TIADA apa yang dapat diungkapkan Wan Rosnani Wan Yusof sebaik sahaja melihat gambar imbasan bayi perempuan dalam kandungannya disahkan menghidap lebihan cecair dalam otak atau dalam bahasa saintifiknya, Hydrocephalus.

Ketika itu, usia kandungannya sudah pun mencecah enam bulan. Lebih memilukan hati ibu berusia 41 tahun itu apabila doktor memaklumkan bayinya akan berdepan masalah sumbing pada bahagian tengah bibir.

Kepada SinarPlus, suri rumah itu meluahkan perasaan. Ujar beliau, sejak mendapat perkhabaran tersebut, hatinya tidak pernah tenang, makan pun tidak berselera, apatah lagi untuk tidur lena.

suni anggun

Fikirannya asyik memikirkan nasib anak bongsu, Suni Anggun Suhandar yang manja dipanggil Suni itu.

“Memang lemah satu badan apabila doktor maklumkan keadaan Suni. Hati ini terlalu berat untuk menerima hakikat memandangkan sepanjang mengandungkannya, saya tiada alahan teruk.

“Pun begitu, saya bersama suami reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima Suni seadanya. Alhamdulillah proses melahirkan Suni ketika itu dipermudahkan,” cerita wanita tabah itu yang menetap di Kampung Batu Dua, Gua Musang, Kelantan.

Hanya mampu merengek

Berkongsi perkembangan terkini Suni yang kini sudah mencecah usia 11 bulan, ibu kepada sembilan orang cahaya mata itu dengan nada tenang berkata, anak syurganya hanya mampu menitiskan air mata dan terbaring sahaja.

“Jika dibandingkan anak-anak seusia Suni, mungkin sudah pandai mengiring atau meniarap.

“Pernah juga Suni cuba untuk belajar mengiring dan berusaha untuk bergerak ke kiri ke kanan, namun disebabkan kepalanya agak berat, membuatkannya hanya mampu merengek sahaja,” tuturnya penuh pilu.

Ujar Wan Rosnani, kepala Suni dilihat semakin membesar saban hari. Natijahnya, si kecil kelihatan tidak selesa.

suni anggun

“Setiap malam, saya memang tak dapat lena kerana Suni kerap demam. Selain bergantung kepada ubat doktor, saya selalu membasahkan kepalanya supaya suhu panas berkurangan.

“Disebabkan keadaan mulut yang sumbing, Suni juga tidak mampu untuk menelan makanan mahu pun susu. Jadi, satu tiub dimasukkan melalui saluran mulut bagi memudahkan Suni makan atau minum buat sementara waktu,” katanya.

Rawatan tertangguh

Tatkala bertanyakan mengenai prosedur rawatan si kecil yang masih tertangguh, Wan Rosnani terdiam seketika.

Iklan

Kemudian beliau berterus terang dengan berkata: “Sebenarnya untuk pemeriksaan saiz kepala dan kesihatan Suni, kami sepatutnya perlu membawanya ke Hospital Kuala Krai memandangkan Hospital Gua Musang tiada doktor pakar kanak-kanak yang tetap.

“Untuk ke sana, jarak perjalanan memakan masa lebih lima jam. Disebabkan kekangan duit, suami pula terpaksa tinggal di pondok kebun majikan yang lokasinya agak jauh dan hanya pulang pada hujung minggu sahaja, saya terpaksa menunggu giliran doktor pakar datang ke Hospital Gua Musang.”

Wanita itu menambah, segala urusan Suni juga dilakukan sendirian.

suni anggun

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Selain bergantung hidup dengan jualan kecil-kecilan barangan runcit di tepi rumah dan hasil upah suami yang bekerja sebagai penoreh getah kira-kira RM500 sebulan, Wan Rosnani berkata, hal itu membuatkan dirinya resah memikirkan belanja rawatan anak kesayangannya itu.

Iklan

“Sejujurnya, saya masih tidak tahu berapa kos yang diperlukan untuk pembedahan Suni kerana beberapa temu janjinya sebelum ini ditunda kepada tarikh baharu disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

Harapan menggunung

“Sebab itu, saya harap (temu janji) pada masa akan datang berjalan seperti dijadualkan supaya prosedur rawatan lanjut termasuk cadangan pembedahan memasukkan shunt pada kepalanya dapat direalisasikan,” tuturnya penuh harapan.

Selain Suni, Wan Rosnani juga menanggung dua lagi anaknya, Wan Mohd Aiman Nik Md Nor, 18, yang juga kelainan upaya (masalah pembelajaran) dan Wan Mohd Arif Nik Md Nor, 15, yang masing-masing tidak lagi bersekolah.

Kepada pembaca SinarPlus yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut, boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Bank Public Islamic 6807665623 atas nama Wan Rosnani Wan Yusof.

Semoga setiap sen wang yang disalurkan, insya-ALLAH dapat memberikan sinar kebahagiaan kepada mereka sekeluarga yang sememangnya mendambakan bantuan masyarakat.