PANDEMIK Covid-19 benar-benar buat ramai kaki jalan terduduk. Masakan tidak, mereka yang sudah merancang untuk percutian ke luar negara sepanjang tahun 2020 terpaksa berputih mata selepas sekatan rentas negara dilaksanakan seluruh dunia.

Bukan sahaja terpaksa memendam rasa kerana impian untuk menjejaki kaki ke tanah orang tidak kesampaian, pada masa sama, duit yang dibelanjakan untuk tiket kapal terbang dan hotel hangus begitu sahaja.

Jangan kecewa sangat ya kerana kita tidak dapat bercuti seperti yang dirancangkan demi membantu membendung penularan kes wabak korona yang semakin hari semakin tinggi.

semporna island

Pun begitu, larangan merentas negeri sudahpun dilonggarkan dan semua boleh bercuti dengan keluarga dengan syarat, patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti pakai pelitup muka, penjarakkan sosial dan jaga kebersihan diri.

Bagi mereka yang merancang untuk bercuti sempena tahun baharu, bolehlah usha 5 pulau privasi untuk menikmati ketenangan bersama insan tersayang tanpa lambakan orang ramai.

semporna island

Di Sabah misalnya, terdapat banyak pulau unik dengan panorama cukup mengagumkan di samping kejernihan air laut yang betul-betul menenangkan perasaan.

Jika bertuah, anda boleh lihat habitat dugong yang masih terpelihara! Ini senarainya:

semporna island

1. Pulau Timba Timba
Antara pulau paling sesuai untuk mereka yang inginkan ketenangan dan privasi. Selain memiliki beting pasir yang cantik antara dua pulau, keunikan kejernihan air bagai kristal tiada tandingan. Wajib datang ke sini walaupun sekali!

semporna island

2. Pulau Bohey Dulang
Pulau yang dikenali dengan nama Bohaydulong atau Bohidulong dengan jarak perjalanan menaiki bot lebih kurang 30 minit daripada jeti di Semporna itu ialah sebahagian daripada lapan pulau yang terdapat di Taman Marin Tun Sakaran dan mempunyai keunikan tersendiri apabila memiliki puncak bukit dengan ketinggian 300 meter dari aras laut.

Iklan

semporna island

3. Taman Marin Tun Sakaran
Terkenal dengan nama Taman Kepulauan Semporna kerana memiliki pulau-pulau kecil di sekeliling yang terbentuk daripada batuan lahar gunung berapi seperti Sabangkat, Maiga, Salakan, Sibuan, Tatagan dan kawasan terumbu karang yang sangat cantik.

semporna island

4. Pulau Mataking
Pulau paling unik di Malaysia kerana mempunyai pejabat pos di bawah dasar laut. Kargo karam yang dijadikan kawasan terumbu karang digunakan sebagai pejabat pos. Ya! Perlu menyelam untuk menghantar surat ke dasar laut.

Iklan

semporna island

5. Pulau Kelambu
Salah satu destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi kerana kurang dilawati. Berbeza dengan pulau lain yang lengkap dengan kemudahan asas, pulau yang berhampiran Kudat memang memberikan privasi untuk mereka yang ingin jauh daripada orang ramai.

Sebenarnya, ada banyak lagi pulau-pulau cantik yang ada di Sabah yang cukup popular dalam kalangan kaki snorkeling. Apapun pilihan pulau idaman anda, yang penting jaga SOP demi membendung wabak Covid-19 ya?

Foto @malaysia.truly.asia