Taman Alam Kuala Selangor bakal jadi destinasi pelancongan bertaraf dunia, 300 unit calet dengan kos pelaburan RM100 juta

Iklan
tourism selangor

SINAR HARIAN terus mengekalkan momentum kecemerlangannya apabila diiktiraf sebagai Portal Online Terbaik dalam kategori bahasa Melayu oleh Tourism Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengarang Eksekutif (Gaya Hidup & Hiburan), Meen Tahrin, pengiktirafan yang diterima itu akan terus menjadi pemangkin kepada warga kerja Sinar Harian untuk terus membantu Tourism Selangor dalam usaha mempromosi sektor pelancongan di negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

"Terima kasih kepada Tourism Selangor kerana memilih Sinar Harian sebagai penerima salah satu anugerah. Kami amat berbangga dan terharu dengan pengiktirafan ini.

"Kami juga berharap hubungan dan kerjasama di antara Sinar Harian dengan Tourism Selangor akan terus erat," katanya yang mewakili Sinar Harian pada Majlis Apresiasi Media Tourism Selangor 2022 di Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Iklan

Anugerah itu disampaikan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Mohd Yazid Sairi dan dirasmikan Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor, Hee Loy Sian.

Iklan

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Sebanyak 26 anugerah disampaikan dan ia dibahagikan kepada liputan media terbaik bagi akhbar bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil.

Giat promosi

Sementara itu, Azrul Shah berkata, media memainkan peranan yang sangat signifikan dan berpengaruh dalam pembentukan pemikiran masyarakat dan negara.

"Justeru, syabas saya ucapkan kepada semua penerima anugerah bagi tahun ini.

"Teruskan mendukung usaha kerajaan negeri ke arah kemakmuran negara, kesejahteraan rakyat dan peningkatan industri pelancongan ke pentas global," ujarnya.

Baca juga Cuti-cuti di Selangor pun best! Ini menarik di Pulau Carey

Mengenai perancangan terkini Tourism Selangor, Azrul Shah berkata, pihaknya giat menganjurkan pelbagai bentuk program, acara dan aktiviti promosi pelancongan yang terdapat di sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak media sekali lagi dapat membantu memastikan kempen yang dianjurkan mendapat nilai liputan yang tinggi dan capaian baik di laman media sosial serta digital.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, kerajaan negeri juga sedang dalam usaha menyemarakkan sektor ekopelancongan, sekali gus menjadikan Selangor sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penyediaan pusat penginapan berkelas dunia.

"Jika mahu menarik pelancong luar negara, kita perlu ada star rate hotel untuk menarik mereka tinggal lebih lama. Di Selangor misalnya, kita tidak mempunyai kemudahan tersebut.

"Hal itu menyebabkan semua pelancong akan menginap di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Subang Jaya dan bercuti ke Selangor secara harian sahaja. Mereka ke Kuala Selangor atau Sekinchan untuk melihat Sky Mirror, Taman Kelip-Kelip, makan makanan laut kemudian terus balik," katanya.

[caption id="attachment_88776" width="800"] IHSAN foto MKDS.[/caption]

Kegagalan menarik pelancong untuk tinggal lebih lama merugikan sektor ekonomi tempatan, ujar Loy Sian.

"Apabila pelancong luar datang ke negara kita, mereka akan membelanjakan wang termasuk hotel. Jika kita dapat tarik mereka untuk tinggal lebih lama, ia secara tidak langsung akan bantu ekonomi orang tempatan. Sudah pasti mereka perlukan pengangkutan dan makanan," ungkapnya.

Baca juga Dari Sekinchan ke Kuala Selangor, rasai pengalaman bermalam di pinggir sawah padi

Selaras dengan misi berkenaan, Loy Sian memberitahu, Taman Alam Kuala Selangor yang terletak di Kuala Selangor telah dicadangkan untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

[caption id="attachment_88772" width="800"] IHSAN foto MKDS.[/caption]

Berdasarkan rekod, taman berkenaan yang berkeluasan kira-kira 296 hektar dibuka pada tahun 1987. Ia terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu hutan hujan tropika dan selebihnya merupakan hutan paya bakau.

Antara pelannya adalah menyediakan calet bertaraf tiga atau empat bintang untuk menarik perhatian pelancong asing.

Jelasnya, Taman Alam Kuala Selangor akan diberikan permit penggunaan selama 30 tahun kepada syarikat yang akan membuat pelaburan RM100 juta bagi pembangunan calet.

Baca juga Blue Tears, penemuan luar biasa di Kuala Selangor. Laut bercahaya dengan warna kebiruan

"Secara dasarnya, kerajaan negeri bersetuju dan kini di peringkat perbincangan menyiapkan perjanjian termasuk ulasan dari jabatan berkaitan.

"Cadangan itu antara lain akan membabitkan 300 unit calet di kawasan berkeluasan 80 hektar.

"Jika mendapat kelulusan, projek berkenaan dijangka akan bermula pada tahun depan dan mengambil masa setahun atau dua tahun bagi membangunkan struktur," katanya. - Oleh NORAFIZA JAAFAR

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan