PADA usia 20-an, Nurfatin Diana Mohd Zain sudah memiliki jenama minuman sendiri. Ia adalah satu pencapaian yang jarang digapai oleh anak muda zaman sekarang
Pun demikian, beliau yang mesra disapa Fatin berkata, untuk membuatkan masyarakat sedar tentang kewujudan Origina di pasaran melalui banyak ranjau.
Personaliti tersebut mengakui, beliau perlu bekerja keras dan tidak boleh mengeluh lantaran label terkemuka lain sudah terlebih dulu mencanak naik.
"Benar, sebagai pengasas jenama minuman Origina, saya perlu menumpahkan segenap jiwa dan raga dalam membangunkan empayar perniagaan ini.
"Sejak berumur 15 tahun sebenarnya, saya sudah terdedah dalam dunia bisnes. Saya tak segan menjadi promoter di Karnival Jom Heboh, pasar raya mahupun di sekolah. Bohonglah andai kata saya tak malu berhadapan dengan orang ramai, namun saya ketepikan perasaan tersebut," katanya.
Beliau juga tidak lelah terbang ke pameran makanan dan minuman sama ada ke Dubai, Belanda, Rusia dan Vietnam semata-mata kerana Origina
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pengurusan dan Pemasaran) dari Universiti Monash, Melbourne, Australia itu, segala pengalaman yang diraih pada usia remaja telah membulatkan tekadnya untuk terus berkecimpung dalam dunia bisnes.
Usai tamat pengajian, Fatin meneruskan legasi dan kelangsungan perniagaan keluarga di bawah syarikat PS Food & Beverage Sdn Bhd.
Ketika itu, beliau bergelut dengan pelbagai situasi.
Tiada pembimbing membuatkannya terpaksa belajar daripada kesilapan sendiri.
Baca ni Peroleh RM2.6 Juta sebulan, wanita 23 tahun ini bergelar jutawan dengan hanya kerja bersih rumah!
Sekali lagi, jenama yang sudah kukuh di pasaran menjadi saingan utama.
"Saya baru habis belajar ketika mula-mula melibatkan diri dalam membangunkan Origina sekitar tahun 2016. Pada waktu itu, saya terpaksa 'berperang' dengan konsep baharu yang kami perkenalkan iaitu minuman dalam pek kantung (pouches).
"Disebabkan ia satu benda baharu, ramai yang tak endah. Rata-rata pasar raya pun tak berminat," katanya sambil memberitahu ayah tersayanglah yang merupakan perintis kepada produk minuman dalam bentuk pouches.
Apabila perkataan ayah dipetik, Fatin seolah-olah seperti terkenang sesuatu.
Akui beliau, ramai yang berpandangan kejayaan yang dikecapi pada hari ini adalah bertunjangkan kepada kekayaan ayah.
Sedangkan kata anak sulung daripada dua beradik itu, dirinya tidak hanya silang panggung dan duduk di kerusi empuk di pejabat.
Sebaliknya, memerah seluruh kudrat untuk menjamin Origina sentiasa relevan di pasaran.
"Cakap memang senang. Mereka boleh 'laungkan' apa sahaja. Ya, saya masih mentah dalam dunia perniagaan ini dan bantuan staf serta restu ibu bapa banyak mempengaruhi perkembangan Origina.
"Jadi, soal kata-kata orang, saya enggan ambil peduli. Orang tidak tahu, saya tak tidur malam perah otak mencari idea untuk melihat jenama Origina terbang tinggi.
"Alhamdulillah, rombakan dan penjenamaan semula pada tahun 2019 dengan memilih Remy Ishak sebagai duta membuahkan hasil. Percaturan itu membolehkan Origina kian dikenali," ujarnya yang berbangga apabila jenama itu kini mempunyai 20,000 outlet di seluruh Malaysia.
Baca ni 'Mak ladang pahala & rezeki.'Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!
'Paksa diri'
Tidak berhasrat untuk melanjutkan bicara tentang hal bisnes, kami beralih pula bersembang tentang cerita-cerita santai.
Terlebih dulu, penulis tanyakan bagaimana keakraban beliau dengan media sosial yang dikatakan medium yang paling berpengaruh dalam apa jua bidang, apatah lagi bisnes? Apa pula perspektifnya tentang taktik menggegarkan jenama melalui kontroversi di alam maya?
Fatin tanpa ragu menjelaskan, itu bukan caranya. Begitu juga dengan soal peribadi. Bagi beliau perkara berkenaan bukan untuk dicanang-canangkan kepada umum.
Tuan punya badan lebih senang bersikap low profile seperti sang ayah.
[caption id="attachment_107581" width="800"] Fatin Diana memberikan penerangan mengenai empayar perniagaannya di depan Tun Mahathir[/caption]
"Saya tak suka orang tahu masalah yang saya sedang hadapi. Biasanya kalau di media sosial, saya lebih suka memuat naik benda-benda yang umum, bukan menayangkan kemewahan. Kita tidak tahu apa pandangan orang terhadap kita. Kalau diikutkan, saya sangat menjaga privasi, tetapi dunia sekarang sudah berubah.
"Sejujurnya, saya terpaksa bergerak ke arah tersebut dan mengubah strategi. Pun begitu, apa yang saya kongsikan hanyalah membabitkan soal kerja. Saya fokus kepada menaikkan jenama produk," ujar beliau yang mengakui dirinya seorang yang introvert.
Meskipun seorang yang fotogenik, wanita sofistikated itu masih kekok berhadapan dengan kamera terutama untuk memuat naik video menerusi TikTok.
"Sejujurnya saya terpaksa paksa diri dan belajar tentang hal-hal berkaitan media sosial. Saya juga terpaksa berubah 360 darjah dan bertukar personaliti daripada introvert kepada extrovert.
"Kalau dulu nak bercakap dengan orang pun susah, bahkan sampai hari ini, saya masih lagi gementar setiap kali diminta naik ke pentas. Pun begitu, saya cuba sehabis baik kerana itu tangggungjawab saya," ulasnya lagi.
[caption id="attachment_107582" width="724"] Tun M bangga dengan pencapaian kilang dikemudi anak bumiputera ini.[/caption]
Cerita kaki kikis & bariatrik
Bersamanya juga, beberapa isu kewanitaan kami bincangkan secara serius.
Berbicara kisah viral mengenai pisau cukur dalam kalangan kaum lelaki, membuatkan kami tergelak seketika.
Ya, sekarang dunia sudah terbalik. Memang wujud sesetengah lelaki yang suka mengambil kesempatan menumpang kekayaan dan hasil penat lelah wanita.
"Kalau tanya saya tentang soal ini, pada sayalah, lelaki kaki kikis ini sangat menyedihkan kerana tiada maruah diri. Dia juga mahu mengambil kesempatan dan menumpang kesenangan. Kaum Adam dicipta untuk menjadi ketua, bukan berpaut kepada orang lain (wanita).
"Apabila berlaku situasi sebegini, bagi saya yang bermasalah ialah lelaki. Memang kasihan wanita tersebut, tetapi percayalah apabila wanita itu sedar dan tinggalkan lelaki macam itu, mereka akan seseorang yang lebih baik kelak," katanya.
Fatin terus berhujah. Tegas beliau, dalam sesebuah hubungan, sama ada lelaki atau wanita kena sama rata. Namun, adalah lebih baik jika kaum Adam mempunyai sedikit kelebihan.
"Jika wanita tidak kisah siapa pun pasangannya, tetapi percayalah, lama-kelamaan akan timbul juga rasa ketidakpuasan dalam diri. Bagi mengelak situasi lebih teruk, lebih baik si wanita cepat-cepat mengundurkan diri," nasihatnya.
[caption id="attachment_107583" width="800"] Tenaga penting PS Food & Beverage Sdn Bhd bergambar kenangan dengan Tun M[/caption]
Dalam pada itu, sebagai seorang yang amat mementingkan penampilan diri, ungkap Fatin berkata, beliau mahu tampil elegan dengan cara yang sihat.
Satu dan dua minggu sekali tuan punya badan akan berlari. Kecantikan dalaman juga dititik beratkan.
Apa pula perspektifnya apabila wanita yang obses mahu cantik memilih teknik pembedahan bariatrik sebagai jalan pintas untuk nampak menawan?
Fatin mempunyai dua jawapan. Pertama, jika ia memang perlu untuk kesihatan diri, maka tidak ada salahnya untuk berbuat demikian.
"Pun begitu, kalau semata-mata untuk kecantikan dan puaskan hati orang lain, anda kena tahu cara tersebut boleh mengundang implikasi bukan sahaja luaran bahkan dalaman diri," katanya.
Penulis terus mengusiknya demi menceriakan lagi pertemuan pada pagi Jumaat minggu lalu.
Bukan apa, melihat empunya badan yang cantik, langsing, berkeyakinan tinggi, berwibawa, stabil dan mempunyai kelas tersendiri, pasti hatinya sudah ditakluk oleh seseorang.
Mendengarkannya, anak sulung daripada dua beradik itu hanya tersenyum sinis.
Melepaskan tawa kecil, Fatin memberitahu, beliau seorang yang tidak mudah didekati.
"Saya memang mudah berkawan dengan semua orang, tetapi kalau membabitkan dengan kehidupan peribadi memang saya memilih untuk berada dalam kitaran yang kecil sahaja," katanya.
Ketepikan seketika soal jodoh, sementara diri masih mudah remaja, wanita yang sentiasa memandang ke hadapan itu berkata, misinya kini hanyalah untuk memastikan rangkaian produk baharu 'meletup' di pasaran.
"Bab kahwin memang ada terlintas, tapi tunggulah dulu. Mungkin dalam setahun dua lagi. Sehingga kini saya masih menantikan kehadiran Mr Right yang belum muncul. Ada juga sebelum yang ingin mendekati, tetapi mungkin kerana jawatan dan kehidupan saya sebegini membuatkan ada yang tidak berani.
"Pada saya, jawatan tinggi bukan masalah, asalkan kedua-dua pihak tahu memainkan peranan masing-masing," kata beliau sambil menafikan dirinya seorang yang memilih.
Fatin cuma mengharapkan lelaki kelak dapat membimbing diri dan diterima baik keluarga di kedua-dua belah pihak dan boleh seiringan dalam hal kerjaya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.