Hentikan gurauan tarik kerusi, mangsa boleh cedera tulang belakang, lumpuh
MENARIK atau mengalihkan kerusi ketika seseorang hendak duduk. Itu perkara biasa dilakukan kanak-kanak untuk bergurau senda dengan rakan-rakan.
Sejak penulis kecil, perkara sedemikian kerap berlaku dalam kelas waima dalam dewan sekalipun.
Mungkin ketika itu tiada kejadian serius justeru tiada siapa yang mendedahkan bahayanya gurauan tersebut.
Seperti satu kes yang berlaku pada pelakon cilik, Puteri Rafasya yang mengalami retak tulang pinggul akibat jatuh di lokasi penggambaran dek penangan seseorang menarik kerusinya.
Menurut laporan media tempatan, kemalangan menimpa Puteri disebabkan perbuatan seorang kanak-kanak yang tidak sepatutnya berada di lokasi penggambaran drama itu.
Ketika Puteri bersama beberapa pelakon kanak-kanak lain sedang membuat latihan, tiba-tiba Puteri terjatuh atas kaki besi tripod yang digunakan untuk penggambaran.
Puteri ada masalah dengan pundi kencing dan kakinya kebas.
Justeru itu, Doktor Perubatan Rehabilitasi, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menyarankan ibu bapa agar ambil cakna berpesan kepada anak-anak tindakan menarik atau mengalihkan kerusi ketika seseorang hendak duduk mendatang mudarat besar.
[caption id="attachment_100844" width="800"] Kredit foto: Ketut Subiyanto[/caption]
"Ibu bapa, pesanlah pada anak-anak agar jangan buat menarik atau mengalihkan kerusi ketika seseorang hendak duduk. Gurauan ini boleh mendatang mudarat besar pada mangsa.
"Sepanjang saya berkhidmat sebgai doktor rehabilitasi, saya jumpa beberapa kes kelumpuhan kerana gurauan menarik kerusi ini. Kebanyakan kes ini melibatkan kanak-kanak.
"Apabila kerusi ditarik, mangsa akan jatuh dalam keadaan terduduk. Ini boleh menyebabkan kecederaan tulang belakang dan saraf tunjang. Ia boleh menyebabkan ketidakupayaan yang kritikal," tegasnya.
Kecederaan pada tukang belakang dan saraf tunjang boleh menyebabkan gejala-gejala berikut;
- Kebas (hilangnya deria sentuhan)
- Kelumpuhan anggota
- Kehilangan kawalan kencing dan berak
- Kesakitan neuropatik
Gejala-gejala ini mengakibatkan pesakit;
1. Tidak boleh berjalan
2. Terpaksa memakai lampin
3. Perlu memakai tiub kencing
4. Bergantung pada ubat tahan sakit
5. Berkemungkinan terlantar
Gelaja-gejala ini adakalanya bersifat sementara, tetapi adakalanya bersifat kekal.
Semakin lama gejala ini berlaku, maka meningkat pula kebarangkalian berlaku komplikasi serius.
Antara komplikasi serius yang boleh berlaku adalah;
- Kekejangan (spasm) dan kekejungan (contracture) otot
- Otot mengecil (muscle wasting), luka tekanan (pressure sore) dan lain-lain.
[caption id="attachment_76556" width="800"] Gambar fail.[/caption]
Jika kecederaan yang berlaku agak parah, maka rawatan yang diperlu dijalankan akan memerlukan kos yang tinggi dan masa yang panjang. Boleh cecah ratusan ribu ringgit dan bertahun-tahun lamanya.
Ada juga pesakit yang mengalami ketidakupayaan ini sehingga hujung nyawa. Ia memberi kesan yang amat besar dalam kehidupan seseorang.
Kecederaan akibat gurauan sebegini adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Malah ia wajib dielakkan.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk didik dan tegah anak daripada melakukan gurauan itu.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.