#SiBibirMerah: Awasi anak di bangunan tinggi, elak kemalangan terjatuh berulang
AWASILAH anak-anak pada musim cuti sekolah ini, dalam kegirangan percutian di kawasan peranginan jangan ia menjadi peristiwa hitam yang menyaksikan kehilangan nyawa.
Cuti sekolah sudahpun seminggu berlalu. Berbaki hampir sebulan, tentunya ramai dalam kalangan kita merencana pelbagai perancangan untuk ke pelbagai lokasi dalam dan luar negara.
Dalam trip ke tempat-tempat yang menarik, ramai yang memilih untuk menginap di homestay atau hotel. Di lokasi baru ini, diharapkan ibu bapa dan penjaga tidak alpa memerhatikan gerak-geri anak-anak.
Kanak-kanak memang semula jadi suka meneroka, sifat ingin tahu mereka mempengaruhi tingkah laku kadang kala tanpa disedari membahayakan.
Baca juga: Ditinggalkan ibu ke dobi, kanak-kanak 4 tahun maut terjatuh kondominium 35 tingkat
[caption id="attachment_107675" width="800"] Kredit foto: Korporat JBPM[/caption]
Penulis sangat sedih mengikuti perkembangan kisah seorang kanak-kanak maut selepas terjatuh dari tingkap di tingkat 14 sebuah bangunan hotel.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 12 tahun dikatakan terjatuh sehingga ke beranda tingkat empat bangunan berkenaan.
Lebih sayu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Salam takziah buat keluarga mangsa yang terlibat kehilangan anak tersayang di keheningan pagi. Moga rohnya dicucuri rahmat, Al-Fatihah.
Sebagai panduan kita, sentiasalah menjaga tingkah laku anak-anak dengan tidak meletakkan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada anak-anak.
Baca juga: Ibu bapa sibuk berkaraoke, tak sedar anak jatuh dari tingkat 3 hotel
Pencegahan kemalangan di rumah
[caption id="attachment_107674" width="800"] Gambar hiasan (Kredit foto: Freepik)[/caption]
Kebanyakan kemalangan terjatuh boleh dicegah khususnya di rumah. MyHealth mencadangkan beberapa langkah untuk mengelakkan ia daripada berlaku terutamanya berkaitan struktur dalaman kediaman.
1.Pasang pagar keselamatan berhampiran anak tangga bawah dan atas serta jeriji keselamatan pada tingkap dan pintu.
2.Pastikan semua tangga diterangi cahaya lampu.
3.Pastikan anak tidak dibiarkan berseorangan di tingkat atas, beranda atau di tempat yang tinggi.
4.Simpan semua permaidani yang dilipat dan barang-barang supaya tidak berselerak di atas lantai.
5.Lap segera lantai basah akibat tumpahan air atau makanan bagi mengelakkan lantai licin.
6. Elakkan meletak kerusi dan perabot berhampiran tingkap atau balkoni.
7. Cuci bilik mandi dengan kerap untuk mengelak lantai berlumut dan licin.
8.Sekiranya ketinggian balkoni adalah melebihi satu meter dari aras tanah, ia perlu dipasang pagar atau penghadang.
9.Ini bermakna jika anda tidak tinggal di kondo atau pangsapuri, tetapi mempunyai teres bertingkat, balkoni harus mempunyai pagar.
10.American Academy of Pediatrics (AAP) mencadangkan agar ketinggian pagar balkoni sekurang-kurangnya tiga kaki atau satu meter.
11-Anda juga perlu mengunci pintu yang menghala ke balkoni atau meletakkan papan penyelak pada landasan pintu gelangsar (sliding door) untuk mengelakkan ia daripada terbuka.
Baca juga: Sedihnya! Ibu temui anak perempuan terjatuh dari kondominium, 8 info kes berkaitan
Jangan tinggal mereka sendirian
Kempen Keselamatan Kanak-Kanak di Amerika Syarikat (AS) membataskan hanya kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas boleh ditinggalkan sendirian di rumah. Manakala bagi sesetengah negeri di sana terdapat had umur tersendiri seperti Illinois, 14 tahun, Maryland, lapan tahun manakala Oregon, 10 tahun.
Bukan sahaja ditinggalkan sendirian di rumah, kanak-kanak tidak boleh dibiarkan sendirian tanpa pengawasan sama sekali.
Menurut Jabatan Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial AS, kanak-kanak tidak sepatutnya ditinggalkan di dalam kereta, taman permainan atau di mana sahaja tanpa pengawasan.
Hal ini kerana kanak-kanak di bawah umur berkenaan tidak dapat menentukan yang mana selamat dan yang mana tidak. Mereka lebih mementingkan keseronokan sendiri seperti bermain berbanding keselamatan diri sendiri.
Selain umur dan kematangan, kanak-kanak perlu didedahkan dengan kemahiran tertentu apabila berdepan situasi kecemasan. Semoga kejadian sebegini tidak akan berulang lagi.
Baca juga: Kanak-kanak 3 tahun maut dijumpai dalam mesin basuh, ini panduan ibu bapa
Kredit foto utama: Freepik