Jangan sekali-kali anggap demam satu hal yang biasa pada kanak-kanak. Silap hari bulan boleh cetus penyakit berbahaya

KEPADA yang menganggap demam yang berlaku ke atas kanak-kanak adalah satu perkara normal dan tidak perlu diberi pengawasan sewajarnya, buang persepsi itu jauh-jauh.

Demam adalah petunjuk badan si cilik sedang melawan penyakit.

Kebanyakan demam tidak berbahaya dan hanya sesetengah keadaan sahaja yang bikin kondisi seseorang kritikal dan boleh membawa maut.

Justeru, amat penting untuk kita mengetahui simptom-simptomnya.

Sehubungan itu, bagi mendapatkan huraian lanjut mengenai demam dalam kalangan si kecil, SinarPlus menghubungi Pakar Pediatrik yang juga Felo Kardiologi Institut Jantung Negara, Dr Muhammad Yusof Mohd Ramdzan.

Dr Muhammad Yusof berkata, secara asasnya, suhu 37 hingga 37.5 darjah celsius sudah menunjukkan seseorang demam, tidak kira dalam kalangan kanak-kanak ataupun dewasa.

Kurang 5 peratus daripada anak kecil berkecenderungan untuk mengalami sawan demam jika suhu terlampau tinggi iaitu mencecah 40 darjah celsius. Ia juga boleh terjadi jika mereka mempunyai sejarah keluarga yang pernah berdepan dengan masalah tersebut.

Seperkara, ujar pakar itu, respons kanak-kanak terhadap demam juga berbeza dengan orang dewasa.

Sebagai contoh, orang dewasa boleh memaksa diri untuk makan ubat dan minum air, manakala kanak-kanak sukar berbuat demikian sehingga berlaku dehidrasi,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Sementara itu, American Academy of Pediatrics menyarankan ibu bapa atau penjaga segera merujuk kepada doktor sekiranya berlaku situasi yang disenaraikan seperti di bawah:

-Bayi yang berumur bawah tiga bulan mengalami demam.
-Lesu atau tidak reponsif.
-Mempunyai masalah pernafasan atau pemakanan.
-Cerewet atau sukar bertenang.
-Mempunyai ruam pada badan.
-Menunjukkan tanda-tanda dehidrasi seperti lampin basah berlebihan, mulut kering, tiada air mata ketika menangis atau bintik lembut tenggelam pada kepala.
-Mengalami sawan.

BACA JUGA: Anak demam, batuk berkahak, hingus tak hilang ikhtiar air rendaman kembang semangkuk, alternatif ubat

BACA JUGA: Ramai pesakit masuk hospital demam panas, ini pesan doktor untuk ibu ayah bila anak sakit

Elak tuam air panas & sejuk

Kadang-kadang mereka yang masih baru bergelar ibu bapa khususnya, tertanya-tanya mengapa anak mereka masih demam sedangkan si kecil telah dijaga rapi dan diberi pengawasan sepenuhnya?

Jawab Dr Muhammad Yusof, hal itu berlaku biasanya disebabkan jangkitan kuman seperti virus selsema dan bakteria yang menular ke bahagian tonsil atau telinga.

Selain itu, ia juga boleh disebabkan oleh masalah perubatan lain seperti radang pada mana-mana bahagian badan, masalah tiroid, kanser atau kecederaan otak.

Iklan

Sehubungan itu, ujar beliau, ibu bapa harus cepat bertindak jika anak mereka demam pada suhu melebihi 37.5 darjah celsius dengan memberi ubat parasetamol mengikut dos bersesuaian.

Pada masa sama sama, penjaga juga disaran mengelap atau menuam si kecil dengan air pada suhu bilik.

“Namun suka sangat tekankan di sini, menuam dengan air sejuk atau panas tidak digalakkan kerana ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan pada bayi dan kanak-kanak,“ katanya memberi peringatan.

Dalam pada itu, https://www.healthychildren.org/ mencadangkan beberapa rawatan awal yang boleh dilakukan di rumah jika si anak belum berada pada paras kritikal:

-Pastikan bilik dan rumah sejuk serta selesa.
-Pakaikan si kecil dengan pakaian nipis.
-Galakkan mereka untuk minum cecair tambahan atau cecair lain seperti air dan jus buah.
-Jika bilik terlalu panas, letakkan kipas berdekatan.
-Selain bilik, si kecil juga boleh ditempatkan di dalam sekitar rumah, namun jangan benarkan mereka terlalu aktif seperti berlari.
-Lazimnya, demam adalah simptom kepada penyakit berjangkit seperti cacar air atau selesema. Justeru, jauhkan anak anda daripada kanak-kanak lain, orang tua atau mereka yang mungkin tidak dapat melawan jangkitan dengan baik seperti individu yang menghidap kanser.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Yusoff berkata, bagi bayi yang berusia enam bulan ke bawah, proses penyusuan boleh mengurangkan ketidakselesaan dan kesakitan.

Pendekatan itu juga membuka ruang untuk badan berehat dan melawan pesakit.
Namun, ujar pakar itu, susu tidak dapat merendahkan demam kanak-kanak.

Air kosong dan makanan lain selepas bayi yang berumur atas enam bulan atau telah bercerai susu, boleh diberi ketika mereka demam. Pun begitu, pemberian air kosong tidak mengurangkan demam dan hanya menggantikan air yang hilang akibat demam, dehidrasi, muntah atau cirit-birit,“ ujarnya.

Pesan Dr Muhammad Yusoff lagi, pastikan si kecil tidak mengalami dehidrasi yang teruk.

“Jika keadaan itu berlaku sehingga menyebabkan mereka tidak bermaya, kecederaan buah pinggang boleh terjadi ke atas mereka dan sememangnya rawatan di hospital perlu disegerakan,“ katanya.-NUR SUHAIMA NORDIN