SWITZERLAND memang cukup terkenal dengan keindahan alam semula jadi negaranya yang dikelilingi gunung-ganang. Panorama yang cukup memukau dan mempesonakan ini membuatkan Switzerland sering menjadi destinasi percutian idaman bagi pelancong antarabangsa termasuk Malaysia.
Mungkin ramai rakyat Malaysia yang 'gerun' untuk melancong ke sana kerana menganggap kos perbelanjaan yang tinggi diperlukan. Jika anda pertama kali ingin menjejakkan kaki ke bumi Switzerland tanpa menggunakan khidmat pemandu pelancong, tip yang dikongsikan oleh Nur Atiqah Adon dilaman Facebooknya boleh dijadikan panduan.
Baca juga: 11 tahun menetap di Norway, wanita cerita pengalaman saksikan aurora di depan mata
PERCUTIAN KE SWITZERLAND BERSAMA TIGA ORANG ANAK
Berkongsi tentang percutian ke Switzerland, Nur Atiqah dan suaminya sudah lama berangan-angan untuk menjejakkan kaki ke sana. Kebetulan awal Jun 2022 Singapore Airline (SIA) sedang mengadakan promosi, tiket penerbangan pun ditawarkan dengan harga berpatutan.
"Selepas membeli tiket penerbangan, kami mula merancang itenari perjalanan serta segala persiapan yang diperlukan. Tahun 2018 kami pernah melancong ke New Zealand, alhamdulillah kali ini ALLAH izinkan kami untuk mengembara ke Switzerland bersama tiga orang anak kami yang berumur 9 tahun, 6 tahun dan 3 tahun.
"Macam tak percaya angan-angan sudah jadi kenyataan. Melihat keindahan alam semula jadi, banjaran Apls yang memukau, boleh dikatakan di mana-mana pun mata disajikan dengan panorama yang cukup indah. Masya-ALLAH sukar hendak diungkapkan dengsan kata-kata,” jelas Nur Atiqah.
Baca juga: Gadis kongsi pengalaman naik';sleeper train' ke Kelantan, seronok jalan-jalan sambil cari makan
Catatan perjalanan percutian Nur Atiqah bersama suami dan tiga orang anaknya adalah seperti berikut:
PENERBANGAN - Kami menaiki penerbangan dengan Singapore Airline. Kos tiket untuk pergi dan balik berjumlah RM2305 untuk seorang. Rezeki juga sebab SIA antara syarikat penerbangan terkemuka di dunia. Anak-anak paling seronok sebab mereka boleh minta bila-bila masa sahaja airkrim dan snek sepanjang tempoh penerbangan. Perjalanan hampir 13 jam tidak terasa, cuma jangan lupa buat permintaan makanan halal khas untuk muslim semasa pendaftaran masuk.
MUSIM - Kebetulan harga tiket promosi itu untuk musim luruh jadi memang sesuai sangat hendak bawa anak-anak. Masa siang panjang dan cuaca pun nyaman sahaja. Elakkan perjalanan antara musim kerana cuaca tidak menentu panas terik, berangin dan hujan. Jadi pilihlah musim mengikut pilihan yang terbaik masing-masing. Jangan lupa untuk muat turun aplikasi MeteoSwiss untuk menyemak ramalan cuaca dan keadaan cuaca semasa.
PENGINAPAN - Terpulang pada pilihan masing-masing. Ada asrama, hotel, rumah inap dan penginapan mewah. Kami memilih penginapan rumah inap. Tempat tidur yang selesa untuk anak-anak, tidak berkongsi bilik air, ada dapur memasak dan ada pakej pemandangan yang cantik. Baca ulasan dan penilaian sebelumnya sangat penting (buat tempahan melalui Airbnb dan Booking.com).
KENDERAAN – Semasa bercuti ke New Zealand dulu kami sudah menyewa motorhome, kali ini kami kami inginkan pengalaman menaik kenderaan awam. Sesuatu yang baru untuk kami rasai. Jangan risau, pengangkutan awam di sini hebat dan cekap. Kami ambil Swiss Travel Pass (STP) untuk lapan hari. Beli untuk dewasa sahaja, percuma untuk kanak-kanak bawah 16 tahun. (buat tempahan melalui laman web Klook).
Sangat berbaloi dapat naik pelbagai jenis kenderaan seperti bas, keretapi, transportation bas, train, kapal dan kereta kabel sambil menikmati pemandangan sekeliling. Tiket ke Jungfraujoch 25 peratus (139.60CHF/dewasa) dan Mt.Rigi pula percuma dengan STP. Hanya muat turun aplikasi SBB untuk info terperinci (masa, platform dan pilih kenderaan dari satu tempat ke tempat lain).
Baca juga: Mahu ketenangan, kita singgah ke kawasan air terjun. Perlukan privasi, jom kita glamping
MAKANAN – Makanan di Switzerland memang mahal. Jika mahu berjimat boleh bawa makanan yang sedia untuk dimakan dari Malaysia atau boleh juga masak sendiri. Boleh beli barang-barang di pasar raya COOP/MIGROS. Satu kali makan/hidangan lebih kurang RM300++ untuk famili kami. Anak-anak sentiasa lapar jadi sentiasa bersiap-sedia bila melancong dengan anak-anak.
BAJET- Ikut kemampuan dan kesesuaian keperluan masing-masing. Yang pasti melancong sendiri tanpa pemandu pelancong atau mengikuti mana-mana pakej pelancongan lebih jimat dan seronok.
Menurut Nur Atiqah beliau dan suaminya sentiasa memastikan anak-anak mereka berasa selesa walau pun penat. Paling seronok ketika melancong di sana, boleh dikatakan setiap tempat ada taman permainan.
"Anak-anak tidak bosan dan sentiasa gembira bermain, berjalan sambil pemandangan yang. Ketika bercuti dengan anak-anak terutama anak-anak yang masih kecil, kerjasama ibu bapa amat penting. Suami dan isteri perlu memainkan peranan masing-masing. Ketika isteri memasak, suami pula merancang perjalanan untuk hari berikutnya. Isteri mengemas manakala suami melayan anak-anak,” jelasnya.
Tip melancong ke Switzerland:
1. Ketika melancong ke luar negara terutama di lokasi yang jauh, jangan lupa sediakan ubat-ubatan sebagai persediaan awal, terutamanya jika membawa anak kecil. Boleh beri mereka multivitamin juga bagi meningkatkan imun tubuh.
2. Bawa botol air kosong untuk isi air percuma.
3. Boleh cari makanan halal dan Islamic Centre di Google Maps untuk mencari makanan halal dan masjid berdekatan.
4. Sebelum mendaki gunung, periksa dahulu 'live webcam' dan suhu. Takut nanti rugi sudah bayar mahal tapi cuaca tidak berapa elok atau pakaian kurang sesuai.
5. Asalnya dalam itenari kami tidak pergi ke Mount Rigi, sepatutnya hari tersebut kami pergi ke Mt. Titlis untuk bermain salji tetapi di saat-saat akhir kami tukar ke Mount Rigi. Ini disebabkan kami sudah bermain salji di Jungfraujoch. Sangat menakjubkan apabila pergi ke Mount Rigi, kami dapat rasa pelbagai pengalaman sepanjang perjalanan. Sangat berbaloi, pemandangan pun cantik.
- Lucerne ke Vitznau kami menaiki kapal laut.
- Vitznau ke Mount Rigi kami cogwheel train
Semasa pulang pula;
- Mount Rigi ke Rigi Kaltbad kami menaiki keretapi
- Rigi Kaltbad ke Weggis kami menaiki kereta kabel
- Weggis ke Lucerne kami menaiki kapal laut
6. Beli STP memang berbaloi, Cuma agak sukar sedikit semasa membawa bagasi. Kami jadikan Brienz sebagai pilihan pertama penginapan (empat malam), Lucerne (dua malam), Zurich (satu malam). Jadi senang untuk kami ubah itenari jika So senang sikit nak ubah itenary jika tengok ramalan keadaan cuaca tidak begitu mengizinkan untuk berjalan.
7. Untuk talian kami membeli simkad Sunrise (Zurich Airport). Saya guna E-sim Airalo. Ini tidak mengikut bajet yang penting dapat data.
8. Insurans perjalanan jangan dilupa. Kami ambil Etiqa 360 untuk satu keluarga.
Baca juga: Had maksimum yang dibenarkan untuk berkhemah, ‘kaki hiking’ wajib ambil peduli
Sumber: Nur Atiqah Adon
Oleh: Norhasliza Mohd Shafi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi