Merah & manis! Sedapnya buah tembikai rupanya banyak khasiat dimakan ketika berbuka puasa
RAMAI yang suka makan tembikai, tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak.
Tembikai memang sedap dimakan terutama sewaktu cuaca panas malah ia juga kaya dengan pelbagai khasiat.
Tembikai adalah antara buah yang mempunyai banyak air dan ia adalah pilihan terbaik untuk menghidratkan badan.
Rasanya sedap. Jus tembikai yang sejuk memang sangat menyegarkan. Ramai antara kita yang berpuasa pada bulan Ramadan mengambil tembikai ketika berbuka puasa.
Sama ada buah yang dipotong atau diambil sebagai jus tembikai namun tidak ramai yang tahu manfaat buah tembikai ini.
Ada hadis yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah memakan buah tembikai. Ini menunjukkan buah tembikai adalah buah yang bernutrisi, selamat dan baik untuk dimakan.
Ada yang mengatakan wanita yang hamil digalakkan untuk memakan tembikai kerana anak yang bakal dilahirkan akan baik akhlak dan sempurna sifatnya.
Mengikut kajian Sains pula, buah tembikai ini sangat sesuai dijadikan hidangan pertama ketika berbuka puasa bersama dengan kurma.
Berikut khasiat buah tembikai jika dimakan ketika berbuka puasa;
1. Satu atau dua ulas tembikai bersama beberapa biji kurma dan segelas air kosong cukup untuk memberikan tenaga segera bagi mereka yang berpuasa.
2. Tembikai mempunyai Glycemic Index yang tinggi, bermakna penyerapan gula ke dalam darah berlaku dengan pantas. Oleh kerana kita hanya mengambil beberapa ulas saja, ia tidak memudaratkan.
- Nasi putih GI: 72 (tinggi) 150 kalori/100g
- Tembikai GI :72 (tinggi) 30 kalori/100g
- Kurma GI: 42 (rendah) 282 kalori/100g
Baca juga Tip tanam tembikai dalam pasu, tak perlu kawasan luas, sebulan sudah mula menjalar
3. Semasa menjalankan ibadah puasa, beberapa perubahan fisiologi dalam tubuh akan berlaku. Antaranya enzim yang berada dalam tubuh dikeluarkan secara perlahan-lahan disebabkan kita tidak makan sepanjang hari. Lapisan lendiran yang menyelaputi dinding dalam saluran penghadaman (perut dan usus) menipis. Oleh itu apabila kita berbuka puasa, mulakanlah dengan makanan yang bersifat mudah (simple real food). Antaranya buah-buahan seperti tembikai, anggur, pisang dan betik.
4. Tembikai mengandungi Vitamin A, C, thiamin, riboflavin, niacin, vitamin B6 dan folate. Vitamin-vitamin ini membantu menstabilkan mood dan menguatkan ingatan.
5. Berbuka puasa dengan tembikai dapat mengekalkan kesihatan tubuh. Ia mengandungi 92% air dan nutrisi yang tinggi, sesuai untuk menghilangkan dahaga ketika berbuka puasa dan menggalakkan perpeluhan ketika musim panas.
6. Tembikai juga mengandungi sebatian lycopene iaitu sebatian antioksida yang boleh didapati dari buah-buahan berwrna merah seperti tomato. Satu gelas tebikai mengandungi 10mg lycopene, sementara satu gelas tomato mengandungi 5-6 mg lycopene. Lycopenen sangat baik untuk merendahkan risiko mendapat penyakit jantung dan osteoporosis, juga membantu mengelakkan penyakit kanser pada payu dara dan prostat.
7. Lycopene juga merupakan antioksida yang bagus diamalkan bagi pesakit diabetes, katarak, kulit dan juga membantu dalam masalah kesuburan.
8. Tembikai juga mengandungi sebatian citrulline, yang merangsangkan pengeluaran bahan nitric oxide, yang berfungsi sebagai merehatkan, melembutkan dan mengembangkan saluran darah yang sangat sesuai diamalkan oleh pesakit yang mengalami mati pucuk (erectile dysfunction) dan tekanan darah tinggi. Bila salur darah mengembang ia mengekalkan perjalanan darah dalam saluran koronari pada jantung.
Selamat berbuka dan semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Zubaidi Ahmad
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.