GARA-gara mengalami sakit tulang belakang atau slipped disc yang teramat sangat, seorang pemuda ditemui dalam keadaan tertiarap dan merintih di kawasan parkir kediaman.
Mujur tidak gelabah, pemilik akaun TikTok @BojanKL sempat merakamkan keadaan lelaki berkenaan dan membantunya sehingga dibawa ke hospital.
Kejadian yang berlaku pada waktu pagi itu benar-benar cemas tetapi telah dikendalikan dengan baik.
"Pagi tadi saya dalam perjalanan naik ke rumah ada seorang brother ini tiba-tiba terjatuh di depan saya dan kemudian meraung-raung.
Baca juga: Makin ramai anak muda alami slipped disc, cuba tip ini
"Saya memang gelabahlah nak tolong tak tahu nak buat apa. Saya call ambulans untuk dapatkan bantuan, selepas itu saya panggil security untuk temankan.
"Alhamdulillah ambulans pun sampai dengan pantas memberi bantuan dan bawa brother ini untuk rawatan lanjut," kongsinya.
Dalam pada itu warga maya yang mengikuti video terbabit berkongsi pengalaman berkenaan slipped disc.
Ramai juga yang menzahirkan terima kasih atas bantuan yang dihulurkan.
-”Ya betul, akak pernah kena slipped disc duduk sakit, baring sakit. Serba tak kena.”
-"Sakit slip disc ni memang orang lain tak boleh bantu. Kita je tahu sakit macam mana. Gerak sikit rasa macam tulang belakang nak patah.”
-"Saya juga pernah kena empat tahun dah. Cervical slip disc C3, C5 dan C6, puncanya postur duduk dan kerap tengok handphone dan komputer”
-"Terima kasih kerana bantu adik ini.”
Dalam pada itu, BojanKL juga berkongsi tip tentang 3B yang diamalkan dalam membantu insiden berkenaan dan kronologinya.
"Jangan terlalu buruk sangka dalam semua keadaan. Saya amalkan 3B iaitu Berhenti, Bertanya dan Bantu. Kalau rasa tak dapat bantu, mintalah bantuan orang lain.
"Saya tengok dia berbaring meraung kesakitan, saya pergi dahulu dan cuba hidu sekiranya ada bau alkohol atau sebagainya, jadi dia bukan mabuk.
"Saya tahu bagaimana rasa slipped disc kerana pernah kena pada tahap rendah. Itu pun kesakitannya seolah tidak bernyawa,” katanya.
Beliau juga telah meminta izin daripada pemuda berkenaan membuka beg duit bagi mendapatkan butiran diri dan meminta pengawal keselamatan memanggil ahli keluarga pemuda berkenaan. Namun didapati lelaki berkenaan tinggal seorang diri.
Menjawab persoalan warga maya tentang proses membawa lelaki berkenaan dibawa ke hospital oleh pihak perubatan, katanya suntikan ubat tahan sakit telah diberikan terlebih dahulu.
”Selepas lima minit selepas suntikan baharulah dia berbaring dan dengan menggunakan kain diangkat ke atas strecher,” katanya.
Jadi, bagi anda yang mungkin akan bertembung dengan situasi cemas seperti ini, jangan takut untuk membantu. Ikuti tips 3B yang dikongsikan dan dalam masa sama dapatkan bantuan daripada orang sekeliling.
Baca juga: Duduk lama punca sakit belakang. Cuba 4 tip ini, cegah kesakitan
SLIPPED DISC
Untuk pengetahuan anda, slipped disc pada tulang belakang juga dikenal pasti sebagai PID (prolapsed interverterbral disc). Ia bukan sakit yang biasa-biasa ya!
MyHealth mendedahkan Slipped disc merupakan pengalihan nucleus pulposes dari lokasi normal yang duduk di pertengahan disk. Ini boleh menyebabkan anggota badan menjadi kebas/ lemah.
Slipped disc tulang belakang mungkin berpunca daripada:
1-Perubahan kepada disk seperti penuaan pada disk tulang belakang yang mengalami faktor mekanikal, trauma, nutrien, and genetik.
2-Kecederaan otot
3-Postur tidak betul
4-Patah tulang belakang (jarang)
5-Kelemahan otot stabiliti
Antara gejala slipped disc tulang belakang ialah seperti berikut:
1-Sakit belakang
2-Sindrom sciatica (rasa sakit, lemah dan kebas pada bahagian belakang anggota bawah)
3-Cauda equina syndrome ( kegagalan mengawal air besar atau air kencing)
Sakit belakang boleh diklasifikasi kepada peringkat akut (satu hari hingga tiga bulan), kronik (sakit melebihi tiga bulan) dan sakit berulang (recurrent) dalam masa tiga bulan.
Sakit akut pada amnya terjadi selepas bersin, batuk kuat, mencangkung lama atau mengangkat sesuatu objek dari lantai. Ia lebih menyakitkan jika barang itu berat.
TIP CEGAH SLIPPED DISC
[caption id="attachment_104920" width="800"] Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)[/caption]
Pastikan postur yang betul dalam semua posisi semasa duduk, berdiri, baring atau semasa melakukan aktiviti seharian dengan mengambil kira pekara-pekara berikut :
-Pilih tilam yang tegap (firm) kerana ia dapat menyokong tulang belakang dengan baik.
-Posisi tidur yang dicadangkan mengiring dan melengkungkan tubuh ke hadapan dengan bantal diantara dua lutut
-Memakai kasut bertumit rendah yang selesa
-Menggunakan kerusi bersandar (back rest) yang boleh menyokong tulang belakang dengan baik
-Menggunakan bantal kecil atau lumbar roll untuk menyokong bahagian belakang ketika duduk.
-Sekiranya berdiri terlalu lama, rehatkan satu kaki secara bergilir-gilir di atas bangku kecil yang rendah
-Gunakan teknik mengangkat atau mengalih barangan dengan betul
-Melakukan senaman secara tetap
-Menjaga berat badan
-Mengamalkan kecergasan keseluruhan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi