SUKAR untuk digambarkan perasaan ibu bapa apabila mengetahui empat anak mereka bakal menjadi buta sebelum berumur 30 tahun.

Namun, itulah hakikat yang barangkali paling pilu bakal direntas pasangan suami isteri, Sebastien Pelletier dan Edith Lemay.

Situasi yang menarik perhatian dunia itu menjadi perbualan hangat apabila laman Facebook CNN dibanjiri dengan kata-kata semangat berbaur kesedihan.

Lapor CNN, tiga daripada pasangan tersebut iaitu Mia, 12; Colin, 7; dan Laurent, 5, telah didiagnosis menghidap Retinis pigmentosa iaitu penyakit yang berkaitan dengan masalah penglihatan.

Secara umumnya, Retinis pigmentosa yang mempunyai korelasi rapat dengan genetik itu terjadi akibat gumpalan pigmen retina.

Akibatnya, seseorang akan sukar melihat dengan jelas pada waktu malam.

Baca ni ‘Suami tunggu dalam kereta jaga anak.’ MUA Bellaz kenang kembali kesusahan masa mula berkahwin

Untuk rekod, Pelletier dan Lemay telah mendirikan rumah tangga selama 12 tahun.

Menurut Lemay, hanya Leo yang berusia 9 tahun, menjadi satu-satunya anak mereka yang tidak menghidap penyakit tersebut.

Anak sulung mereka, Mia telah menunjukkan gejala menderita penyakit itu seawal usia tiga tahun. Sementara Colin dan Laurent pula, mula berdepan dengan simptom seakan-akan sama pada tahun 2019.

Wanita itu dengan nada sebak menambah, sehingga kini, belum ada penawar atau rawatan berkesan untuk melambatkan perkembangan Retinitis pigmentosa.

“Tiada apa yang boleh dilakukan. Kami tidak tahu berapa pantas ia akan berlaku, tetapi kami menjangkakan mereka akan buta sepenuhnya pada pertengahan umur,” katanya.

Dengan masa yang masih tersisa dan sememangnya sedari awal sudah mengetahui implikasi penyakit berkenaan, Pelletier dan Lemay telah mengambil satu keputusan nekad, namun cukup mengharukan.

Mereka memutuskan untuk bercuti selama setahun untuk membawa anak-anak tersayang yang bakal buta mengelilingi dunia.

Keluarga tersebut dilaporkan memulakan perjalanan ke beberapa lokasi.

Antara singgahan terawal mereka adalah di Namibia. Di sana, mereka melihat gajah, kuda belang dan zirafah sebelum ke Zambia dan Tanzania.

Kemudian, suami isteri itu telah membawa anak-anak mereka yang comel terbang ke Turki selama sebulan, sebelum berpindah ke Mongolia dan akhirnya ke Indonesia.

Iklan

“Meskipun sedih, kami berjanji untuk menggunakan masa yang ada untuk mencipta memori bersama sebanyak mungkin melalui visual.

“Saya mahu mengisi memori dengan gambar terbaik dan terindah yang saya mampu lakukan. Untuk itu, saya tidak akan menunjukkan kepada Mia seekor gajah dalam sebuah buku, sebaliknya akan membawanya untuk melihat gajah secara dekat,” kata Lemay yang bekerja dalam bidang logistik penjagaan kesihatan.

Bersama CNN, wanita itu turut berkongsi kenangan lucu sewaktu dalam percutian yang begitu mengujakan itu.

“Mia mahu menunggang kuda, manakala Laurent pula mahu sesuatu yang lebih kompleks, iaitu minum jus di atas unta. Ia sesuatu yang menghiburkan kami,” ceritanya tentang gelagat anak-anak yang sangat disayanginya.

Sebelum ini, Pelletier dan Lemay pernah merancang mengembara ke Rusia dan China pada 2020.

Iklan

Begitu pun, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19 yang menyerang dunia.

Mengakhiri bicara dengan CNN, Lemay berkata, selain mencipta kenangan melalui visual, beliau juga sering mengingatkan anak-anak untuk sentiasa rasa bersyukur kerana masih memiliki rumah untuk berteduh dan berpeluang ke sekolah setiap hari.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan