NURUL Fadzilah Kamaluddin sosok yang menjadi bualan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Beliau bukan sahaja memiliki pesona yang menarik, tetapi sisi kepimpinan, keintelektualan, kepetahan berkomunikasi termasuk ciri kewanitaan yang terserlah membuatkan dirinya menambat perhatian ramai.

Menariknya tentang Nurul Fadzilah, pada usia 34 tahun, beliau sudah menceburi pelbagai bidang.

Tidak sekadar bergelar ahli politik, anak kelahiran Kuala Lumpur itu ialah seorang pensyarah sambilan, pengacara, guru, ustazah dan aktivis masyarakat.

Tugas hakiki yang tidak akan pernah berhenti adalah tanggungjawab sebagai peguam bela, peguam cara, peguam hartanah dan peguam syarie. Wanita itu juga ialah pengemudi firma guamannya sendiri iaitu Tetuan Fadzilah Kamaluddin & Co.

Pada pertemuan baru-baru ini, penulis dan Nurul Fadzilah atau senang disapa Nurul bersembang banyak hal yang menyentuh sanubari. Berkaca jugalah mata ini tatkala mendengar penceritaan beliau.

Ya, secara lahiriahnya, kronologi kehidupan Nurul nampak mudah. Namun, setelah kami berbicara, segalanya meniti banyak ranjau.

Baca ni ‘Pandai bawa diri, ikut protokol. Bekas suami ayah terbaik.’ Ini reaksi Norjuma bila ditanya tentang status diri & anak-anak

Pun demikian, berpeluang menuntut ilmu di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), jujur empunya diri mengakui, tempat tersebut banyak membantu membentuk dirinya.

Tiga tahun selepas itu iaitu pada tahun 2004, beliau menyambung pengajian di sebuah sekolah tahfiz, Sekolah Menengah Islam Institut Al-Quran Kuala Lumpur pula.

“Saya bukannya datang daripada keluarga senang. Ayah meninggal dunia ketika saya berusia lima tahun. Ibu yang ketika itu bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Kampung Datuk Keramat bekerja keras membesarkan kami empat beradik. Beliaulah yang menghantar saya ke pusat pengajian Islam dan saya bersyukur dengan pendekatan ibu,“ katanya.

Bersama ibu tersayang yang juga penyokong kuat Nurul Fadzilah.

Beritahu Nurul, dinaungi dengan kehidupan yang serba sederhana telah mengajarnya berdikari dan terbiasa melakukan lebih daripada satu kerja.

Atas dasar itu, sehingga pada saat ini, beliau sesekali tidak akan merungut jika diminta melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

Baca ni Peroleh RM2.6 Juta sebulan, wanita 23 tahun ini bergelar jutawan dengan hanya kerja bersih rumah!

“Kesibukan yang saya lalu kini bukan perkara baharu. Saya sudah biasa buat banyak kerja sejak kecil lagi demi menyara diri dan keluarga.

“Justeru, saya mempunyai jadual dan diari sendiri. Saya kena rancang semuanya dengan sebaik mungkin. Pembahagian masa merupakan satu perkara yang sangat penting dalam hidup saya,“ tuturnya.

BELAJAR BERDIKARI 

Secara eksklusifnya kepada SinarPlus, Nurul memberitahu, beliau pernah membesar di rumah anak yatim di Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, Batu Caves, Selangor.

“Saya diminta oleh ibu untuk duduk di sana untuk saya belajar erti berdikari. Walau hanya setahun di sana, ia cukup mengajar saya makna kehidupan sebenar,“ katanya.

Justeru, tidak hairanlah butir percakapan tentang anak tanpa ayah dan ibu serta individu asnaf begitu menyentuh sukmanya.

Baca ni ‘Jaga mak baik-baik.’ Ibu bertemu jodoh pada usia 64 tahun, Datuk Azril luah rasa sebak!

Nurul yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah dan Rumah Perlindungan Wanita Dar As Saadah, MAIWP dengan tegas berpendapat, golongan tidak bernasib baik seperti itu memerlukan pembelaan sewajarnya.

“Itu belum dilihat bagaimana ibu tunggal dengan anak ramai bertungkus-lumus mencari duit untuk besarkan anak-anak sendirian.

“Melihat warga emas yang sepatutnya duduk berehat di rumah, tetapi terpaksa membanting tulang juga boleh membuatkan hati sesiapa menangis. Rata-rata mereka ditinggalkan anak-anak dan ada juga yang tidak dihiraukan keluarga,“ kongsi Nurul yang mempunyai ramai ibu dan nenek angkat.

Kalau diikutkan hati, banyak sahaja persoalan ingin dilontarkan. Namun, dalam ruangan yang terhad ini penulis terus membelokkan topik lain.

Bagaimana dirinya menerobos menjadi pengacara dan ahli politik? Keberanian itu diperoleh dari mana atau desakan sesiapa?

Sambil memandang tepat penulis, Nurul memperihalkan semua secara berperingkat. Beritahu empunya diri, beliau sebenarnya dilamar oleh stesen televisyen Al Hijrah untuk mengendalikan program Bicara Fail Syariah.

Apabila peguam sepertinya mengacarakan rancangan sebegitu, tuan punya badan pada awalnya berasa waswas. Bukan apa, takut tidak mampu menggalas amanah walau ilmu guaman didominasinya.

“Alhamdulillah, walau masih baru dan itu merupakan kemunculan sulung sebagai pengacara untuk program secara langsung, saya dapat lakukannya dengan baik,“ katanya.

Menyentuh tentang arena politik pula, akui Nurul, semua itu bermula apabila peranannya sebagai aktivis masyarakat yang selalu turun padang membantu orang ramai.

Beliau berfikiran, berdiri di atas platform politik merupakan salah satu pendekatan terbaik untuk berkhidmat untuk orang ramai.

Meskipun terlepas peluang menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa pada PRU15 baru-baru ini, Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia tidak akan menoktahkan iltizamnya.

Ungkap empunya diri, tewas atau menang itu satu peraturan hidup yang perlu ditempuh.

Justeru, kekalahan merebut jawatan bukan alasan untuk tidak meneruskan kesinambungan membantu penduduk dalam kesempitan.

Iklan

“Bagi saya, doa daripada setiap orang yang saya bantu antara pencetus untuk saya bergelar ahli politik. Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dulu, saya menggerakkan Program Bakul Makanan.

“Sehingga kini, saya mahu terus berbakti. Itu sebab saya rasa arena politik merupakan landasan yang elok untuk saya berbuat kebajikan,“ katanya sambil mengakui, kuasa, pangkat dan wang bukanlah keutamaan beliau.

Pun demikian, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mengakui, terdapat perkara yang terpaksa dikorbankan usai menjadi ahli politik.

“Saya sudah berfikir sedalam-dalamnya, saya sedar, jika masuk dalam bidang ini, saya terpaksa lupakan cita-cita dan impian menjadi pensyarah dan pengacara.

“Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya tidak menyesal. Dengan pembabitan saya ini, alhamdulillah saya dapat sama-sama membantu parti dalam mencari wanita muda yang profesional dan berbakat dalam lapangan ini,“ ujar peguam yang masih aktif bekerja itu.

Baca ni ‘Mak ladang pahala & rezeki.’Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!

KHATAM AL-QURAN

Sosok wanita ini memang istimewa. Beliau mempunyai nilai tambah dalam diri.

Sesungguhnya, kemampuan Nurul dicemburui ramai. Masakan tidak, pada usia 17 tahun, personaliti lemah lembut itu berjaya khatam 30 juzuk al-Quran.

Beliau juga muncul sebagai pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia SPM pada tahun 2007.

“Alhamdulillah, semua itu diizinkan-NYA. Ibu saya juga sebenarnya mahu melihat anaknya ini bergelar hafizah. Pencapaian itu bukan sahaja memenuhi impian ibu, malah ia merupakan satu pengiktirafan terbaik untuk diri sendiri.

Iklan

“Dalam apa sahaja yang lakukan, saya manfaatkan ilmu ukhrawi yang saya timba. Dalam setiap butir bicara, saya sering selitkan dengan nas-nas al-Quran. Saya anggap ia satu amanah yang perlu disampaikan kepada masyarakat,“ katanya dengan intonasi tenang dan bersahaja.

Dengan kelebihan tersebut, kami tanyakan apa nasihatnya kepada ibu bapa untuk menanamkan nilai kecintaan pada kitabullah dan yang berkeinginan zuriat mereka menjadi hafiz atau hafizah? Demikian kata-kata yang diluncurkan:

“Ibu bapa boleh mengimpikan anak-anak mereka menjadi ahli tahfiz, namun terpulang kepada kehendak atau niat anak-anak kita.

“Kita tak boleh paksa mereka untuk jadi apa yang kita inginkan. Kalau ada unsur desakan masuk tahfiz kerana ayah suruh, maka itu yang menyebabkan mereka tidak berapa ‘menjadi‘,“ ujarnya.

Baca ni Pernah diperlekeh bina rumah terapung hadapi banjir, kini anak bangga usaha ayah berhasil. Inspirasi!

Masih lagi berkisar tentang anak-anak yang kini ‘bernafas’ dalam dunia serba canggih, namun tatatusila, budi pekerti dan moral semakin terhakis, Nurul membentangkan perspektifnya.

“Pada saya, semuanya terserah bagaimana ibu bapa mendidik cahaya mata masing-masing. Pendidikan bermula dari rumah. Anak-anak ini ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Mudah kata, mereka yang dewasa inilah yang harus memberi contoh yang baik agar menjadi ikutan.

“Bagi mengukuhkan ukhuwah, mulakan dengan solat berjemaah bersama-sama, buat majlis ta‘lim, tazkirah atau mengaji berkumpulan. Insya-ALLAH anak-anak akan terdidik dengan adab yang baik jika al-Quran dijadikan paksi dalam kehidupan. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya,“ ungkapnya lagi.

Dalam pada itu, meskipun sibuk ke sana ke mari, Nurul masih mempunyai masa untuk dirinya sendiri.

“Ya, saya tetap ada masa untuk meneruskan hobi iaitu bersukan. Sejak di zaman sekolah, saya ‘rembat‘ semua sukan yang ada termasuklah bola jaring, hiking dan dodgeball. Kalau tak berpeluh saya cepat sakit.

“Saya sentiasa mahu berikan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan dan mungkin itu sisi diri saya yang ramai tidak tahu,“ ungkap Nurul yang suka membaca dan mendengar lagu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.