‘Menu simple, nasi tetap makan.’ Maintain cantik bergaya walau punya anak ramai, ini rupanya rahsia adik Che Ta tampil langsing

SETIAP kali tampil bersama, bukan sahaja penampilan Rozita Che Wan atau Che Ta yang menjadi perhatian, bahkan adik beradiknya yang lain juga tidak mahu kalah.

Biarpun bukan bergelar selebriti, namun masing-masing memiliki kecantikan tersendiri. Salah seorangnya ialah Datin Wira Rohaiza Che Wan.

Memasuki usia 41 tahun, beliau maintain cantik bergaya walaupun anak ramai.

Mesra dipanggil Jaja, SinarPlus berkesempatan menemu bual ibu kepada enam cahaya mata itu bagi berkongsi tips kecantikannya secara eksklusif.

Pemilik nama sebenar, Rohaiza Che Wan mengakui kurang mengambil makanan manis dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Baca ni ”Healing’ versi wanita dewasa, Hanis Zalikha kongsi video anaknya buat rawatan kecantikan raih perhatian warga maya

 

Bahkan, dalam sebuah portal, beliau berkongsi rahsia kekal langsing dengan menyusukan anaknya.

Bercakap mengenai penampilan, Datin Jaja sendiri suka untuk kelihatan cantik.

Tidak terlalu berfesyen, tetapi ingin kelihatan kemas setiap masa.

Menurut anak kelahiran negeri Jelapang Padi itu, rajin berusaha untuk sentiasa tampak jelita antara perkara penting yang perlu ada dalam diri setiap wanita.

Ditebak persoalan mengenai pandangan sesetengah pihak kononnya anak ramai membataskan mereka untuk ‘mencuri’ masa bergaya, ini jawapan tegas Jaja: “Menjaga penampilan ni pada saya itu wajib. Istilah tiada masa atau anak ramai kerana itu hanya sekadar alasan.

“Setiap yang kita lakukan adalah untuk diri sendiri. Demikian juga dalam bab menjaga kecantikan. Kita akan rasa lebih baik apabila tampil cantik.

“Sejak dahulu lagi, saya gemar dengan penampilan yang simple dan ikut mood. Saya suka look oversive, nampak sopan tapi masih tetap stailo.”

Jaja yang menjadikan ibunya sebagai idola dalam menjaga kecantikan luaran dan dalaman menambah, tidak sekadar memastikan diri kelihatan menarik, beliau turut menitikberat dan menyarankan hal yang sama kepada anak-anaknya.

Lihat sahaja gambar dan video yang dimuat naik menerusi media sosial Instagram miliknya, pasti membuatkan anda jatuh kagum. Apatah lagi, wanita itu ialah seorang suri rumah!

“Soal pemilihan pakaian untuk anak-anak, tiada masalah. Baik yang kecil sehingga yang besar cukup mudah. Ini kerana saya sudah praktikkan daripada kecil untuk mereka sentiasa kelihatan dan cantik.

“Jadi, apabila sudah besar, mereka sendiri akan pilih pakaian yang membuatkan mereka nampak kemas.

“Walaupun masing-masing ada stail dan gaya tersendiri, tetapi tetap tak akan lari daripada cara asuhan kita. Lagipun anak-anak saya banyak melihat contoh terdekat iaitu ibunya sendiri,” seloroh isteri kesayangan Datuk Haji Muhammad Faizal Haji Zainul itu lagi.

Baca ni  Gelagat Jebat Jayden kemas rumah sambil buat dialog tentang semut, lalat bikin warga maya terhibur. Lucu betul!

MENU SIMPLE, NASI TETAP MAKAN

Menyentuh soal pengambilan makanan, beliau tidak lokek berkongsi tip.

Katanya, menu yang simple setiap hari menjadi pilihan dan nasi tetap terselit seperti biasa dalam menu hariannya.

“Saya tetap makan nasi cuma sedap macam mana sekali pun, saya takkan tambah. Porsi tetap sama. Selain itu, saya tidak ambil minuman manis seperti kopi dan teh. Sebaliknya, saya pastikan pengambilan air putih setiap hari mencukupi.

“Sebab itu, ke mana sahaja saya pergi, saya takkan lupa untuk bawa botol air bersama. Saya boleh minum air berbotol-botol. Sementelah, saya suka bersukan seperti bermain badminton dan golf. Itu antara pelengkap kepada rutin saya dalam menjaga kecantikan,” kongsi Jaja lagi.

SASARAN ENAM ANAK

Akuinya kepada penulis, sejak kecil sudah terbiasa dengan keluarga besar dan adik beradik ramai. Justeru, apabila berkahwin, beliau memang meletakkan sasaran untuk memiliki anak ramai.

“Alhamdulillah rezeki ALLAH bagi, sasaran enam anak itu sudah tercapai kini. Soal beban anak ramai itu tiada kerana pada saya, setiap yang kita lakukan kena ada sistem, jadual dan juga perancangan.

“Penat memang penat tetapi berbaloi. Apabila anak-anak sudah besar nanti, segala masa penat itu lah yang kita akan rindu. Sebab itu, kena hargai segala momen tersebut selagi mampu.

“Saya berkahwin pada usia 28 tahun dan memang sudah rancang mahu anak ramai. Malah kehidupan di rumah juga tidak pernah sunyi. Keletah anak-anak yang macam-macam ragam membuatkan suasana sentiasa meriah,” ujar wanita penuh pesona itu lagi.

Tatkala diminta berkongsi petua hilang stres terutama buat ibu-ibu di luar sana yang miliki anak ramai, kata Jaja: “Paling utama kena ada sistem sokongan yang kuat baik daripada suami ataupun ahli keluarga.

“Dalam isu ini juga, kawan-kawan terdekat turut memainkan peranan dalam memberikan semangat. Namun, paling berkesan kalau nak hilangkan stres, ingat ALLAH selalu ada. Jadi, minta pada-NYA supaya permudah dan ringankan segala-galanya.

“Pada masa sama, kalau nak hilang stres cuba pandang wajah anak-anak dalam-dalam. Insya-ALLAH kita akan rasa lapang dada.”

Sumber gambar: Instagram jcw_81

Layari portal SinarPlus, sinarplus.sinarharian.com.my untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami untuk info dan kisah penuh inspirasi