Siapa kata Labuan tak 'best' untuk pergi melancong? Ini destinasi menarik semua kena tahu

Iklan
Labuan

RAMAI yang mengandaikan Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah hanyalah sebuah pusat pentadbiran semata-mata.

Telahan itu sebenarnya tidak tepat kerana pulau tersebut kaya dengan destinasi menarik untuk dikunjungi.

Iklan
Iklan

Penduduknya yang mencecah lebih 95,000 orang memiliki kepelbagaian budaya, adat, tradisi termasuk pantai yang mempesona.

Dipelawa oleh Tourism Malaysia Labuan sempena program Bah Travel Kita Ka Labuan untuk melawat beberapa singgahan menarik di sana betul-betul mengubah perspektif penulis tentang destinasi itu.

Iklan

Itinenari kami bermula dengan melawat Kampung Bukit Kuda. Satu pengalaman baharu yang mengujakan apabila rombongan media diajar memasak makanan tradisi penduduk tempatan, ambuyat.

Iklan

Kami dimaklumkan, sagu yang merupakan bahan utama pembuatan makanan itu diambil dari pokok rumbia.

Tidak hanya ambuyat semata-mata, penduduk kampung turut menyajikan tiga jenis kuah istimewa iaitu kuah buah bambangan, sambal belacan dan asam jawa yang dicolek menggunakan candas (garfu buluh).

Belum habis kenyang, kami terus diperkenalkan dengan permainan tradisional Labuan yang dikenali sebagai Gasing Borneo.

Apa yang boleh dikatakan, teknik bermain gasing di sana berbeza dengan cara orang Pantai Timur.

Bagi penulis, Desa Tunas Hijau perlu dijadikan destinasi wajib pergi jika anda berkesempatan ke Labuan.

Banyak aktiviti menguji adrenalin yang boleh dilakukan bersama keluarga tercinta. Antaranya seperti bermain ATV dan berkayak.

Baca juga 5 pulau privasi terbaik di Sabah wajib dikunjungi tahun 2021. Ada yang tak pernah kita dengar langsung…

Lokasi tersebut juga sesuai untuk mencari ketenangan jiwa. Jika tidak mahu berjalan kaki melihat keindahan flora, servis kereta mini disediakan.

Taman Jurassic yang terdapat di Desa Tunas Hijau itu juga pastinya akan membangkitkan keterujaan si cilik.

Masakan tidak, para pengunjung yang sedang asyik berjalan akan diagah manja oleh dinasour atau gorila yang tiba-tiba menerpa.

Saiz gergasi haiwan-haiwan itu ditambah dengan efek bunyi-bunyian sebenar akan membuatkan anda berasakan seperti ‘terperangkap’ dalam dunia purba.

Kembara diteruskan dengan menyaksikan ciptaan agung ALLAH. Ya, panorama yang cukup mempesona Pulau Rusukan Besar sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.

Berdasarkan penerangan, destinasi berkenaan turut mendapat jolokan Pulau Mayat lantaran rupa bentuknya persis seperti orang yang sedang berbaring. Kedudukannya juga betul-betul terletak bersebelahan dengan negara Brunei.

Baca juga Rupa-rupanya banyak destinasi menarik di Pontian, Johor untuk dilawati. Ini 5 lokasi wajib pergi

Menariknya di situ, terdapat Pusat Penetasan Penyu yang dikawal selia oleh Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Labuan. Wah! Tidak hanya di Terengganu, di Labuan juga kita boleh berjumpa spesies penyu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Tracey J Tojuka berkata, Labuan yang turut dikenali sebagai Mutiara Borneo mempunyai sejumlah lokasi yang menarik untuk dijelajahi.

"Saya berharap penduduk dari Semenanjung Malaysia akan memilih Labuan sebagai tempat untuk berlibur,” ujarnya.

Baca juga Ambuyat pengganti nasi, makanan tradisional unik masyarakat Sabah, Brunei

Sempena majlis penutup lawatan, pihak media dihiburkan dengan persembahan unik iaitu 'bermukun.'

Bermukun merupakan upacara menari dan berbalas pantun yang diiringi dengan irama gendang yang membuai perasaan.

#REKREASIPILIHAN

Tidak seperti Kuala Lumpur, Labuan merupakan lokasi yang terhindar daripada hiruk-pikuk kota.

Justeru, kepada pembaca SinarPlus yang rindukan ketenangan dan tidak mahu bersesak-sesak, pulau bebas cukai itu antara pilihan terbaik.

Kami senaraikan beberapa lagi destinasi menarik untuk anda penuhkan jadual liburan selama beberapa hari berada di sana.

Muzium Chimney

Alamat: Muzium Chimney, Kg Lubok Temiang, Jalan Tanjung Kubong, Labuan

Waktu operasi: Isnin hingga Ahad (9 pagi hingga 5 petang)

Bayaran: Percuma

Facebook: Muzium Chimney Labuan

Muzium Labuan

Alamat: U 0364, Jalan Dewan, Labuan

Waktu operasi: Isnin hingga Ahad (9 pagi hingga 5 petang)

Bayaran: Percuma

Facebook: Muzium Labuan

Salinang Maju Enterprise

Alamat: BL86, Kampung Bebuloh Laut, Labuan

Waktu operasi: Isnin hingga Sabtu (8 pagi hingga 8 malam)

Laman web: https://my.worldorgs.com/katalog/labuan/kedai/salinang-maju-enterprise-pembekal-ikan-bilis

Peace Park

Alamat: Perkampungan Layang-Layangan, Labuan

Waktu operasi: Isnin hingga Ahad

Bayaran: Percuma

Laman web: https://labuan.attractionsinmalaysia.com/Peace-Park.php

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.