KARTUN dan kanak-kanak memang sangat sinonim. Karakter kartun secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan emosi dan mental kanak-kanak.
Pada asasnya kartun merujuk kepada lukisan yang dimaksudkan sebagai karikatur, satira atau humor, atau rancangan televisyen pendek atau filem animasi yang biasanya dimaksudkan untuk kanak-kanak.
Kartun juga sering menggambarkan wira-wira, haiwan antropomorfik, misteri dan sebagainya. Kartun biasanya ditonton oleh kanak-kanak dan memang mereka akan gembira apabila menonton kartun.
Bagaimanapun, terdapat beberapa kartun yang mengandungi unsur bahaya.
Berikut lapan kartun yang mengandungi unsur bahaya serta boleh merosakkan emosi anak-anak;
1. Siren Head
Kartun Siren Head yang muncul buat pertama kali pada tahun 2018 merupakan karya seniman bertema seram dari Kanada, yang dikenali sebagai Trevor Henderson. Kartun seakan mumia ini tidak memiliki mata, hidung, telinga kerana ia berkebolehan mengesan mangsa melalui kuasa ghaib yang dimilikinya.
Dikatakan hantu ini kerap muncul di daerah terpencil atau di lokasi yang berhampiran dengan hutan. Disebabkan struktur badannya yang kurus dan berwarna besi karat, hantu Siren Head ini begitu mudah bersembunyi di sebalik pokok hingga tidak disedari oleh mangsa.
Mangsanya ialah orang yang tersesat, pejalan kaki termasuklah kanak-kanak. Hantu ini berkebolehan mengeluarkan pelbagai jenis bunyi termasuklah suara orang meminta tolong yang akhirnya mengumpan mangsa.
2. Long Horse
Kartun Long Horse juga merupakan karya seniman bertema seram, Trevor Henderson. Makhluk yang kelihatan seperti mempunyai tengkorak kuda tidak berahang di kepala ini dikatakan mempunyai sifat suka mengambil berat mengenai manusia, bertindak sebagai pelindung serta memberi amaran kepada mereka tentang bencana kerana ia mampu meramalkan bencana.
Kartun ini juga dikatakan boleh memasuki mimpi manusia dan ada yang membuat spekulasi bahawa Long Horse adalah malaikat yang dihantar oleh Tuhan.
3. Huggy Wuggy
Dilancarkan pada tahun 2021, kartun ini adalah beruang biru yang mempunyai gigi tajam, rambut kerinting dan muncul dalam siri yang disebut Poppy Playtime.
Ia kelihatan seperti tidak berbahaya tetapi sebenarnya satu karakter yang boleh membuat penonton menggigil disebabkan tindakannya yang menakutkan.
Apa yang perlu diketahui oleh ibu bapa mengenai karakter ini ialah:
- Menggunakan kata-kata yang menyinggung perasaan.
- Menggambarkan penggunaan alkohol.
- Menunjukkan aksi menikam, memenggal kepala.
- Menunjukkan percubaan membunuh.
4. Kissy Missy
Setahun selepas pelancaran kartun Huggy Wuggy, Kissy Missy pula muncul. Penampilannya seakan Huggy Wuggy, cuma ia berwarna merah jambu.
Perwatakan Kissy Missy yang suka mencium kanak-kanak dianggap sebagai mainan yang selamat, penyayang dan baik hati.
5. Nights At Freddy’s
Permainan video ini cukup popular dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini. Namun, ramai yang mengalami mimpi ngeri atau kesukaran tidur selepas bermain permainan ini.
6. Cartoon Cat
Selain Siren Head dan Long Horse, kartun Cartoon Cat juga merupakan karya seniman bertema seram, Trevor Henderson. Kartun ini mempunyai kebolehan boleh ghaib.
Cartoon Cat digambarkan sebagai kucing lucu tetapi sebenarnya mempunyai niat jahat, pendengki serta melakukan kekejaman yang tidak disangka-sangka.
7. Among Us
Kartun ini menunjukkan aksi ganas seperti mangsa ditikam dengan pisau atau lidah tajam, atau ditembak dengan pistol dan leher mangsa dipatahkan. Kartun ini menunjukkan cara berfikir dengan cepat dan menjadi pembohong yang baik.
8. Happy Tree Friends
Mungkin kartun ini kelihatan comel di mata kita tetapi sebenarnya ia menunjukkan pembunuhan yang sangat mengerikan. Banyak episod yang ditayangkan mengandungi unsur kekejaman, darah dan kematian.
Baca juga Anak asyik minta telefon, ibu ini kongsi 5 cara elak si kecil ketagih gajet
Kartun-kartun seperti ini akan memberi kesan kepada anak-anak, antaranya ialah:
1. Mereka akan takut atau berasa trauma apabila berada di tempat gelap untuk jangka masa yang panjang.
2. Mempengaruhi minda anak-anak sehingga mereka tidak dapat membezakan antara permainan atau realiti kehidupan.
3. Penggunaan kata-kata yang tidak baik dan tidak sesuai didengari oleh anak-anak seperti dalam lagu Huggy Wuggy yang bermaksud,"Saya boleh memeluk awak di sini selamanya, sehingga awak boleh menghembuskan nafas terakhir bersama-sama. Gigi saya yang tajam, awak dalam genggaman saya”.
4. Anak-anak akan bertindak agresif kerana sering melihat tindakan berbahaya seperti pukul-memukul dan tidak tahu bahawa tindakan tersebut adalah salah.
Oleh itu, ibu bapa haruslah memantau aktiviti anak-anak lebih-lebih lagi apabila mereka menonton sebarang video kerana dikhuatiri ada unsur-unsur yang boleh merosakkan emosi dan perkembangan anak-anak.
Selain itu, sekiranya anda terlihat atau mengenal pasti mana-mana video di YouTube contohnya yang mempunyai unsur keganasan, sila laporkan dengan cara:
1. Klik butang seperti ("…”) di bawah video yang ditonton.
2. Cari pilihan ‘report’ dan klik.
3. Pilih jenis kesalahan.
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.