BAGI seorang pengembara, aktiviti mengembara memang cukup membahagiakan. Bukan hanya sekadar salah satu aktiviti yang boleh dilakukan untuk merasai pengalaman baru tetapi dalam masa yang sama dapat meluaskan pengetahuan di samping melihat persekitaran luar.

Memang ramai yang gemar mengembara. Apabila berbicara tentang mengembara, ramai yang suka. Tidak semesti ke luar negara, di dalam negara pun ada banyak tempat-tempat menarik untuk dijelajahi.

Melalui perkongsian dilaman sosial Facebook, seorang gadis iaitu Diyana Mukhayadi menceritakan tentang pengalamannya menaiki sleeper train ke Kelantan.

Baca juga: Bestnya! Wanita kongsi trip 5 sekeluarga naik kereta api, backpack Kajang ke Dabong siap itinerari

Akui Diyana, dia memang sudah lama berangan-angan hendak pergi mengembara ke luar negara secara solo. Namun dek kerana dia seorang penakut maka dia terpaksa menunda dahulu angan-angannya itu.

“Saya fikir elok cuba mengembara di dalam Malaysia dahulu. Jadi saya merancang untuk menaiki sleeper train ke Kelantan sebagai permulaan. Disaat-saat akhir, kawan-kawan ingin menyertai trip ini. Maka trip yang asalnya solo terus bertukar menjadi trip berempat,”cerita Diyana.

Pengembaraan Diyana dan tiga rakannya bermula dari KL Sentral ke Gemas, Wakaf Bharu, Kota Bharu dan kembali semula ke Kuala Lumpur. Tujuan utama trip ini memang hanya untuk merasai pengalaman menaiki sleeper train selama 13 jam sambil ‘jalan-jalan cari makan’ di Kota Bharu.

“Perjalanan yang sangat singkat dengan pengalaman yang sangat berbeza. Untuk pengetahuan, nama rasmi keretapi ini ialah Ekspres Rakyat Timuran atau nama glamer lain dikenali juga sebagai jungle train.

“Ini sedikit tip yang mungkin boleh dijadikan rujukan buat mereka yang merancang untuk merasai pengalaman sleeper train ini. Mula-mula beli tiket sleeper train dahulu melalui apps KTMB: https://apps.apple.com/my/app/ktmb-mobile/id1527902857. Untuk merasai pengalaman tidur di atas katil dalam keretapi, pilih koc berkatil: koc T6-T8. Kami pilih koc 8, koc paling hujung. Terdapat juga koc tempat duduk biasa juga, koc T1-T3,” jelas Diyana.

Diyana juga menasihatkan agar memilih koc 8. Penumpang lain tidak lalu-lalang untuk ke kafe di koc 5 selain paling dekat dengan kepala keretapi. Jika hendak bergambar di stesen Gua Musang, koc 8 ini paling depan sekali, jadi lebih senang untuk keluar mengambil gambar.

Baca juga: Khai Bahar selesa pilih cara hidup sederhana, lebih gemar menaiki kereta api untuk pulang ke kampung

“Elakkan daripada mengambil katil paling depan sekali kerana besi yang bersambung di antara koc itu agak bising bunyinya. Untuk pilihan katil, nombor genap adalah katil di bahagian bawah. Nombor ganjil adalah katil di bahagian atas. Nombor katil kami T26, T28, T30, T32, semua dapat katil bawah dan kedudukannya di tengah-tengah koc.

“Harga katil/berth atas RM40, katil/berth bawah RM46. Sila pilih katil bawah sebab ruang tingkap lebih luas dan panjang dari katil atas. Tiada sebarang palam elektrik jadi jangan lupa bawa power bank yang telah siap sedia dicas penuh,” jelas Diyana.

Apabila selesai membeli tiket sleeper train barulah beli tiket ke Gemas. Jika hendak lebih mudah, naik ETS dari KL Sentral. Tiket pun beli melalui apps KTMB dengan harga RM30.00. Boleh naik dari KL Sentral 9.40 malam dan sampai di Gemas 12.10 pagi.

Sleeper train ini akan bertolak ke Wakaf Bharu pada pukul 1.18 pagi dan dijangka tiba 12.37 tengahari esoknya. Sela masa menunggu tunggu sleeper train sampai dari Johor Bharu, boleh naik dan tunggu di ruang menunggu di tingkat atas stesen Keretapi Gemas. Ada tandas dan surau juga.

Baca juga: Cuti sekolah, jangan terperuk di rumah. Bawalah anak berjalan, biar mereka rasai momen itu

“Bila keretapi sampai tidak tergambar kegembiraan kami semua. Masing-masing naik ke ataas katil yang cukup selesa. Ada langsir, bantal dan selimut. Jika anda risau gatal-gatal atau tidak selesa, boleh bawa kain sebagai pelapik bantal dan tilam.

“Suhu pendingin hawa dalam keretapi juga sedang elok, tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas. Tidak perlu memakai baju sejuk. Pastikan anda memakai pakaian yang selesa kerana perlu duduk lama di dalam keretapi dan tidak boleh mandi.

“Selepas meletakkan beg, kami bergerak ke kafe di koc 5. Makanan dan minuman di sini sedap. Makan mi segera sup yang berharga RM6.00 semangkuk yang dimasak panas-panas dan dinikmati pada pada pukul 2.00 pagi memang menenangkan,” cerita Diyana.

Selain mi segera sup, ada nasi, bihun dan mi segera yang digoreng panas-panas. Boleh tengok apa menu yang ada ketika sampai. Dapur hanya ada satu sahaja, jadi masak ikut pesanan. Digalakkan anda bawa makanan dan minuman lain juga jika bimbang lambat dapat pesanan makanan dan ramai orang.

Iklan

“Paling seronok sepanjang perjalanan, keretapi akan melalui kawasan kampung dan hutan yang sangat cantik pemandangannya. Jadi jangan tidur selepas Subuh. Nikmatilah pemandangan indah ini dengan sepuasnya.

“Kalau bernasib baik, boleh nampak Gunung Stong dan air terjun Jelawang yang berhampiran Dabong. Boleh nampak suasana berkabus, bukit batu kapur, sungai, jambatan, terowong, dan jambatan rel terpanjang di Malaysia (jambatan Guilemard).

“Keretapi akan berhenti di stesen Kuala Lipis sekitar jam 6.00 pagi, stesen Gua Musang sekitar 8.00 pagi, lalu di jambatan Guillemard sekitar jam 11.00 pagi selain lalu di kawasan Dabong,. Banyak terowong dan sungai yang akan dilalui. Bagaimanapun semua ini bergantung pada jadual perjalanan keretapi. Ketika kami naik keretapi ini, ada sedikit kelewatan berlaku jadi keretapi tidak berhenti lama di stesen Gua Musang.

Baca juga: 3 pilihan main salji sampai puas, lokasi nombor 2 memang port laku keras

Di Stesen Gua Musang wajib turun untuk mengambil gambar dengan kepala keretapi. Anda juga boleh turun beli makanan daripada orang kampung di stesen Dabong. Paling ramai geng backpackers akan turun di Stesen Merapoh untuk ke Taman Negara dan stesen Dabong untuk menerokai alam semula jadi di Jelawang dan Gunung Stong.

Antara tempat wajib bergambar ialah di stesen Gua Musang. Bergambar dengan kepala keretapi. Di tepi bukit pula ada kedai makan, orang kampung lepak-lepak. Jelas Diyana, penduduk di situ semuanya mesra. Jangan lupa melambai-lambai mereka sebagai tanda menghormati penduduk tempatan.

Iklan

“Dengar ura-ura trip keretapi 13 jam ke Kelantan ini akan ditamatkan operasinya. Jadi jika anda ingin merasai pengalaman sekali seumur hidup, segeralah berbuat demikian. Mungkin saya ingin mengulangi pengalaman ini apabila sudah berkahwin nanti. Itu pun jika masih berpeluang berbuat demikian,” jelas Diyana.

Bagaimanapun akui Diyana, dia sedikit terkilan kerana trip keretapi 13 jam ke Kelantan ini antara khazanah Malaysia yang boleh ditambahbaik bagi menarik lebih ramai pelancong. Jika terus dipromosikan, tentu ramai pelancong akan mengunjungi Kelantan dengan menaiki keretapi.

Baca juga: 11 tahun menetap di Norway, wanita cerita pengalaman saksikan aurora di depan mata

Sumber kredit: Facebook Diyana Mukhayadi

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi