JIKA anda masih berselerakan sajian Thailand walau sedang melancong di Pulau Pinang, Restoran Kak Roh Kitchen Thai Street antara destinasi yang dicadangkan untuk disinggahi.
Premis yang terletak di Jalan Permatang Bendahari, Penaga itu betul-betul berhampiran Taman Tema Agro Kampung Agong dan Pantai Merdeka.
Pemilik restoran berkenaan, Mohamad Nasarudin Ahmad berkata, beliau menyediakan semua signatur makanan Thai yang mahu dirasai pelanggan.
Antaranya seperti Mi Celup Thai, Miang Pla Ikan Siakap, laksa Siam, lokcing bakar (sate ikan), nasi beriani Thailand atau lebih dikenali dengan nama Nasi Khao Mok dan pelbagai jenis kerabu.
Namun, antara yang paling dicari ialah Mi Celup Thai dan Miang Pla Ikan Siakap versi bakar garam.
Kata lelaki berusia 31 tahun itu, cara pembikinan kedua-dua sajian tersebut sangat istimewa dan sedikit berbeza berbanding dengan pengusaha lain.
"Kami gunakan perencah khas untuk membuat kuah mi celup sehingga hitam. Kemudian, kami tambah dengan air rebusan tulang dan daging segar. Kami juga guna serbuk cili Thai, bebola daging, hirisan ayam, daging dan sayuran.
"Untuk Miang Pla pula, kami hanya memilih ikan siakap yang dibeli daripada pembekal tempatan. Ia dibakar menggunakan garam kasar dan dihidangkan lengkap dengan dua sos hijau dan cili Thai yang dibuat sendiri. Lagi sedap dimakan dengan mihun Thai bersama salad dan hirisan daging bakar,” katanya.
Di samping itu, hidangan berasaskan pulut juga mendapat perhatian lebih-lebih lagi bila digandingkan dengan mangga yang manis atau ayam goreng.
Baca juga Food hopping menu viral, lima destinasi sajikan kulinari unik wajib terjah
"Untuk penyediaan pulut, kami menggunakan kaedah tradisional. Menariknya, pengukus yang digunakan diperbuat daripada daun mengkuang supaya aroma lebih menyelerakan,” tuturnya.
Berkongsi kisah di sebalik pembukaan premis tersebut, anak jati Kelantan itu berkata, pengalaman menganjurkan pesta makanan jalanan Thailand selama lima tahun mendorongnya membuka bisnes sendiri selepas projek tersebut terhenti ketika pandemik Covid-19.
"Perintah Kawalan Pergerakan telah membuatkan saya hilang punca pendapatan. Jadi, saya cuba mencari tapak yang sesuai bersama isteri, Fitroh Ismail untuk berjualan makanan Thai. Saya tawakal saja, tapi tak sangka sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” ujarnya.
Baca juga Patutlah Thailand jadi tumpuan, makanan seperti tomyam dan pusat urut tarikan utama
Beritahu Mohamad Nasarudin, kesemua juadah yang disajikan merupakan resipi asli keluarga isteri yang berasal dari Pattani. Semua rempah-ratus diambil terus daripada pembekal di Kelantan dan Thailand.
"Tak keterlaluan saya katakan, makanan di restoran kami rasanya sama seperti makan di Hat Yai. Tak perlu pergi ke negara jiran lagi dah kerana makanan bukan sahaja halal, tetapi lebih murah,” katanya.
#jomsinggah
PREMIS makanan Thailand di Malaysia cukup banyak. Apabila berlaku lambakan, kadangkala kualiti sajian yang dipersembahkan cukup menghampakan.
Susulan itu, SinarPlus membantu anda untuk memilih empat destinasi yang betul-betul sedap dalam penyediaan kulinari dari negara itu. Berikut informasinya:
Suwarin Jinda Cafe
Alamat: Lot 553, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan
Waktu operasi: 3.30 petang hingga 11.30 malam
Harga: Bermula RM5 hingga RM180
Facebook: Suwarin Jinda Cafe
Instagram: @suwarinjindacafe
NarakThai Street Food Melaka
Alamat: Pantai Puteri, Bukit Rambai, Melaka
Waktu operasi: 3.30 petang hingga 7 malam (Sabtu dan Ahad)
Harga: Bermula RM10
Facebook: NarakThai Street Food Melaka
Little NangKam
Alamat: 504, Jalan Kemajuan, Kampung Pandan, Ampang, Selangor
Waktu operasi: 12.30 tengah hari hingga 9.30 malam
Harga: Bermula RM5 hingga RM38
Facebook: Little NangKam
Instagram: @littlenangkam
Ciklah Onthego Thaistreetfood
Alamat: Dataran Pulau Warisan Kuala Terengganu, Terengganu
Waktu operasi: 5 petang hingga 11 malam
Harga: Bermula RM6
Facebook: Ciklah Onthego Thaistreetfood
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.