KEJELITAAN dan kelunakan suara, malah prestasi yang dimiliki figura seni bernama Datuk Sri Siti Nurhaliza Tarudin membuatkan beliau berada dalam kelas tersendiri.
Jadi, tidak hairanlah namanya terus kekal relevan waima muncul penyanyi baharu bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Lebih tiga dekad bergelumang dalam industri seni, pelbagai pahit manis yang telah dilaluinya.
Pujian harus diberikan buat anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu kerana dirinya bukan sekadar memiliki bakat besar dalam seni lantun suara, bahkan keperibadiannya juga cukup menyenangkan.
[caption id="attachment_87453" width="635"] Anggun , cantik dan bergaya, idola bagi setiap wanita. Itulah dia Datuk Sri Siti Nurhaliza.[/caption]
Tidak hairanlah segala pengalaman yang dikutip sepanjang bergelar anak seni sedikit sebanyak mematangkan empunya diri.
Cantik, bergaya dan berjaya, itulah ungkapan yang layak dilayangkan buat dirinya yang dahulunya seorang gadis desa yang polos.
Bersyukur dengan kurniaan ILAHI atas bakat dan juga kejayaan, ujar Siti Nurhaliza yang mesra disapa Tokti mengakui pelbagai onak duri dilalui untuk sampai ke tahap ini.
[caption id="attachment_87455" width="800"] Bakal mengadakan persembahan pada November ini bagi mengutip dana untuk tabung Yayasan Nurjiwa.[/caption]
"Bercakap mengenai karier, setiap tahun pasti ada benda baharu dan impian yang saya nak buat. Walau bagaimana pun saya ikut flow. Sementelah usia saya kini sudah 43 tahun.
"Justeru, jika ada konsert baik yang besar mahupun kecil, saya akan cuba rancang bersama team dengan baik dan senyap-senyap terlebih dahulu,” ujar Siti Nurhaliza tatkala ditemui pada sidang media Music of Soul: An Evening With Datuk Sri Siti Nurhaliza yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur semalam.
Baca ni: Menangis di hadapan Kaabah, Siti Nurhaliza rindu jadi ‘orang biasa’
BINA SEKOLAH KANAK-KANAK DI GAZA
Mengulas lanjut mengenai impian sebagai anak seni, akui isteri kesayangan Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa itu, beliau enggan tergopoh-gapah, jauh sekali melakukan secara semborono dalam hal yang melibatkan kerjayanya.
[caption id="attachment_87449" width="800"] impian Siti Nurhaliza dan suami untuk membina sebuah sekolah untuk kanak-kanak di Gaza, Palestin terlaksana.[/caption]
Dek kerana itu, beliau tidak gemar menggembar-gemburkan benda yang belum tentu menjadi kepada orang ramai.
"Biasanya saya dan team akan plan terlebih dahulu. Apabila hampir terlaksana, barulah saya berani kongsikan dengan semua. Antaranya impian saya untuk tampil dalam teater muzikal, konsert kanak-kanak, konsert dalam taman dan sebagainya bakal terlaksana tidak lama lagi. Perancangan ke arah itu setakat ini berjalan lancar, alhamdulillah.
[caption id="attachment_87450" width="800"] Wajah-wajah riang anak-anak yang beajar di sekolah Afwa & Aafiyah.[/caption]
"Lagi satu impian saya dan suami untuk membina sebuah sekolah untuk kanak-kanak di Gaza, Palestin juga akhirnya tercapai. Sekolah yang ditubuhkan pada 5 Oktober 2021 diberi nama Afwa dan Aafiyah. Ia memfokuskan kepada pendidikan peringkat awal dalam bidang al-Quran dan akademik termasuklah mengenai akhlak, adab dan sebagainya,” ujar ibu kepada sepasang cahaya mata itu yang akan menyanyi dalam persembahan khas pada November depan sebagai usaha menambah dana bagi meneruskan usaha kebajikan di bawah Yayasan Nurjiwa yang dinaunginya.
[caption id="attachment_87448" width="800"] Sekolah ini memberi fokus kepada pendidikan peringkat awal dalam bidang al-Quran dan akademik termasuklah mengenai akhlak dan adab.[/caption]
Yayasan Nurjiwa merupakan pertubuhan kebajikan yang dinaungi Siti Nurhaliza bersama suaminya dalam membantu dan menghulurkan bantuan kemanusiaan serta bencana alam kepada yang memerlukan.
FISABILILLAH BERSAMA SUAMI
Tambah beliau lagi, persembahan kali ini bukan semata-mata untuk tujuan berhibur, tetapi bermatlamat mengajak para peminatnya untuk sama-sama berbuat kebaikan.
"Saya akui, apabila sudah bergelar ibu, saya ingin dedikasikan yang terbaik untuk anak-anak saya. Sepertimana orang lain, saya juga terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin khususnya di Gaza.
"Ada anak-anak di sana yang kecil yang terkesan dengan peperangan. Ada tempat yang hilang sekolah, justeru kita nak bantu mereka menjadi insan yang berjaya.
"Ini fisabilillah dan bekalan akhirat saya dan suami untuk beri pendidikan awal buat anak-anak Gaza,” ujar Siti Nurhaliza lagi.
[caption id="attachment_87454" width="791"] Keluarga bahagia... Sti Nurhaliza bersama suami dan anak-anak.[/caption]
TIDAK MANJAKAN DAN LIMPAHKAN KEMEWAHAN
Beralih kepada persoalan mengenai pembabitan anak-anak terutama Aafiyah yang dilihat seolah-olah ingin mengikut jejak langkahnya dalam bidang nyanyian, ini jawapan Siti:"Soal anak saya ikut jejak langkah dalam bidang seni, setakat ini dalam bentuk ilmu yang baik. Contohnya, saya tak pandai main alat muzik, jadi saya dedahkan Aafiyah masuk kelas piano supaya dia boleh baca note dan main alat muzik. Kalau betul-betul suka menyanyi, mungkin dia boleh belajar kelas vokal untuk gilap bakat."
Namun, untuk Aafiyah bergelar seorang penyanyi, Tok Ti dan suaminya berdoa agar si kecil itu tidak ke arah itu.
"Begitu juga dalam bab mendidik dan membesarkan anak-anak. Baik saya mahupun suami, kami tidak manjakan mereka (anak) dengan limpahan kemewahan. Bahkan, suami sangat tegas dalam hal-hal didikan anak-anak. Sebagai ibu, saya suka dedahkan dan mengikut cara ibu saya dalam mendidik anak-anak," tegas Tok Ti.
Baca lagi: Ibu nak nangis, tapi tahan saja.. - Siti Nurhaliza sebak Aafiyah mula bersekolah
KARAKTER ANAK BERBEZA
Mengulas lanjut mengenai karakter anak-anaknya, ujarnya, Aafiyah dan Muhammad Afwa, kedua-duanya sangat berbeza.
"Apa yang boleh saya ungkapkan adalah saya kini dalam fasa ibu yang sangat gembira. Sementelah anak-anak kini tengah membesar dan banyak benda yang mereka nak cuba. Termasuklah mereka suka mengikut apa yang kita buat. Jadi, sebagai ibu bapa, kami kena berhati-hati terutama sekali dari segi percakapan kerana anak-anak akan ulang apa kita akan cakapkan.
"Berbalik kepada soal karakter, kedua-duanya seperti saya katakan tadi sangat berbeza, tetapi apa yang saya perhatikan, kedua-duanya ada ciri-ciri saya dan suami. Apabila duduk berdua bersama suami, kami akan bercakap hal tersebut dan ketawa bersama. Bagi saya, anak adalah amanah dan tanggungjawab, jadi sebagai ibu bapa kami yang akan mewarnakannya.
"Insya-ALLAH sebagai ibu, saya berharap anak-anak kami menjadi insan yang soleh dan solehan yang bermanfaat kepada orang lain serta selalu bantu orang sepertimana yang ditunjukkan oleh saya dan suami. Apa yang kami berdua lakukan (kebajikan) , jadi kami nak anak-anak juga mengikut jejak langkah tersebut,” ungkap Siti Nurhaliza lagi sebelum menutup perbualan bersama penulis.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan