KISAH seorang anak memilih pakaian kerja si ayah ketika menyertai satu pertandingan di sekolah membuatkan ramai tersentuh hati.
Biarpun rata-rata kawan sekelas memilih pakaian seragam seperti polis, bomba, tentera, polis trafik dan sebagainya, namun beliau bangga menyarungkan pakaian seorang pekerja pembersihan.
Itulah kisah seorang anak kecil bernama Nur Auni Awatif ketika menyertai pertandingan pakaian beragam bertemakan kerjaya sempena Hari Kanak-Kanak di sekolahnya.
Video kanak-kanak berusia lapan tahun itu viral di laman TikTok usai dikongsikan ayahnya baru-baru ini.
[caption id="attachment_100043" width="600"] Terharu dan bangga seorang ayah bilamana pekerjaannya dipandang mulia oleh anak sendiri.[/caption]
Mengimbas kembali kisah tersebut ketika ditemu bual secara eksklusif oleh Sinarplus, Nor Fadilah Jaafar, 39, yang merupakan ibu kepada Auni berkata, anak kesayangan mereka sangat menghargai kerja ayahnya. Sementelah, si kecil itu juga sangat rapat dengan sang ayah.
"Kalau diikutkan, Auni ingin menjadi cef sebab suka makan, tetapi dalam pertandingan tersebut, Auni memilih untuk pakai baju kerja ayahnya.
"Auni masuk ke bilik dan mengambil baju kerja ayahnya dalam almari dan mencubanya. Walaupun agak besar saiznya, Auni nampak teruja dan selesa," ujar wanita itu sambil mengakui anaknya seorang yang berani dan teruja setiap kali menyertai sesuatu pertandingan.
Bahkan kata Nor Fadilah lagi, mereka sebelum itu memujuk Auni mencuba pakaian seragam anggota Angkatan Pertahanan Malaysia yang dipinjam suami daripada rakannya.
Namun, baju itu tidak muat dan Auni juga tidak selesa memakainya.
"Malah, saya turut memberi idea supaya pilih kerjaya sebagai ustazah seperti ibunya ini, namun Auni enggan.
"Sebagai ibu, saya bangga kerana Auni tidak malu dengan kerjaya ayahnya. Pada masa sama, sedih juga sebab Auni tidak mahu memilih kerjaya seperti ibunya," selorohnya yang bekerja sebagai guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
Baca ni Ayah disangka kekasih gara-gara nampak stailo, awet muda, perkongsian lucu gadis ini raih perhatian
MINTA PENGEPIT & PLASTIK SAMPAH JADI PROPS
Sementara itu, Mohd Anuar Muhammad Yusop, 41 turut berkongsi luahan rasa terharu dengan tindakan anak bongsunya itu.
Biarpun baju kerja tersebut sedikit kotor, namun Auni tetap mahu memakainya. Siap diminta pengepit sampah milik ayahnya, plastik sampah serta topi untuk digayakan di atas pentas.
[caption id="attachment_100042" width="600"] Tidak malu menyarungkan baju kerja si ayah, bangga Auni dengan bangga berkongsi dengan kawan-kawan akan pekerjaan sebenar ayahnya.[/caption]
Seperkara, jawapan yang diberikan Auni tatkala ditanya sama ada tidak kisah memakai baju kerja itu sememangnya boleh mengundang sebak dalam hati sesiapa.
"Katanya, mak dan ayah yang bagi Auni makan, sediakan tempat tinggal dan Auni bangga dengan ayah'. Sebagai ayah, perasaan sebak dan terharu apabila mendengar kata-kata anak yang masih kecil, tetapi dalam sanubarinya tersemat rasa bangga dengan kerja ayah dia.
"Disebabkan teruja, Auni juga bangun awal dan bersiap ke sekolah kerana tidak sabar untuk menyertai pertandingan tersebut. Walaupun hanya meraih hadiah sagu hati, Auni tak sedih, malah berasa gembira.
"Ada juga kawan-kawan sekelas yang pelik dan bertanyakan kenapa memilih baju tersebut. Kata Auni, 'ini baju ayah saya," cerita Mohd Anuar lagi yang bekerja sebagai pekerja pembersihan Majlis Perbandaran Teluk Intan.
RAPAT DENGAN AYAH
Ditanya penerimaan beliau selepas mengetahui kisah anaknya itu tular, akui bapa kepada tiga cahaya mata tersebut, beliau sama sekali tidak menyangka video tersebut akan menjadi bahan perbualan ramai.
"Waktu memuat naik video tersebut, niat saya adalah supaya menjadi kenangan suatu hari nanti. Tidak sangka ia viral dan mendapat perhatian ramai.
"Auni memang rapat dengan saya. Malah, saya yang hantar dan ambilnya daripada sekolah. Setiap kali pulang, mesti akan singgah beli makanan kegemarannya. Auni memang suka makan," ulas Mohd Anuar lagi.
Kagum dengan sikap si kecil berhati mulia itu, SinarPlus meminta pasangan suami tersebut berkongsi tip bagaimana mendidik anak.
[caption id="attachment_100045" width="600"] Auni bersama dua orang kakaknya.[/caption]
Masakan tidak, pada umur sekecil sebegitu, Auni sudah mempamerkan sikap prihatin dan tidak malu mendedahkan kerjaya ayah kepada kawan-kawan.
"Tiada sebarang tip atau petua, cuma kami suami isteri selalu mengingatkan anak-anak supaya sentiasa hormat dengan orang yang lebih tua. Ditambah dengan didikan guru di sekolah membuatkan mereka jadi anak yang baik dan mendengar kata.
"Bab berbelanja, saya dan suami awal-awal lagi tidak ajar mereka bermewah. Sebaliknya kami bersederhana dalam segala hal. Alhamdulillah, setakat ini anak-anak faham dan bersyukur,” katanya.
Pun demikian, cerita lelaki itu, ada masanya anak-anak ajak pergi bercuti.
Dengan nada penuh kelembutan, Mohd Anuar dan Nor Fadilah menerangkan dengan baik tentang soa; penjimatan.
Ditambah, dua cahaya sedang belajar di asrama.
"Saya bersyukur walaupun anak bongsu dan cukup manja, namun Auni sangat mendengar kata. Beliau bukan jenis yang meminta yang bukan-bukan.
"Cuma Auni jenis suka belajar, jadi kalau cikgu minta belikan itu ini, memang Auni akan ingatkan saya banyak kali supaya tidak lupa," kata mereka senada.
Sumber: TikTok @md_anuar
Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi