SUATU ketika dulu, buku 555 (disebut sebagai tiga lima) memang akan dikaitkan dengan catatan hutang-piutang.
Namun, pada zaman milenial sekarang, segala-galanya direkodkan dalam komputer atau telefon pintar.
Pun demikian, Raja Mohamad Najmi Raja Sulong tidak mahu memori itu tenggelam begitu sahaja.
Apa yang dilakukan beliau adalah mengabdikan nama 555 ke atas premis perniagaannya yang dinamakan Warung Kopi Tiga Lima yang terletak di Jalan Songkok 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor.
Usahawan berusia 33 tahun itu memberitahu, pada asalnya, beliau dan isteri tersayang, Natrah Nasir, 33, membuka kedai makan hanya sekadar suka-suka.
"Kami memilih konsep antik dengan mendekorasi sejumlah koleksi peribadi kami seperti gobok makan, pinggan dan mangkuk vintaj.
"Untuk membangkitkan nostalgia zaman 1960-an dan 1970-an, kami perdengarkan lagu-lagu daripada filem hit Tan Sri P Ramlee dan penyanyi-penyanyi lain," katanya yang bersyukur kerana warung mereka yang betul-betul berada di tengah bandar Shah Alam menggamit ramai pengunjung.
Baca juga Stail warung orang dulu-dulu, 5 kafe unik wajib diserbu peminat kopi
Menurut usahawan muda itu lagi, selain desain dan susun atur premis, tarikan utama Warung Kopi Tiga Lima adalah terletak pada minuman yang dibancuh khas menggunakan gabungan kopi terpilih bagi menghasilkan aroma yang lebih istimewa.
"Untuk minuman berasaskan kopi ini, saya melakukan eksperimen lebih dua minggu untuk mendapatkan rasa yang betul-betul enak dan kena dengan selera orang ramai.
"Dalam tempoh ‘uji kaji’ tersebut, maklum balas jujur daripada saudara-mara banyak membantu dan alhamdulillah usaha keras kami berjaya mencuri hati pelanggan,” ujarnya yang mendapat bekalan stok kopi daripada pembekal tempatan di Tanjong Karang, Selangor.
Mengenai pilihan menu pula, Raja Mohamad Najmi berkata, nasi lemak signatur mereka paling diminati ramai lantaran rasa sambalnya yang dikatakan sangat sedap oleh rata-rata pelanggan.
Baca juga Lepak minum kopi di sebalik tirai besi. Kopi Jail di Melaka bawa kelainan
"Untuk sambal buatan kami, ia mempunyai rasa pedas, manis dan secukup rasa. Sebagai tambahan, kami sertakan sekali ikan masin bulu ayam menjadi penyedap tambahan kepada nasi lemak yang dibalut dengan daun pisang," katanya.
Sejajar dengan konsep warung era dahulu, menu seperti lempeng, cucur bawang, nasi dagang, roti titab dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional turut disediakan.
Tidak mahu pelanggan menunggu terlalu lama disebabkan ruang tempat makan yang terhad, Raja Mohamad Najmi menyarankan orang ramai untuk datang lebih awal.
"Saya akui ramai yang merungut tunggu terlalu lama terutamanya pada sebelah pagi. Tak menang tangan dibuatnya, tetapi kami berusaha memberikan yang terbaik. Saya juga merancang untuk memohon ruang tambahan supaya masalah kesesakan dapat diatasi,” katanya.
#jomsinggah
Orang bandar terutamanya cepat 'terpesona' tatkala berkunjung ke premis makanan yang mengetengahkan konsep zaman dahulu.
Sesetengah mereka berpendapat, meskipun hanya satu hingga dua jam meluangkan masa di sana, memori lama ketika kanak-kanak atau remaja dapat diimbau kembali.
Selain di Selangor, terdapat banyak lokasi yang boleh disinggah. Rata-ratanya, premis yang disenaraikan SinarPlus hanya berbeza dari segi penyediaan makanan sahaja.
Kedai Kopi Klasik
Alamat: Lot 446 Jln Abdul Aziz, Chukai, Kemaman, Terengganu
Waktu operasi: 9.30 pagi hingga 6.30 petang
Menu signatur: Kopi butter dan klasik
Facebook: Kedai Kopi Klasik Kemaman
Instagram: @KedaiKopiKlasikKemaman
Warung Kopi Warisan
Alamat: Kampung Kuala Kenering, Gerik, Perak
Waktu operasi: 7 pagi hingga 7 malam
Menu signatur: Cold brew dan teh hijau coklat ais
Facebook: kopii_warisan
Instagram: @kopii_warisan
Nomad Kopifi
Alamat: Kampung Landak, Kupang, Baling, Kedah
Waktu operasi: 3 petang hingga 11 malam
Menu signatur: Creamy Peanut Butter Latte, kopi brew dan burger signatur
Facebook: Nomad.KopiFi
Instagram: @Nomad.KopiFi
Awan Kopi
Alamat: Parit Amat, Jalan Abdul Rahman, Muar, Johor
Waktu operasi: 3.30 petang hingga 10.30 malam
Menu signatur: Kopi O dan Coklat Awan
Facebook: Awankopi
Instagram: @awankopi_
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi