BAGI sesetengah orang, konsep loteng sudah dianggap terkebelakang. Ditambah lagi dengan cuaca di negara ini yang agak panas.
Bagi Emi Erdayu Jasmi, beliau tidak mengendahkan perspektif tersebut. Pada pandangan beliau, pembinaan loteng boleh membantu menyerlahkan lagi dekorasi kediaman. Malah, ia juga membolehkan sesebuah rumah nampak lebih luas dan moden.
Selain itu, ia juga satu alternatif bagi memanfaat dan memaksimumkan ruangan sedia ada seperti kamar tidur, pejabat waima stor.
Memilih konsep minimalis, Emi Erdayu berkata, kerajinannya meninjau platform Pinterest, grup dekorasi di laman sosial dan majalah telah menyuntik ilhamnya.
"Saya mempunyai dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Apabila mereka semakin membesar, saya fikir sudah tiba masanya masing-masing memiliki bilik sendiri untuk lebih privasi," katanya yang juga seorang pendidik.
Baca ni 'Mop legend' tetap pilihan. Gelagat Feeya Iskandar kemas rumah sebelum keluar 'me time' raih pujian
Kediamannya yang berkeluasan 130.06 meter persegi di Kuala Kangsar, Perak itu memiliki empat buah bilik.
Dua daripadanya dijadikan loteng. Ruang tangki air pula ditukar menjadi tempat menonton dan stor penyimpanan. Apabila ditransisikan, secara keseluruhan terdapat tujuh buah ruangan.
Menurut wanita itu, bilik pertama dipilih sebagai kamar utama. Sementara yang kedua dan ketiga dikategorikan sebagai double volume room.
Ia merupakan ruang di dalam sesebuah bilik yang mempunyai ketinggian siling melebihi 2.44 meter.
"Kedua-duanya kami pasangkan loteng, bahagian atas ditransformasikan sebagai bilik anak perempuan dan anak bujang, manakala di bawahnya tempat mereka mengulangkaji pelajaran," katanya.
Namun, untuk bilik ketiga, sebuah mini surau merangkap ruang bekerja dibina.
Bagi bilik seterusnya, lokasi itu memang khusus untuk menggantung semua pakaian keluarga.
Beralih kepada pemilihan perabot, bagi memaksimumkan ruang yang terhad, Emi Erdayu menggunakan dua buah meja yang terus dipasakkan ke dinding. Kesemua peralatan komputer ‘cantik‘ diatur di situ.
RONA TERANG
Ditanya mengenai ketahanan loteng yang didirikan, beliau memberitahu, material yang digunakan adalah jenis kerangka besi hollow, manakala tapak lantai pula daripada papan lapis yang berukuran 18 milimeter. Bagi menjimatkan kos, lantai vinyl disusun dan ditampal sendiri.
"Loteng ini mampu menahan beban kira-kira 200 kilogram (kg) menurut tukang rumah. Kos untuk mendirikan bilik-bilik ini menelan belanja sekitar RM2,800," katanya.
Menjawab pertanyaan tentang soal panas memandangkan loteng sememangnya berdekatan dengan bumbung, Emi Erdayu berkata:"Kedua-dua bilik dipasang penghawa dingin di bahagian atas dan bawah bersebelahan tangga, selain kipas dinding."
Pemilihan nuansa kuning sebagai warna dominasi menarik mata penulis. Ungkap ibu kepada tiga cahaya mata itu, dirinya sengaja memilih warna berkenaan kerana sifat rona tersebut yang terang dan bertenaga.
"Saya secara peribadi meminati warna kuning, tambahan pula warna ini nampak menarik apabila digabungkan dengan warna putih atau krim. Ia secara tak langsung akan membantu membuatkan ruang di dalam kediaman kita terasa sejuk dan nampak luas," ungkapnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi