MESKIPUN didatang haid seperti biasa dan makan pil perancang setiap bulan, kisah seorang wanita yang selamat bersalin seorang bayi perempuan ini menjadi tular.
Kejadian pelik yang berlaku pada wanita yang dikenali dengan nama Eyka Ikaa dilaman media Facebook menarik perhatian ramai warga maya malah ramai menggelarkan bayi yang dilahirkan oleh wanita itu bayi ajaib.
Berikut kronologi kisah tentang kelahiran bayi ajaib ini:
1. Eyka mendedahkan didatangi haid setiap bulan dan tidak menyedari dirinya hamil. Setiap hujung bulan haid datang seperti biasa dengan anggaran lima hingga enam hari.
2. Wanita berkenaan juga memakan pil perancang setiap bulan.
3. Kelahiran luar biasa ibu berkenaan pada 19 Oktober 2022 pada pukul 8.45 pagi sememangnya tidak dijangkakan. Kelahiran bayi disambut oleh suami dan turut disaksikan anak sulung mereka yang berusia satu tahun dua bulan.
5. Setelah ke dalam bilik air beberapa kali tetapi rasa tidak selesa di bahagian perut semakin menjadi-jadi, beliau mengajak suaminya ke hospital. Namun, oleh kerana sudah tidak tahan menanggung kontraksi bersalin, Eyka melahirkan bayi perempuan di atas sofa di rumah dengan disambut oleh suaminya.
6. Dalam situasi cemas, Eyka meminta suaminya menghubungi ambulans. Sebelum pihak perubatan tiba di kediaman mereka, lelaki itu telah mengikat tali pusat bayi baru lahir dengan menggunakan tali kasut.
Baca juga: Bukan semua pendarahan ketika hamil petanda keguguran. Ini antara sebab-sebabnya
[caption id="attachment_96014" width="800"] Kredit: Pexels[/caption]
7. Siapa sangka sakit perut yang dialami sebelum itu adalah kontraksi kelahiran. Sepanjang sembilan bulan, Eyka tidak menyedari kehadiran janin di dalam rahimnya. Masakan tidak, beliau tidak merasakan sebarang pergerakan, malah bahagian perut tidak membuncit seperti kehamilan anaknya yang pertama.
8. Sepanjang kehamilan, Eyka tidak membuat sebarang pemeriksaan kesihatan dan 'membuka' buku rekod kesihatan ibu di klinik kesihatan. Pun begitu, beliau menzahirkan rasa syukur bayi yang dilahirkan sihat dan sempurna.
Persoalannya, bolehkah wanita itu hamil tetapi dalam masa yang sama mengalami haid setiap bulan?
Melalui satu perkongsian di laman media Facebook, Dr Zubaidi Haji Ahmad berkongsi tentang fakta ini. Berikut perkongsian beliau:
Salah satu tanda kehamilan pada wanita ialah tidak datang darah haid pada tarikh sepatutnya. Oleh itu, agak pelik jika ada wanita yang mengaku hamil dan mengalami haid. Ini satu kekeliruan. Kedatangan haid dan kehamilan ibarat malam dan siang. Mana mungkin malam dan siang berlaku serentak.
Begitu juga dengan kehamilan dan haid. Mustahil wanita yang hamil akan didatang haid kerana kedua-duanya tidak berlaku serentak. Kekeliruan itu juga menyebabkan doktor mengira tarikh dijangka melahirkan bayi (date of delivery) pada tarikh yang salah. Bagaimanapun masalah tersebut selalunya diselesaikan dengan bantuan pemeriksaan imbasan kandungan (ultrasound).
Menurut Dr Zubaidi, pendarahan pada wanita hamil bukanlah haid sebaliknya ia adalah pendarahan pada awal kehamilan. Berikut fakta tentang pendarahan yang dialami wanita semasa kehamilan:
1.Pendarahan pada awal kehamilan dan kedatangan haid adalah satu keadaan yang berbeza. Dari segi syarie, wanita yang didatangi haid tidak perlu solat dan berpuasa, sementara wanita yang hamil dan mengalami pendarahan pada awal kehamilan wajib bersolat dan berpuasa kerana darah tersebut bukan darah haid.
2. Pendarahan haid berlaku apabila rahim mengalami perubahan pada struktur dalamannya. Sel-sel pada sebelah dinding dalam rahim (yang dinamakan endometrium) akan mengalami penebalan sebagai persediaan untuk menerima telur ovum yang telah disenyawakan.
Bagaimanapun jika telur ovum tidak disenyawakan, seseorang wanita itu tidak hamil dan sel rahim endometrium itu akan dikeluarkan bersama-sama darah pada dinding rahim. Ketika inilah berlakunya pendarahan haid.
Baca juga: Pendarahan ketika hamil, adakah ibu masih perlu solat dan puasa? Ini jawapan agamawan
[caption id="attachment_96015" width="800"] Kredit foto: Pexels[/caption]
3. Jika telur ovum disenyawakan dan melekat dan ‘tertanam’ ke dalam sel-sel rahim endometrium maka hormon progesteron yang dikeluarkan dari ovari dan uri dari pembentukan janin (embrio) akan menyebabkan lapisan sel endometrium semakin menebal bagi menyokong pembesaran janin. Oleh itu, sel-sel endometrium tersebut tidak akan keluar sehingga tempoh kehamilan berakhir.
4. Pendarahan pada awal kehamilan boleh berlaku kepada wanita sama ada menandakan situasi yang agak serius atau mungkin sesuatu yang agak normal. Sebahagian wanita mengalami sedikit pendarahan sedikit atau dipanggil 'spotting' pada awal kehamilan mereka dan ia boleh berlaku bertepatan pada hari mereka sepatutnya didatangi haid.
Ramai wanita menyangka bahawa mereka sedang mengalami haid, sebelum mengetahui bahawa sebenarnya mereka sedang hamil.
5. Pada awal kehamilan, pendarahan juga boleh berlaku apabila doktor melakukan pemeriksaan 'pap smear'.
6. Hubungan kelamin pada awal kehamilan juga boleh menyebabkan berlakunya pendarahan.
7. Pendarahan pada awal kehamilan juga menandakan sesuatu yang lebih serius seperti tanda keguguran atau kehamilan luar rahim. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian pada janin mengancam nyawa ibu yang hamil. Jika mengalami pendarahan, ibu hamil perlu segera berjumpa doktor.
8. Tidak kira sama ada pendarahan itu sedikit atau banyak, disertai dengan sakit perut atau tidak, wanita yang mengalami pendarahan perlu segera mendapatkan pemeriksaan doktor.
Tujuan pemeriksaan tersebut ialah bagi pengesahan kehamilan dan ujian imbasan (ultrasound) bagi mengesahkan kedudukan janin sama ada berada dalam rahim atau di luar rahim.
Kesimpulannya, wanita perlu sentiasa peka dengan keadaan kesihatan dan perubahan pada tubuh masing-masing. Pemeriksaan dan rawatan awal mungkin dapat membantu sebarang perkara dan situasi yang tidak dijangkakan.
Baca juga: Haid normal 7 hari, ini 9 punca jika pendarahan lebih 15 hari
Sumber: Eyka Ikaa, Dr Zubadi Hj Ahmad
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi