Mei Fen rindu nak berkumpul ramai-ramai sempena Tahun Baharu Cina. Ada hal lain yang pelakon itu rindukan...
KALAU dilihat kembali, kehadiran selebriti bukan berbangsa Melayu rata-ratanya cukup berbakat.
Mudah kata, kehadiran mereka bukan dengan tangan kosong, sebaliknya mempertaruhkan kebolehan yang dimiliki.
Kepada mereka yang fasih berbahasa Melayu, laluan untuk muncul dalam drama dan filem Melayu lebih mudah.
Daripada puluhan selebriti di negara ini, Lim Mei Fen antara yang tergolong dalam kelompok artis yang versatil.
Bersempena dengan Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini, SinarPlus mengajaknya bertandang ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor untuk berbual tentang sambutan raya dan lain-lain perkara baru-baru ini.
Hadir dengan persalinan ringkas, kata Mei Fen, beliau sebenarnya kini sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Pengedaran dan Pemasaran Filem di Akademi Filem, Beijing, China.
Pun demikian, personaliti tersebut ‘mencuri masa‘ untuk pulang ke tanah air bagi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta termasuk menghadiri sesi penggambaran bersama kami.
Pertemuan pada petang yang permai itu dimulakan dengan penceritaan mengenai lembaran memorinya menyambut raya.
"Kalau dulu, saban tahun kami akan berkumpul ramai-ramai di rumah datuk. Bayangkan betapa meriahnya apabila semua ada memandangkan datuk ada 10 anak. Semua mak cik dan pak cik serta sepupu termasuk saudara-mara lain turut akan pulang ke kampung.
"Waktu ini kami akan makan besar. Setiap seorang akan beli atau sediakan satu menu. Memang banyak makanan," katanya yang seolah-olah mengharap kenangan indah yang pernah direntas sebelum ini dapat diulangi sekali lagi.
KUIH KAPIT
Mei Fen terus rancak bercerita. Kata beliau, sebanyak mana pun masakan yang dihidangkan, neneknya akan menyediakan hidangan wajib iaitu abalon (sejenis makanan laut) dan kuih kapit.
"Memang tak sah kalau tiada kuih kapit. Bahkan, sebelum balik ke rumah masing-masing, nenek akan bekalkan kuih tersebut dalam dua hingga tiga bekas tin setiap seorang," katanya.
Daripada nada keterujaan bertukar sedikit kelesuan. Beritahu Mei Fen, dirinya sedikit ralat kerana tidak berpeluang untuk belajar membuat kuih tradisional berkenaan daripada nenda tersayang.
Selepas datuknya meninggal dunia, Tahun Baharu Cina juga sudah tidak lagi diraikan dalam skala yang besar.
Sejenak difikirkan, wujud kerinduan bukan kepalang. Namun, kata empunya badan, semua orang akur bahawa momen lama tidak boleh diputar kembali lantaran masing-masing ada urusan tersendiri.
Apa pun terjadi, satu perkara yang masih dipertahankan Mei Fen adalah tetap pulang ke kampung untuk beraya.
"Bohonglah andai kata tidak rindu nak berkumpul seperti dulu, tetapi kita memahami komitmen masing-masing. Sekarang ini, semua sambut dengan keluarga sendiri saja. Jika ada masa, baru kami berkumpul.
"Pernah juga saya tak boleh balik kampung. Keluarga yang turun ke Kuala Lumpur. Masa itu, kami sempat juga melawat saudara terdekat. Seperti kebanyakan orang lain, saya pernah melalui situasi menyambut raya tanpa keluarga ketika wabak Covid-19 menyerang negara sebelum ini. Kami hanya berhubung melalui telefon sahaja," imbaunya.
Baca lagi 'Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata
KEHIDUPAN DI ASWARA
Kisah sambutan Tahun Baharu Cina kami tinggalkan, bual bicara seterusnya beralih kepada penglibatan wanita berusia 35 tahun itu dalam industri seni.
Kepada yang mungkin sudah terlupa, Mei Fen bukan calang-calang pelakon. Beliau ialah bintang utama dalam filem berkualiti, Prebet Sapu. Karya itu memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik pada Malaysia Golden Global Awards tahun lalu.
Menelusuri pembabitan awal beliau dalam dunia lakonan, segalanya bermula ketika anak kelahiran Pulau Pinang itu membintangi teater Takhta 3 Ratu arahan Erma Fatima di Istana Budaya beberapa tahun lalu.
Dr Soo Wincci katanya, telah memainkan peranan besar menjadikannya sebagai anak seni.
"Kalau diikutkan perjalanan sebagai artis bermula sekitar tahun 2016. Ketika itu, saya dalam industri drama Cina. Kemudian, Dr Wincci tawarkan saya berlakon teater pada penghujung tahun 2017 di bawah arahan Erma. Jujur saya beritahu, saya memang tak fasih cakap bahasa Melayu.
"Sewaktu berlatih, saya dimarahi Erma, tetapi saya tak tahu apa yang beliau marahkan ketika itu. Namun, dari situlah timbul minat dan saya mula tanyakan kepada kawan-kawan di mana saya boleh belajar bahasa Melayu dengan baik," ceritanya.\
Entah mana semangat itu hadir, kecintaan dalam bidang lakonan membuatkan Mei Fen melaungkan tekad untuk menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang teater.
"Ketika di Aswara umur saya sudah 28 tahun dan saya anggap sudah terlalu lewat untuk masuk kampus kembali. Sampai ada kawan-kawan yang marah kerana saya sanggup tolak tawaran berlakon lain semata-mata mahu sambung belajar.
"Tiga bulan pertama masuk ke Aswara, saya ibaratkan diri ini masuk ke satu dunia yang berlainan. Seorang budak Cina yang tak reti cakap Melayu dan tak faham apa yang pensyarah ajar dalam kelas wujud di situ. Ya, dulu di sekolah, saya belajar Bahasa Melayu semata-mata nak lulus saja," katanya yang tidak malu mengakui banyak kali gagal dalam kelas terutama bagi tugasan monolog.
Mahu sahaja kaki melangkah keluar, namun dorongan dan sokongan rakan taulan mematahkan desakan negatif itu.
"Saya masih ingat semasa saya sedang menduduki peperiksaan akhir. Disebabkan saya terlalu banyak menghafal tanpa memahami, telah menyebabkan saya banyak kali gagal. Pun demikian, kawan-kawan tetap bagi semangat.
"Satu lagi, jika orang lain ambil masa sejam untuk buat tugasan, saya pula sebaliknya. Saya perlukan tiga hingga empat jam," jelas Mei Fen bersyukur kerana berjaya menghabiskan pengajian dengan memperoleh segulung ijazah.
Betapa Mei Fen menghargai rakan-rakan di Aswara, meski penulis mahu melabuhkan tirai tentang topik itu, beliau masih terus bercerita.
"Benar, saya terharu dengan kawan-kawan Aswara sepanjang belajar. Saya tinggal di asrama dan boleh dikatakan saya tidur baring dan makan bersama-sama dengan kawan-kawan berbangsa Melayu. Terima kasih semua," ujar Mei Fen dengan ungkapan yang penuh tulus.
BACA JUGA: Casablanca bawa tuah, jadi siulan seantero Nusantara, Nuha Bahrain ada misi penting tahun 2023
MAHU BERGELAR PENERBIT
Selagi Mei Fen bersama, selagi itulah sisi peribadinya digali. Sebelum bergelar penggiat seni, ujar dramatis We Were The Best itu pernah bekerja dengan syarikat ayahnya yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan elektronik.
"Selepas syarikat ayah terpaksa ditutup akibat masalah kewangan, saya berjanji dengan keluarga untuk mencari kerja tetap untuk mendapatkan sumber pendapatan.
"Memang pada masa itu, saya sudah bergelar pelakon, tetapi sekadar suka-suka. Siapa sangka ia mampu bertahan sehingga sekarang," ungkap beliau yang mengakui semakin ‘ketagih‘ untuk berlakon lantaran jiwanya semakin menebal dalam dunia itu.
Tutur katanya diteruskan dengan memberitahu, 'jodoh' beliau dalam bidang seni seperti ada ikatan kimia yang tidak boleh diputuskan lagi.
"Setiap kali ada niat mahu berhenti berlakon, ada sahaja tawaran muncul. Mungkin ‘jodoh‘ saya dengan bidang seni cukup kuat. Saya terima banyak kasih dan sayang daripada setiap orang dalam bidang ini. Itu membuatkan saya semakin sayang dan enggan nak tinggalkan mereka semua," katanya serius.
Ujar Mei Fen, meski kelibatnya dalam lapangan tersebut agak lewat, perjalanan kariernya cukup mudah dan lancar.
Atas dasar itu, seandainya sebarang kesulitan dan kesukaran menerpa, tuan punya badan tidak mahu cepat berputus asa. Malah, dirinya bercita-cita mahu menerbitkan naskhah cetusan daripada ideanya sendiri.
Diminta meleraikan apa yang sudah ada dalam fikirannya, personaliti tersebut kemudian berkata, beliau sudah mempunyai skrip dan jalan cerita untuk sebuah teater yang ingin diterbitkan kelak.
Naratif karya itu nanti adalah berkisar tentang kehidupan yang direntasnya termasuk pengalaman ketika sedang menuntut di Amerika Syarikat (AS).
Baca lagi As'ad Motawh kongsi cerita jatuh bangun kerjaya. Hasil usaha dan kerja keras, kehidupannya berubah
"Begini, ketika di AS, saya mempunyai seorang mak angkat. Kami sering bersama belajar memasak, buat kek dan sebagainya. Rupa-rupanya hal itu mengundang rasa ‘cemburu‘ oleh ibu kandung saya.
"Tanpa sedar, perkongsian setiap bibit-bibit kemesraan dan aktiviti bersama ibu angkat telah membuatkan ibu tersentuh hati. Kalau saya bercerita tentang mak di AS, ibu hanya diamkan diri. Rupa-rupanya di belakang saya, ibu menangis," katanya.
Situasi berkenaan hanya diketahui Mei Fen selepas dimaklumkan oleh adiknya.
"Itulah antara babak yang akan saya selitkan jika saya berpeluang menerbitkan karya sendiri nanti," selorohnya.
Cerita punya cerita, Mei Fen mendedahkan, beliau sebenarnya telah ditentang oleh bapa tercinta ketika melanjutkan pengajian dalam jurusan teater di AS beberapa tahun lalu.
Bapa selebriti tersebut berpendapat, kursus tersebut tiada masa depan.
"Saya sempat belajar satu semester sahaja kerana bapa tak mahu lagi menanggung yuran jika saya tak tukar kursus lain. Namun, tak mengapalah, itu semua perkara lama. Apa-apapun saya akan teruskan perjuangan saya dalam bidang ini," katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.