Perlu tambah darah setiap bulan, makan ubat dan kena suntik. Bee Aishah tetap mahu terus jadi anak seni

DEWI Remaja merupakan salah sebuah program yang banyak merevolusikan kehidupan seorang wanita.

Daripada tiada apa-apa, ada dalam kalangan mereka menjadi selebriti popular yang disanjung masyarakat sehingga ke saat ini.

Atas dasar itu, berduyun-duyun gadis cantik di luar sana berusaha memasuki pertandingan berprestij tersebut.

Namun, cerita peserta Dewi Remaja edisi 2022, Bee Aishah, berbeza sama sekali.
Keberadaannya adalah demi memenuhi hasrat ibu tercinta melihat beliau muncul dalam kaca televisyen. Menang atau kalah, belakang cerita.

Namun, apa yang diperolehnya lebih daripada itu. Pemilik nama sebenar Siti Nur Aishah Bee Md Nor telah dinobatkan sebagai naib juara!

Baca lagi ‘Obses dengan duit dan mahu cepat jadi kaya.’ Cik Puan Gojes tak kisah apa orang nak kata 

Kemenangan tersebut ujarnya, bukanlah semudah seperti membalikkan telapak tangan. Pelbagai halangan dan ujian terpaksa ditempuhi.

“Bayangkan ketika itu saya alami masalah keresahan dan tiada keyakinan diri. Namun saya akur dan sertai uji bakat demi ibu,“ luah Bee sambil menggenggam erat kedua-dua tangannya.

Kepada yang menyaksikan siri demi siri perjalanan program Dewi Remaja, beliau bukanlah peserta pilihan dan dianggap sebagai underdog.

“Selepas menjadi satu-satunya wakil Johor, saya kemudian terpilih menjadi kesebelasan utama. Bagi saya, itu satu pencapaian yang sudah cukup bagus. Rezeki sekali berpihak apabila saya menjadi empat finalis sebelum diumumkan sebagai pemenang tempat kedua,“ katanya.

Pun demikian, ada sesuatu yang memeranjatkan berlaku ke atas gadis berusia 22 tahun itu.

Sewaktu berada pada titik akhir pertandingan, rahsia penyakit talasemia yang dideritainya terbongkar selepas beliau jatuh sakit dan terpaksa menerima rawatan di belakang pentas.

“Sebenarnya petang sebelum berlangsungnya program, saya sudah kekurangan oksigen.

“Ketika sedang dimekap dan menyarung busana, saya terpaksa masuk ke dalam ambulans untuk dapatkan oksigen agar dapat bernafas dengan baik,“ ujarnya menitipkan kesyukuran apabila segala yang direncana berjalan lancar.

TAK KISAH RISIKO
Pertemuan pada petang itu nampaknya berlangsung sedikit serius tatkala kami bersembang tentang krisis kesihatan yang dihidapi oleh Bee. Ujarnya, sejak usia tiga tahun dirinya bergelut dengan talasemia.

Aturan ‘preskripsi’ hidupnya amat mencabar. Selain menjalani transfusi darah pada setiap bulan, beliau terpaksa bergantung kepada pengambilan ubat, suntikan dan beberapa prosedur lain untuk terus survival.

“Saya ialah penghidap major talasemia. Jadi, saya perlu tambah darah setiap bulan sama ada satu hingga dua pain bergantung tahap keaktifan saya. Lagi aktif, lagi kurang darah.

“Pun begitu, ada implikasi lain jika selalu tambah darah. Zat besi yang terlebih akan mendatangkan risiko kegagalan jantung, penyakit tulang, kerosakan hati atau kematian,“ ungkapnya yang mengakui tidak boleh berada dalam situasi tertekan dan melaksanakan kerja yang terlalu berat atau padat kerana ia boleh menyebabkan tahap darahnya menurun.

Seakan dapat membaca fikiran penulis yang ingin bertanya kenapa memilih kerjaya dalam bidang seni yang sememangnya menjemput risiko, pantas empunya diri menjawab: “Saya nak jadi anak seni sebab minat. Saya jenis orang yang hanya buat perkara yang saya suka.

“Sejak dulu lagi, saya minat berlakon dan mengacara. Pendek kata, saya suka berada di hadapan kamera dengan berpakaian cantik.“

Selebriti muda remaja itu menegaskan, penyakit yang bersandar dalam tubuhnya itu sejak 20 tahun lalu bukan satu penghalang besar untuk beliau menggapai impian diri dan harapan ibu.

“Saya tahu dan kenal bagaimana situasi badan saya. Kalau sakit, saya akan pergi ke hospital. Kalau perlukan bantuan kesihatan, saya ada doktor yang membantu,“ katanya berseloroh, namun pernyataan itu seperti benar.

Minda penulis bersarang dengan pelbagai persoalan. Pada asalnya, mahu dipedulikan sahaja, tetapi entah mengapa soalan yang difikirkan meluncur laju tanpa perancangan.
Bee, bagaimana hendak membina kehidupan bersama bakal imam anda kelak? Tanpa teragak-agaknya, beliau menjawab.

“Pertama kali saya akan tanya kepada calon suami, adakah beliau penghidap talasemia? Kalau ya, awal-awal lagi saya akan ‘pangkah‘ beliau,“ ungkapnya dengan nada seloka.

Leluconnya itu hanya seketika. Beliau kemudian meluahkan isi hati. Soal mencari teman hidup bukanlah perkara utama yang tersenarai dalam diarinya kini.

Gadis manis yang cukup mesra dan positif itu seboleh-bolehnya akan mencegah diri daripada dirundung kesedihan jika ditakdirkan masih belum dimiliki meski usia sudah 30-an nanti.

“Saya reda dan percaya kepada ketentuan-NYA. Ya, sudah pasti setiap orang inginkan ada insan tersayang di sisi, namun situasi saya berbeza.

“Bukan mudah untuk saya memilih pasangan. Saya kena cari calon normal yang tiada penyakit talasemia dan juga penyakit lain,“ katanya.

Dari sisi lain, jika perkahwinan berlaku, suami juga perlu terima hakikat zuriat yang dilahirkan akan berisiko berdepan situasi yang sama dengan si ibu. Ini kerana Bee ialah penghidap talasemia major.

Ah! Butir perkataannya bikin kami sama-sama sebak. Pun begitu, semangat personaliti jelita berkenaan amat dikagumi.

Iklan

Empunya badan berkata, hal-hal menyedihkan mahu diusir jauh-jauh. Kini, beliau ‘mengisytiharkan‘ dirinya untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang seni dan membahagiakan ibu.

PELAJAR CERDIK
Kepada penulis, Bee berkata, seluruh jiwa dan raganya hanyalah untuk ibu beliau, Azizi Ali.
Sepanjang wawancara, mantan guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah tadika itu tidak lekang daripada terus memuji dan melontarkan perasaan kagum dengan semangat wanita kesayangannya itu.

“Beliau merupakan seorang ibu tunggal dan saya menyaksikan kepayahan ibu membesarkan kami tiga beradik.

“Mungkin orang tidak percaya andai saya katakan, hubungan saya dan ibu tidaklah serapat mana. Tiada istilah anak bongsu yang begitu dimanjakan, sebaliknya saya lebih banyak berdikari,“ kata Bee yang tanpa malu memberitahu dirinya dibesarkan dalam keluarga yang serba sederhana.

Lantaran itu, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), personaliti berkulit sawo matang itu sudah mula mencari duit sendiri.

Malah, ketika sedang belajar pun, beliau tidak kisah melakukan dua hingga tiga kerja sampingan pada satu-satu masa.

Adakalanya, beliau menjadi pembantu di gerai makan atau di warung burger. Jika diberi peluang, Bee akan menulis skrip dan menjadi tutor peribadi.

“Saya ini ada satu tabiat, kalau bosan, saya akan cari kerja. Jadi tutor adalah salah satu cara saya penuhi masa terluang.

“Kebetulan kawasan perumahan saya ramai budak. Ketika gelombang wabak Covid-19, saya buka kelas tambahan dengan pelajar seawal usia empat tahun hingga yang menduduki SPM,“ kongsinya.

Satu hal yang menarik tentang gadis rupawan itu, Bee pernah menjadi jurulatih bola sepak untuk pasukan kanak-kanak.

Iklan

Itu sebab ujar tuan punya badan, jika budak kecil sebayanya asyik berpelukan dengan anak patung, beliau lebih gemarkan sukan bola sepak.

“Minat tersebut terbawa-bawa sehingga saya dewasa. Walaupun tiada pentauliahan sebagai jurulatih bola sepak, tetapi sebab saya banyak belajar, ditambah pengalaman mengajar kanak-kanak sebelum ini, mungkin itu faktor utama saya diterima menjadi jurulatih bagi pasukan bola sepak kanak-kanak,“ ujarnya.

Ramai kata, kalau sibuk cari wang, pasti pelajaran akan terabai. Namun, Bee memastikan situasi tersebut tidak terjadi kepadanya.

Tidak mahu cakap kosong, anak muda berketinggian 166 sentimeter itu berjaya meraih Anugerah Naib Canselor sejurus tamat pengajian dalam Diploma Perfileman, Universiti Teknologi Mara, Puncak Perdana, Selangor.

Diminta berkongsi tip kecerdikannya, Bee mengekspresikan rasa rendah diri dengan cepat-cepat menyangkal bahawa beliau bukanlah individu terbaik yang boleh dijadikan contoh.

“Saya jenis belajar dan buat kerja saat-saat akhir. Cuma kalau dalam bilik kuliah, saya akan beri tumpuan penuh, siap rekod apa yang pensyarah cakap. Kemudian, saya akan dengar kembali.

“Begitu juga dalam soal membuat tugasan dalam kumpulan. Saya pilih ahli yang memang beri kerjasama yang baik dan bukan jenis suka tidur dalam kelas,“ ulas gadis itu yang mempunyai keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi suatu hari nanti.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi