EMPAT hari selepas suaminya membuat pengakuan sudah selamat bernikah buat kali kedua, aktres, Puteri Sarah Liyana mengambil keputusan untuk dilepaskan kerana tidak rela dimadu.
Perkara itu dikongsikan sendiri Puteri Sarah menerusi akaun Instagram miliknya dan turut mendapat sokongan ramai.
Sarah juga menerusi Insta Stories meluahkan rasa kecewanya dan malu dengan sikap tidak matang yang ditunjukkan Syamsul Yusof bagi pihak dua anak mereka, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Hantaran itu dipercayai dibuat selepas Syamsul mendoakan ketenangan buat kedua-dua isterinya pada pagi ini.
ARTIKEL BERKAITAN ‘Moga dua isteriku tenang.’ Kongsi gambar Puteri Sarah, Ira Kazar, hantaran Instagram Syamsul Yusof jadi perhatian
"Saya cuba untuk tidak memberikan respon di atas apa-apa perkongsian tetapi berasa sangat kecewa dan malu bagi pihak keluarga serta anak-anak.
"Hal ini kerana saya tidak dapat mengawal sepenuhnya anak-anak untuk menggunakan telefon dan melihat apa yang telah beredar di media sosial.
"Jaga sensitiviti terhadap anak-anak dan keluarga awak. Malunya ya Allah, Syaikhul dan Sumayyah dapat ayah macam ni,” tulisnya.
Syamsul pada 6 Januari lalu memaklumkan telah pun menikahi Ira Kazar dengan diwalikan Kazar Saisi di Thailand.