TERBAIK di peringkat antarabangsa, empat pelajar perempuan SMKA Kuala Selangor menggondol pingat emas pada Pameran Perdagangan Antarabangsa, Penciptaan Produk dan Idea Baharu (IENA) 2022 di Nuremberg, Jerman.
Empat pelajar berkenaan Athirah Ahmad Hisshamuddin, Raja Dhia Nazneen Insyirah Raja Mohd Aman Shah, Nur Damia Bisyara Muhammad Imran dan Sarah Ardinie Khairul Faizi diiringi dua guru iaitu Mohd Ridzuan Mohammad serta Mohd Zulhelmi Mansor.
Selain turut meraih pingat emas, mereka juga menerima Anugerah Khas Produk Inovasi Terbaik Keseluruhan Untuk Kategori Pencipta Muda Hadiah Bandaraya Nuremberg dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 Oktober 2022.
Baca juga: Sofizah ungguli pertandingan tilawah antarabangsa, 15 fakta mengenainya
Lima info produk inovasi Set Pembelajaran (ECS) yang dipertandingkan.
1-Kejayaan pasukan yang dinamakan Master- H ECS berjaya mengulangi kejayaan senior mereka yang turut memenangi pingat emas dan Anugerah Produk Inovasi Terbaik pada 2019 di pertandingan sama.
2-Produk inovasi Set Pembelajaran (ECS) Eksplorasi Cabaran Sejarah Dunia ECS merupakan set permainan direka mereka adalah untuk menarik minat semua golongan khususnya remaja menguasai pengetahuan am berkaitan sejarah ketamadunan dunia.
3-Set permainan itu juga merupakan satu gaya pembelajaran yang berasaskan prinsip-prinsip instruksional yang mempunyai sistem permainan yang ditetapkan dan berkonsepkan ‘Fun Learning Board Game’.
4-Idea penghasilan ECS tercetus melalui permainan Monopoli yang kemudian diterjemah kepada ECS memandangkan sejarah tamadun dunia mempunyai tempat warisan menarik untuk dipaparkan di atas papan permainan.
5-Konsep bergambar dan rakaman peristiwa menarik ditonjolkan di atas papan permainan tersebut. Ini membolehkan interaksi dua hala dan menggalakkan perbincangan antara para pelajar yang bermain papan permainan ECS.
Baca juga: Da’i Hamidah hargai cara ibu mendidik, anggap ilmu diajar lebih mahal daripada sijil-sijil
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada keempat-empat mereka yang terlibat.
Menerusi catatan dalam laman Facebooknya, Perdana Menteri berharap kejayaan pasukan sekolah itu akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar lain untuk turut terlibat dalam inovasi dan reka cipta sehingga menggapai kejayaan.
Semoga kejayaan wanita-wanita muda ini menyuntik semangat kepada wanita lain agar tidak berputus asa dalam menggapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.
Sumber: Bernama, Sinar Bestari, SMKA Kuala Selangor
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi