IBU sarat hamil lazimnya ditegah orang-orang tua daripada melakukan aktiviti lasak kerana bimbang akan mengakibatkan risiko kepada bayi dalam kandungan.
Pun begitu, seorang ibu di Johor ini mengejutkan warga maya apabila muncul mengungguli acara berhalangan lasak Spartan Stadion baru-baru ini.
Kemunculan beberapa video beliau di laman sosial menarik perhatian ramai. Berjaya menamatkan cabaran dalam masa 1 jam 10 minit 38 saat dengan 17 daripada 20 halangan, aksi Kama Haidir yang sedang hamil pada trimester ketiga memberikan semangat buat kaum wanita.
Baca juga: Bukan 44 hari, gaya hidup sihat seumur hidup, Dr Amalina kongsi 8 amalan selepas bersalin
"Terima kasih jurulatih dan rakan-rakan di @fitnesswarrior.my yang selalu mengingatkan agar berhati-hati supaya saya selamat. Larian 5 kilometer (km) dan 20 halangan ditambah lagi dengan kehamilan 28 minggu bukanlah perkara yang mudah.
"Tetapi dengan persediaan sejak sebelum hamil dan tidak henti melakukan latihan crossfit, Alhamdulillah membantu saya cergas hingga kini. Tidak lupa kawan-kawan dan jurulatih yang memberikan panduan A hingga Z,” titip Kama.
Mengimbau kembali pertandingan yang disertai 24 September lalu, wanita hebat itu berkata hanya tiga halangan daripada 20 halangan tidak dapat dilengkapkan.
Menurutnya, tiket penyertaan cabaran berhalangan itu terlebih dahulu dibeli pada tahun lalu iaitu sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan kali ketiga.
Berikutan penundaan, acara itu ditangguhkan sehingga ke tahun ini. Namun dengan semangat dan kekuatan, Kama meneruskan penyertaan biarpun selepas mengetahui dirinya hamil.
Wanita yang mempunyai latar belakang pengajian dalam Sains Sukan itu juga merupakan bekas atlet Silat Olahraga yang mewakili negeri Johor pada tahun 2007 hingga 2010.
Malah Kama yang merupakan jurulatih gimnasium bertauliah mengakui aktif sukan sejak dari bangku persekolahan lagi.
Justeru tidak hairanlah wanita kecil molek ini aktif dan lincah meskipun berbadan dua. Tidak seperti kelaziman wanita hamil yang mengelak aktiviti fizikal berat, Kama dilihat melakukan latihan intensiti tinggi seperti mengangkat berat, zumba dan crossfit.
Lazimnya wanita hamil akan mengelak dariapda melakukan aktiviti berat kerana risai akan keadaan kandungan. Ibu kepada dua cahaya mata itu mendedahkan telah mendapat saranan dan pemeriksaan daripada doktor.
"Saya melakukan pemeriksaan kandungan di klinik swasta, membuat ujian imbasan untuk memantau perkembangan bayi. Alhamdulillah doktor memaklumkan kandungan dalam keadaan sihat. Justeru saya meneruskan latihan dan senaman seperti kebiasaan.
"Tetapi senaman-senaman ini telah diubah suai mengikut pergerakan, kemampuan dan intensiti. Ia tidak membahayakan diri," jelas Kama.
Ujarnya, jika dahulu beliau mampu berjalan laju namun kini boleh berlari sederhana perlahan dan mengawal pernafasan dengan baik.
Malah wanita hebat itu turut disarankan pakar agar mengurangkan berat beban dengan menggunakan dumbell bersaiz 7 kilogram (kg) hingga 10kg berbanding 15kg sebelum ini.
Hakikatnya, wanita itu sememangnya seorang yang aktif dan sejak awal lagi. Justeru ‘beraksi’ lasak semasa hamil tidak menjadi masalah buat Kama.
"Saya sangat aktif sebelum hamil, sebelum mengetahui diri hamil saya sebenarnya menyertai Strongfit Woman di Johor. Pertandingan yang sangat ‘hard core’ tetapi apabila individu tersebut memang kekuatan tubuh, sudah dilatih untuk lasak insya-ALLAH bayi dalam kandungan akan selamat dengan izin ALLAH,” tutur Kama.
Beliau berkata sebenarnya ramai atlet wanita aktif bersenam biarpun sedang hamil kerana aktiviti kecergasan memberikan banyak manfaat kepada tubuh.
"Kenapa perlu hentikan aktiviti yang sememangnya hobi, minat dan gaya hidup anda apabila hamil? Apa pun pastikan bayi dan diri anda sihat. Jika tidak, sila dapatkan rehat secukupnya dan buat latihan yang sederhana.
"Saya memilih untuk meneruskan latihan demi mengekalkan momentum supaya selepas bersalin mampu terus berlatih seperti biasa dan berharap bayi dalam kandungan juga akan sihat, insya-ALLAH,” katanya.
Kepada pembaca SinarPlus, jurulatih ini menitipkan nasihat agar tetap aktif ketika hamil dan menitipkan beberapa tip berikut:
1-Mesti bermula daripada peringkat asas.
2-Perlu memiliki jurulatih yang bertauliah atau rakan sepasukan berpengalaman dalam latihan senaman agar aktviti yang dilakukan mengikut kesesuaian tahap kecergasan ibu.
3-Tidak melakukan aktiviti kecergasan seorang diri sekiranya ibu tidak mempunyai pengalaman.
4-Memastikan bayi dalam kandungan dan ibu sihat. Ia boleh membahayakan jika si ibu atau kandungannya mempunyai masalah kesihatan.
5-Sebelum melakukan senaman, ibu hamil dinasihatkan mengambil makanan mengikut waktu, membuat persediaan dari segi pakaian dan kasut yang sesuai.
Sumber: Kama Haidir
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi