PENULIS tergamam dan tiada satu perkataan pun mampu diungkapkan. Hanya perasaan hiba yang bersarang di dalam lubuk hati sebaik melihat penderitaan adik Mohammad Bilal Yusra Mohammad Azhar.
Mesra dipanggil Bilal, si kecil itu mempunyai kepala besar yang kini seberat 28 kilogram.
Menghidap penyakit yang dikenali sebagai Alobar holoprosencephaly telah menyebabkan otaknya rosak, di samping mengalami gangguan kesihatan lain seperti jantung berlubang dan sumbing pada mulut serta lelangit.
Lebih menyayat hati, kanak-kanak berusia dua tahun itu hanya mampu terbaring lemah dan bergantung sepenuhnya kepada tiub susu khas demi kelangsungan hidup.
Berbeza dengan penyakit hydrocephalus yang terjadi akibat lebihan air di dalam kepala dan boleh dirawat dengan prosedur seperti pemasangan alat VP Shunt, namun sakit yang ditanggung Bilal dikatakan tiada ubatnya.
Kepada SinarPlus, ibunya, Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi memberitahu, mereka sekeluarga hanya berserah kepada ALLAH dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kehilangan permata hati tersayang.
"Apa yang membuatkan jiwa saya tidak tenteram, saiz kepala Bilal semakin hari semakin membesar iaitu dari ukuran 39 sentimeter (sm) dan kini sudah mencecah 98sm.
"Kulit kepalanya yang nipis sudah tidak dapat menampung lebihan air di dalam otak sehingga timbul urat-urat halus,” ceritanya yang menetap di Kampung Batu 4, Jalan Sungai Ular, Kulim, Kedah.
Berkongsi kisah bagaimana anak bongsunya disahkan menghidap penyakit tersebut, ibu muda berusia 25 tahun itu seperti masih menyimpan rasa trauma untuk bercerita.
Namun, selepas dipujuk, barulah beliau menghuraikan satu persatu.
Ujar Nurul Izzati, ketika pemeriksaan dilakukan pada saat usia kandungannya mencecah enam bulan, doktor sudah dapat mengesan saiz kepala bayinya lebih besar dan abnormal.
"Doktor juga cakap, saya berisiko untuk melahirkan bayi pramatang dan si kecil juga akan mengalami komplikasi kesihatan yang kronik.
"Memang benar, saya lahirkannya lebih awal ketika kandungan masih lapan bulan lantaran saiz kepala Bilal yang sudah besar. Mereka risau dan takut kepala Bilal akan tersangkut, namun ketika kelahiran, semuanya dipermudahkan,” imbaunya.
Selanjutnya, Bilal yang memiliki berat 3.25 kilogram terus dibawa ke Unit Penjagaan Rapi Neonatal, Hospital Kulim selama lebih dua minggu.
"Doktor ada beritahu anak saya hanya mampu hidup lebih kurang lima hari sahaja selepas dilahirkan. Saya sangat sedih mendengar perkhabaran itu, namun saya tetap reda.
"Siapa sangka, dengan pertolongan YANG MAHA ESA, kami masih diberi peluang untuk terus menjaga Bilal hingga usianya sudah dua tahun kini. Walaupun setiap detik kami lalui dengan penuh rasa debaran, saya tetap percaya dengan perancangan baik daripada ALLAH,” luahnya penuh sayu.
Dugaan berganda
Beritahu Nurul Izzati lagi, walaupun keadaan Bilal sebegitu, anak syurganya tidak bergantung dengan sebarang alat bantuan pernafasan pun.
Akui suri rumah sepenuh masa itu, semangat anaknya, Bilal dilihat sangat kuat dan seolah-olah mahu terus menemani ibu dan ayahnya di dunia.
Kekuatan Bilal itulah kata Nurul Izzati telah mendorong mereka sekeluarga untuk tidak cepat mengalah dalam mencari penyelesaian alternatif termasuk melakukan rawatan perubatan Islam.
"Kami tak putus berusaha, kami tak mahu ralat dan akan melakukan sebaik mungkin untuk Bilal,” kongsi suri hati Mohammad Azhar Arzemi, 29.
Dalam pada berbual tentang Bilal, wanita cekal itu berkongsi satu lagi kisah sedih.
Anak sulungnya yang diberi nama cukup indah, Nur Khaulah An-Azwar, 5, mempunyai masalah pendengaran.
Kanak-kanak perempuan yang lahir tanpa cuping sebelah kanan itu perlu menjalani satu prosedur pembedahan untuk memulihkan semula saraf yang bermasalah.
Baca juga Sayunya hati ibu. Otak bayi ini terkeluar dari tempurung kepala perlukan dana sumbangan orang ramai
Nurul Izzati mengakui dirinya berbelah bahagi memikirkan kos perubatan Bilal dan Nur Khaulah atau mesra dipanggil Aisyah.
"Saya serba salah kerana Bilal tidak boleh dibawa ke mana-mana kerana saiz kepala yang besar, sebab itu urusan rawatan Aisyah terpaksa ditangguh buat sementara waktu.
"Sekarang ini kami berusaha untuk mengumpulkan dana sedikit demi sedikit untuk keperluan Bilal dan Aisyah dengan jualan makanan sejuk beku,” ujarnya yang mengakui hasil pendapatan mereka tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Demi menjaga anak-anak, wanita tersebut memberitahu, suami yang dahulunya bekerja sebagai pembantu tukang rumah terpaksa berhenti kerja kerana kerap mengambil cuti.
"Saya tidak mampu untuk menjaga Bilal seorang diri dan memerlukan kudrat dua orang untuk memandi atau membersihkan badannya jika Bilal muntah susu.
"Sebab itu, jika ada pihak yang sudi untuk membantu mengurangkan beban yang kami tanggung, kami sangat berbesar hati. Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalasnya,” katanya penuh harapan.
Dana bantuan orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 02057027831525 atas nama Nurul Izzati Adawiyah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi