang ringgit juga,” jelasnya.

Bantu generasi muda

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, pelakon yang terkenal dengan watak Husin menerusi francais Kampong Pisang itu memberitahu, perancangan menyiapkan album terbaharu Wings terpaksa dihentikan seketika sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Iklan

Katanya, selain itu, filem terbaharu terbitan syarikatnya, Su On, Hantu Korea Sesat Di Taiping masih dalam proses post production dan akan siap sedikit masa lagi.

“Saya juga merancang mengeluarkan produk makanan di bawah jenama Awie Food dan antaranya adalah penjualan sambal. Saya mahu menjemput mereka yang mahu berniaga tetapi kurang berkemampuan, menerusi Awie Food terutamanya generasi muda.

“Mereka boleh jadi ejen. Insya-ALLAH bila semuanya pasti, saya akan buat pengumuman mengenai projek ini,” ujarnya.

Awie menyifatkan program Sumbang Suara sebagai sesuatu yang berbeza dan unik.

Dalam pada itu, ditanya penglibatannya dalam program Sumbang Suara yang sudah ditayangkan setiap Ahad, jam 10.30 malam di TV3, Awie berkata, dia dan Hazama menjadi Wakil Netizen atau juri dalam menentukan persembahan paling unik dan kreatif.

Iklan

“Uniknya mereka ini tidak mempunyai vokal mantap seperti pertandingan nyanyian lain tetapi keyakinan dan gaya penyampaian kreatif memikat hati kami.

“Program ini memang menarik dan lain daripada lain. Pada awalnya saya melopong juga melihat persembahan peserta, tetapi secara keseluruhannya program ini sangat menghiburkan.

“Kami juga cadangkan kepada TV3 untuk buat satu konsert khas Sumbang Suara yang menggabungkan juara minggu di atas satu pentas,” katanya.