SEANDAINYA anda membuat carian di Google, tiada banyak informasi yang boleh dihadam tentang personaliti bernama Munaa Bella Mohamad.
Namun, kepada anda yang merupakan pendengar setia Daebak ERA yang bersiaran dari hari Isnin hingga Jumaat (8 hingga 12 malam) sejak tahun 2020, nama Munaa bukan asing lagi. Daebak ERA merupakan platform yang diwujudkan untuk orang ramai mengetahui tentang perkembangan semasa dunia hiburan Korea termasuk mempelajari bahasa Korea.
Ketika bertentang empat mata dengan wanita berusia 29 tahun itu pada sesi fotografi bersama SinarPlus beberapa hari lalu, Munaa teruja ketika menceritakan bagaimana titik mula peluang bergelar penyampai radio datang menerpa.
"Saya memang minat dengan bidang ini. Pada mulanya, saya mencuba nasib dengan menyertai pertandingan Personaliti Top ERA yang mencari bakat baharu pada tahun 2019. Ketika itu, saya memuat naik satu video di laman Instagram dan tak sangka antara ribuan orang, saya terpilih untuk disenarai pendek.
"Alhamdulillah, ALLAH telah berikan saya rezeki terindah apabila saya dilantik menjadi penyampai ERA bermula tahun 2020 selepas mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu," katanya membuka mukadimah cerita.
Pun demikian, memandangkan pada tempoh berkenaan, wabak Covid-19 membadai dunia, Munaa hanya bersiaran secara langsung dari rumah, sebelum diminta bertugas di konti radio.
SISIHKAN TANGGAPAN SKEPTIKAL
Anak sulung daripada dua beradik itu mengakui, memiliki asas yang utuh dalam bahasa Korea sememangnya telah memberi kelebihan kepada beliau.
Pun demikian, menerajui satu segmen khusus bahasa yang ditutur oleh 79.2 juta manusia di seluruh dunia itu mendorong Munaa untuk sentiasa memperbaiki kosa kata dan apa juga inti pati yang berkaitan.
"Saya sangat minat dengan bahasa ini dan ya, saya kini masih belajar dan belajar. Selain itu, apa sahaja yang berkaitan dengan industri K-Pop dari segi drama, filem, resipi, berita terkini atau idola, saya pastikan diri saya tak terlepas untuk mendapatkan segala informasi," katanya.
Menjadikan kontinya lebih rancak dan bertenaga, Munaa bersyukur apabila digandingkan dengan penyampai, Fazziq Muqris. Pembaharuan itu katanya, menjadikan slot berkenaan bertambah menarik dengan susunan kandungan yang lebih segar sehingga membuatkan pendengar enggan berganjak dan kekal pada frekuensi sama.
Kepada SinarPlus, anak kelahiran Pulau Pinang itu meluah rasa. Katanya, pada umur yang masih muda, ditambah dengan semangat yang masih berkobar-kobar telah merangsangnya memperluaskan cabang kerjaya.
Masakan tidak, selain sudah bergelar penyampai radio, Munaa melebarkan sayap dalam dunia lakonan, pengacaraan, peragaan termasuk menjadi penyedia kandungan menerusi media sosial.
TIDAK GENTAR MENCUBA
Berpegang teguh dengan prinsip hidup biar gagal mencuba daripada menyesal tidak sudah, Muna memberi syarat kepada dirinya sendiri supaya tidak gentar mencuba 'benda-benda' baharu.
"Di dalam hidup ini, kita tidak mahu timbul penyesalan pada kemudian hari. Sebab itu, pada usia sekarang, saya mahu mencuba pelbagai perkara. Sekarang ini, saya sudah menceburi bidang pengacaraan, penyampai radio dan sebagainya, tetapi belum cukup lagi.
"Saya selalu pesan pada diri sendiri. Jangan malu untuk mencuba, gagal sekali tidak bermakna akan gagal buat selama-lamanya. Jadi, kepada anda di luar sana yang ingin menceburi arena hiburan, tetapi rasa malu dan segan, buang sifat sedemikian jika mahu berjaya. Lakukan yang terbaik dan selebihnya kita serahkan pada-NYA," ujar graduan Universiti Teknologi Mara Malaysia itu.
Meskipun pada awalnya Munaa kurang berkeyakinan untuk terjah ke bidang seni lantaran berasakan diri tidak akan mendapat tempat disebabkan berhijab, namun akhirnya tanggapan tersebut dibenamkan.
YUNA & SHERRY AL HADAD
Itu semua gara-gara selepas melihat keupayaan penyanyi lokal bertudung, Yuna yang berjaya menjulang nama di pentas antarabangsa.
"Tidak dinafikan, mula-mula nak masuk bidang ini, saya rasa macam tidak selamat sementelah tidak ramai wanita yang menceburi bidang hiburan berhijab. Namun, tatkala melihat Yuna, perspektif saya berubah.
"Saya suka gaya fesyen dan pembawakan diri Yuna. Beliau berjaya menjadi dirinya sendiri walaupun dikelilingi oleh kelompok dan selebriti bertaraf dunia yang berbeza agama dan budaya. Yuna merupakan inspirasi saya dari dulu sampai sekarang," ungkapnya memahat kata.
Personaliti yang meminati pereka fesyen tempatan seperti Rizman Ruzaini, Rizalman, Alia Bustaman dan Nurita Harith meneruskan plot cerita. Ujar beliau, bukan hanya Yuna menjadi rujukan, tetapi selebriti terkemuka, Sherry Alhadad juga ialah idolanya.
"Dalam bidang pengacaraan, Sherrylah orangnya. Semua sedia maklum dengan kebolehan Sherry dalam mengendalikan sesuatu program. Beliau cukup bersahaja dan sangat elegan. Bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pengacara versatil sebegini.
"Itulah yang ingin saya capai dalam bidang ini. Ya, saya sedar perjalanan ini masih jauh lagi, tapi bak kata pepatah Inggeris, practice makes perfect dan inilah yang sedang lakukan," katanya panjang lebar.
KONTROVERSI & TEH HIJAU
Penulis kemudian sengaja menyogoknya tentang soal populariti yang kerap ditagih oleh pendatang baharu.
Bukan apa, semenjak dua menjak ini, ramai yang dilihat seperti terdesak mengguna pakai taktik mencipta konten kontroversi untuk pantas dikenali.
Ditanya adakah Munaa memilih jalan serupa memandangkan beliau lebih dikenali dalam liganya sahaja? Dengan nada tegas, empunya diri menolak formula berkenaan.
"Tugas penyampai radio bukan sekadar menghiburkan, tetapi menyampaikan ilmu. Kami kena tahu batas, kena fikirkan kesan baik kepada diri sendiri, keluarga dan orang ramai. Sebab itu, melalui program yang saya buat sekarang, walaupun lebih kepada hiburan, tetapi saya kongsikan pelbagai info, selain mengajak pendengar belajar bahasa asing bagi menambahkan lagi pengetahuan.
"Bohonglah kata kalau saya tak teringin untuk nama saya dikenali, tetapi saya memilih untuk orang melihat bakat saya, bukannya kontroversi atau benda yang tak elok atau negatif tentang saya. Saya juga perlu menjaga nama baik keluarga saya," tuturnya tegas.
Daripada memikirkan itu semua, kata Munaa, lebih baik beliau memfokuskan impiannya yang mahu mengendalikan program ala-ala travelog sendiri.
Selaku pencinta kopi, penggemar rona pastel itu suka melakukan aktiviti kembara gastronomi dengan mengunjungi destinasi makan yang trending di dalam atau di luar negara, di samping berswafoto.
"Saya memang berkeinginan untuk ada satu rancangan yang membolehkan saya bekerja dan serentak dengan itu, berpeluang untuk merasai pengalaman serta melakukan sesuatu yang saya sukai pada masa sama.
"Mungkin belum tiba waktunya lagi, tetapi tidak mustahil andai suatu hari nanti apa yang saya hajatkan akan jadi kenyataan, insya-ALLAH," katanya lagi.
Sebelum kami mengucapkan selamat tinggal, penulis cuba menggali rahsia bagaimana beliau menjaga kesihatan diri. Maklumlah, Munaa sentiasa sibuk pada setiap hari.
Tiada masalah untuk berkongsi petua, beliau mengakui mengamalkan meneguk teh hijau sebelum tidur pada setiap hari.
"Ia membantu saya tidur dengan lena termasuk membantu saya menjaga kulit dan mengawal berat badan. Biasanya saya akan bubuh biji chia bersama di dalam teh ketika suhu masih panas.
"Saya jenis yang sukar minum air, jadi bila tambah biji chia terasa lebih seronok nak minum," tuturnya.
Pada petang itu, Munaa mengakhiri wawancara kami dengan mengucapkan jutaan terima kasih kepada insan-insan yang cukup baik dan sentiasa memberi sokongan serta dorongan tidak berbelah bahagi kepadanya.
"Selain keluarga, saya juga sangat terhutang budi kepada ahli keluarga ERA yang merupakan tulang belakang dalam menggilap gilap bakat saya untuk jadi Munaa Bella sekarang. Antaranya seperti Radin, Hanif, Ray dan Dina.
"Sejak dari awal pembabitan saya dalam bidang ini, mereka banyak memberi tunjuk ajar bagaimana untuk jadi penyampai radio yang baik. Saya sangat menghormati setiap daripada mereka dan merekalah guru saya," ungkapnya dengan nada terharu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan