“SATU, dua, tiga. Satu, dua, tiga. Gaya yang baik, bagus Niena!“ Begitulah pujian ringkas jurugambar Sinar Harian, Asril Aswandy Shukor terhadap atlet negara, Niena Azman.

Meskipun ibu kepada dua anak itu bergiat aktif dalam bidang sukan, nyata Niena punya sisi lain yang begitu menyerlah di depan lensa kamera.

Mungkin kerana penjaga gol pasukan futsal kebangsaan itu juga sudah biasa dengan situasi sebegitu lantaran beberapa jenama produk turut menggunakan khidmat beliau sebagai model.

Usai sesi fotografi, anak kedua daripada tujuh adik beradik itu terus membuka mulut berkongsi cerita tentang titian perjalanannya sebagai seorang atlet dan keinginannya pada masa depan.

Cerita Niena, beliau mula terlibat dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah lagi. Bermula sebagai pemain bola jaring, kemudian mengubah haluan kompasnya kepada sukan futsal pula.

 

Baca juga: Luqman Faiz mahu ikut jejak Haqiem Rusli akui minat dengan wanita yang lebih matang

 

Sebenarnya, pada usia 16 tahun, penglibatannya dalam sukan futsal sekadar suka-suka sahaja. Namun, bak kata pepatah, tuah ayam nampak pada kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Niena sendiri tidak menyangka akan terpilih sebagai penjaga gol.

“Masa itu kawan saya ajak bermain futsal kerana sukan itu boleh dikatakan masih baru diperkenalkan. Secara kebetulan, ketika latihan berlangsung, mereka tidak mempunyai penjaga gol.

Kemudian, saya dipilih kerana mempunyai pengalaman bermain posisi GK (penjaga gol) dan GD (pengadang gol) dalam permainan bola jaring.

“Syukur, disebabkan prestasi yang baik, saya terpilih dalam pasukan futsal wanita mewakili negeri Johor. Seterusnya saya mewakili Malaysia bagi pasukan futsal wanita bawah 23 tahun,“ terangnya saat mengimbau momen hampir sedekad lalu.

NIENA memilih untuk terus setia dengan bidang sukan futsal dan bola jaring meskipun banyak mendapat tawaran sebagai model

Pandangan sinis

Seiring dengan peredaran masa, Niena berkata, perhatian yang diterima mengenai wanita yang bermain futsal berbeza pada waktu dulu berbanding sekarang.

Tidak boleh menyalahkan masyarakat 100 peratus kerana sekitar dua dasawarsa lalu, sukan berkenaan suatu yang asing.

Corak permainan yang sama dengan bola sepak membuatkan mereka mempertikai itu dan ini, lebih-lebih lagi apabila melihat wanita bergasak dan ‘terlompat‘ sana sini.

Khalayak berpendapat, kaum Hawa yang aktif dengan futsal lebih cenderung memiliki sifat kelelakian, tidak pandai bergaya dan berperwatakan kasar.

“Mungkin kerana mereka menilai wanita itu perlu lemah lembut dan tidak boleh melakukan sesuatu hal yang sudah sinonim dengan lelaki. Tambahan, budaya orang Melayu tidak gemar melihat wanita terlalu lasak.

“Waktu itu sekitar tahun 2004 atau 2005, memang saya tak nafikan pandangan negatif yang saya terima memang banyak. Keluarga saya juga tidak yakin dengan keputusan saya untuk bermain futsal. Individu yang paling banyak menyokong saya ialah mama.

“Katanya, jika benar-benar minat dengan futsal, saya perlu buktikan yang saya bukan main-main. Disebabkan itu, saya terus berusaha gigih sehinggalah mampu bermain untuk negara. Secara peribadi, saya sendiri seorang yang tidak mudah mengalah,“ jelas pemilik nama lengkap Nur Izwani Azman panjang lebar.

Kancah seni 

NIENA sudah lali dengan pandangan khalayak yang sering berpendapat wanita aktif dalam bidang sukan memiliki perwatakan lasak dan kasar.

Bagi ‘mematikan‘ stigma negatif itu, lihat, Niena sendiri sudah berumah tangga dan memiliki dua anak lelaki berusia dua dan satu tahun. Kancah seni Setelah sekian lama ‘bergelumang‘ dalam dunia sukan, Niena akui ada pihak yang cuba ‘meminang‘ beliau untuk muncul di layar kaca.

Jika pembaca SinarPlus perasan, wajah wanita jelita itu pernah muncul dalam beberapa program televisyen seperti Maharaja Lawak Mega 2021 dan Temasya Sukan Ke Laut. Kelibat beliau juga kelihatan menerusi filem Gol dan Gincu 2 sebagai penjaga gol pasukan Red Heat.

Akuinya, terlibat secara langsung dalam naskhah arahan Umi Salwana Omar tersebut merupakan satu pengalaman yang berharga dan menyeronokkan.

“Ia ibarat satu dimensi baharu bagi saya apabila peluang muncul di layar perak,“ katanya.

 

Baca juga: Meminat sukan lasak Black Hanifah-tetap luang masa untuk rawatanw ajah dan rambut demi menjaga-penampilan

 

Ya, meskipun sekadar watak kecil sahaja, wanita kelahiran Johor itu boleh dikatakan berbakat dalam bidang seni. Ironinya, beliau berjodoh dengan pemain gitar kumpulan Kristal, Rody atau Mohd Rodi Baharuddin.

Sambil merenung tepat ke arah penulis, Niena berkata, dirinya tidak mempunyai perancangan untuk terjah ke kancah perfileman atau drama walau dikatakan memiliki pakej lengkap sebagai pelakon.

Iklan

Padanya, biarlah Rody sahaja yang ‘menjerumuskan‘ diri dalam bidang seni, sementara beliau perhatian penuh dengan dunia sukan.

Ujar atlet berketinggian 169 sentimeter itu lagi, selain ligat dengan futsal, sesekali beliau tetap meluangkan masa bermain bola jaring dan sempat menyertai beberapa kejohanan.

“Saya bermain bola jaring hanya untuk mengubat rindu kerana sangat meminati sukan itu. Biarpun sudah menjadi penjaga gol futsal, saya tetap suka dengan bola jaring. Bagaimanapun, saya akan membahagikan masa dan menyusun jadual saya agar semuanya terurus.

“Saya juga berkhidmat sebagai pembantu tadbir dan perlu fokus dengan kerja pejabat. Melakukan banyak perkara dalam satu masa memang memenatkan, tetapi saya sudah sebati dengan kehidupan sebegini.

Saya sentiasa mempunyai perancangan jadual selama seminggu ke depan agar tiada perkara penting yang tertinggal,“ ujar Niena yang wajahnya persis aktres Izreen Azminda.

Sampai bila pembabitan Niena dalam arena sukan, sementelah usia semakin meningkat? Jawabnya bersahaja: “Saya memberi diri saya peluang sekitar tiga hingga empat tahun lagi untuk terus ‘bernafas‘ dalam bidang ini.

“Bukan kerana lelah berada di gelanggang, tetapi umur saya pun sudah mencecah 34 tahun dan memiliki tanggungjawabnya sebagai isteri serta ibu.

“Mengikut rangka strategi wanita berwibawa tersebut, setelah bersara kelak, beliau memilih untuk menjadi jurulatih dan memberi tumpuan kepada profesionnya sekarang.

“Jawatan saya sebagai kakitangan kerajaan hanya gred pembantu tadbir, sedangkan saya memiliki ijazah. Jadi, sudah tibanya untuk memberi fokus kepada kerjaya pula.

“Perancangan terperinci rasanya saya tidak boleh nyatakan kerana segalanya bergantung kepada peluang dan masa. Jika masih dipilih sebagai pemain futsal kebangsaan, saya akan cuba sedaya mungkin dan berikan yang terbaik sebelum benar-benar membuat keputusan untuk bersara,“ katanya.

Iklan

Pengalaman ngeri

NIENA akui bagaikan mendapat peluang kedua dan bersyukur setelah pulih daripada virus Covid-19 selepas mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Setelah bercerita panjang mengenai kerjaya dan sukan, Niena kemudian berkongsi pengalaman peritnya disahkan positif virus Covid-19 sekitar Jun lalu.

Situasi itu katanya, tidak terfikir akan terjadi kepadanya. Pun demikian, hal berkenaan telah menjadikan empunya diri lebih menghargai keluarga tersayang. Ibarat diberi peluang kedua untuk hidup, Niena memberitahu, pada awalnya beliau tidak mampu menerima takdir apabila diduga sebegitu rupa.

Masakan tidak, atlet berkenaan perlu melihat seluruh ahli keluarganya termasuk dua anak kecil turut sama menderita.

Niena bersama anak kedua beliau yang ketika itu berusia 11 bulan telah ditempatkan di Hospital Sungai Buluh kerana memiliki simptom sesak nafas, ditambah pula si kecil disyaki menghidap penyakit asma.

“Agak menyedihkan apabila melihat pesakit yang dirawat perlu ditidurkan. Setiap kali mendengar doktor mengatakan pesakit boleh mencium anak dan memohon maaf serta bersedia dengan sebarang kemungkinan, saya menjadi sebak dan sedih.

“Biarpun telah pulih, tetapi memori itu tetap terus kekal dalam ingatan. Setelah 10 hari mendapat rawatan saya dibenarkan pulang, namun selama sebulan tahap pernafasan saya belum pulih sepenuhnya.

“Pada saya, apabila ditimpa ujian, ‘permainan minda’ sangat penting dan kawalan emosi juga memainkan peranan. Mula-mula memang tertekan, tetapi setelah ditenangkan oleh seorang kawan, saya mula melihat ada hikmah di sebalik dugaan berat ini,“ ujarnya yang menghela nafas dengan matanya yang sedikit berkaca.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram