'Saya mahu jalan terus'. Digelar cepat koyak & sentap, Sissy Iman langsung tak kisah

Iklan
Untitled design (37)

NAMA Sissy Iman bagai lahar panas gunung berapi yang disebut-sebut beberapa bulan lalu. Hembusan bahangnya dirasai ramai.

Namun, usah diceritakan dulu soal tersebut, lebih baik rasanya penulis memperkenalkan siapa empunya diri. Barangkali ada yang terlupa.

Iklan
Iklan

Dunia muzik dengan Sissy sudah mula terzahir sejak kecil lagi. Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, ketika masih budak hingusan, beliau dihantar ke kelas muzik.

Iklan

"Saya memilih jurusan Pendidikan Seni Muzik dengan kepujian kelas pertama," kata beliau sambil memberitahu, bakat nyanyiannya mula dikesan pada usia 17 tahun.

Seusai tamat pengajian, Sissy menjadi cikgu muzik. Pernah diberi jolokan sebagai artis beauty with brain, nampaknya beliau tidak memilih kerjaya sebagai guru, waima seorang pensyarah. Kata Sissy, beliau memiliki alasan tersendiri.

Iklan

"Apa yang saya boleh katakan, fokus saya kini lebih kepada membina nama dan kerjaya sebagai anak seni, mana tahu suatu hari nanti apabila sampai masanya saya akan beralih bidang," ungkap Sissy lagi yang ditemani oleh bapanya Mohammad Kamil Mustaffa ketika bertandang ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Baca ni Kak Ell ambil pusing 'teguran' anak demi jadi ibu terbaik. Usahawan terkenal ini juga berkongsi cerita jatuh bangun bisnesnya

Berkebolehan mencipta lagu, sengaja penulis tanyakan kemungkinan sanubarinya terdetik menghasilkan karya agung untuk penyanyi tempatan dan antarabangsa.

Sambil mengukir senyuman, Sissy berkata:"Kalau diberi peluang apa salahnya. Saya teringin nak buat lagu untuk Anuar Zain. Untuk berduet, saya akan memilih Datuk Sheila Majid.

"Cuma bab menghasilkan lagu untuk penyanyi antarabangsa itu, rasanya terlalu kerdil diri ini."

Cepat koyak?

Cukup mengetahui serba ringkas tentang muzik dan Sissy, rasanya tidak lengkap kalau tidak bertanya tentang ketahanan diri beliau yang disifatkan ramai tidak cukup kuat untuk seorang anak seni.

Itu semua disebabkan 'tragedi' di pentas Famili Duo. Kritikan pedas juri, Mas Idayu telah membuatkan sepupu kepada Naim Daniel itu terasa hati. Tangisannya disaksikan jutaan penonton.

Seperti dilaporkan, penyanyi bersuara unik tersebut berkurung di dalam bilik, banyak mendiamkan diri dan hanya keluar apabila dipanggil untuk makan.

Pada penghujung cerita, Sissy dan Mas Idayu akhirnya berbaik kembali.

Kemelut berkenaan memang telah meledakkan dunia hiburan. Pelbagai persepsi dihamburkan. Pastinya, lebih banyak negatif, berbanding positif.

Baca ni 'Saya harap hubungan baik ini berterusan sehingga ke akhir hayat'. Memey mahu silaturahim dengan Abby terus mekar

 

Warganet melabelkan anak kelahiran Kuala Lumpur itu sebagai artis yang cepat koyak, kuat sentap dan tidak boleh terima teguran!

Sissy mendengar ulangan pernyataan yang penulis katakan dengan penuh teliti. Kemudian empunya diri bersuara:"Jika orang yang kenal saya, pasti tahu apa yang berlaku baru-baru ini bukanlah 'benda' baharu. Bahkan, saya pernah mengalami situasi serupa lima tahun lepas dengan juri yang sama.

"Malah, saya turut tersingkir dalam program berkenaan. Takkanlah selepas lima tahun, saya tak boleh memahami akan selok-belok industri ini."

Pun demikian, tegas Sissy, dirinya tetap manusia yang berperasaan. Bila disakiti, hati akan terguris. Tatkala dalam keadaan sukacita, senyum dan tawa akan terbit secara semula jadi.

"Itulah yang berlaku pada saya. Sebagai manusia biasa, ada hari kita lemah berbanding hari-hari lain. Walau macam mana sekali pun kita cuba untuk tunjukkan kita gembira, namun kalau sedih tetap akan sedih.

"Semua yang berlaku bersebab. Justeru, orang sekeliling harus mendalami mengapa seseorang bersikap sedemikian rupa," katanya.

Biarpun sepanjang sesi perbualan kami disulami dengan ketawa dan candanya, Sissy berterus terang bahawa dirinya seorang yang cepat emosi.

"Sejujurnya, saya jenis macam itu. Saya juga tidak suka berpura-pura. Kalau suka, kasihan pada sesuatu atau orang tertentu, saya akan teruskan. Selain itu, kekuatan saya boleh jadi kelemahan dan begitu sebaliknya," akuinya.

Tidak cukup dengan itu, sekali lagi Sissy dihentam apabila disifatkan mengambil sikap melulu menjual album solonya pada harga RM20 sahaja!

Sedangkan, proses merekod dilaksanakan di Abbey Road Studios, London, United Kingdom telah menelan belanja hampir ratusan ribu ringgit.

Kata-kata sesalan yang diluahkan kerana berbuat demikian selepas itu terus dicemuh bertubi-tubi.

Bagaikan ada zon penampan yang cukup kukuh, Sissy berkata, dirinya bersyukur kerana dianugerahkan keluarga yang sentiasa memberi naungan kasih sayang dan berada di sisi dalam apa jua situasi.

"Kecaman dan pandangan sinis orang terhadap diri saya sedikit pun tidak melemahkan semangat," ujarnya.

Baca ni Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

Bekalan ilmu

Ya, dalam apa jua bidang atau kerjaya yang diceburi, pasti tidak sunyi dengan tantangan. Apalagi dengan bidang seni yang terkenal dengan 'permainannya' sendiri.

Apabila perkara tersebut dibangkitkan, Sissy menyahut dengan mengatakan, cabaran memang lumrah kehidupan.

Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Hal-hal itulah yang mewarnai segenap kehidupan, sekali gus akan mendorong seseorang terus berusaha kuat untuk berjaya.

"Tak kira apa pun lapangan saya pilih, saya akan jalan terus sahaja. Kalau asyik nak berfikir, akhirnya tak kan ke mana. Sebab itu saya positif. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak terasa terlalu bergelut menjadi anak seni" jelasnya lagi.

Kepada individu di luar sana yang berkeinginan menjadi penyanyi, 'bekalan' yang dibawa Sissy perlu dijadikan contoh terbaik.

Berawal mengetahui persaingan bukan sembarangan, tuan punya badan berkata, antara faktor yang menjadi penyebab beliau terus relevan adalah kerana memiliki ilmu tentang muzik.

"Bahkan, identiti muzik dan apa yang saya persembahkan di atas pentas sedikit berbeza dengan penyanyi lain.

"Selain itu, saya juga menghasilkan muzik daripada material yang berbeza. Sentuhan satu-satu lagu itu lebih kepada acuan saya sendiri. Irama dan ritma melodi yang saya bawakan memang menggambarkan siapa Sissy Iman yang sebenar," ungkap beliau yang bakatnya dicungkil oleh AG Coco yang menonton saluran YouTube selebriti itu.

Mungkin ramai yang tidak perasan. Sissy tidak bernaung di bawah mana-mana label, sebaliknya menubuhkan syarikat sendiri.

Pembikinan album termasuk modal dan material datang daripada poket beliau. Lihat, betapa keseriusan dan kesungguhan seorang bernama Sissy.

Kepada penulis, wanita yang baru berusia 28 tahun itu lagi memberitahu, akan datang dirinya mahu mengeluarkan album dalam bentuk video digital seiring dengan trend semasa.

Baca ni Wajah comel terpapar pada botol kordial F&N hampir 2 dekad, ini wajah terkini Madihah 'si gadis sirap'

Jodoh 'sesat' jalan

Bila sudah dewasa, kita akan memerdekakan diri daripada cengkaman keluarga. Mudah kata, bebas mencatur kehidupan sendiri.

Namun, lain pula cerita Sissy. Mungkin ramai sudah tahu, pemilik nama sebenar Sissy Imann Mohammad Kamil itu masih selesa diurus bapa tercinta.

Kepada satu soalan, selebriti berkenaan menolak tanggapan dirinya hidup terkongkong. Sebaliknya, ayahandalah yang banyak membantu melancarkan perjalanan seninya.

"Saya tak pernah sedikit pun rasa susah ketika bersamanya, apatah lagi rasa tidak bebas untuk keluar dengan kawan-kawan atau melakukan aktitivi yang saya gemari.

"Saya pernah melancong sampai ke Korea dan Jakarta dan sebagainya tanpa bantahan daripada ayahanda mahupun bonda," ujar beliau.

Bagaimana pula soal teman hidup? Ada syarat-syarat tertentukah Sissy perlu penuhi?

Saat diterjah persoalan itu, beliau dengan nada berseloroh memberitahu tentang niat untuk berkahwin awal. Namun, sayangnya belum ada rezeki.

"Sampai sekarang saya belum bertemu lagi pilihan terbaik. Famili pun tidak mendesak dan biarkan saya buat keputusan. Cuma sekarang ini saya anggap jodoh saya tengah 'sesat' jalan. Saya doakan beliau cepat-cepat jumpa jalan pulang. Ikutkan perancangan, saya nak akhiri zaman bujang apabila umur mencecah 30 tahun," ujarnya dalam nada bergurau.

Baca ni 'Mak ladang pahala & rezeki.'Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!

Selain berbicara topik tersebut, kami perasan kelainan imej yang dibawa oleh Sissy sekarang. Beliau tampil dengan gaya berambut pendek. Nampak lebih muda remaja, segar dan bertenaga.

"Ya, sepanjang 10 tahun dalam industri, saya sudah biasa dengan imej berambut panjang. Cuma baru-baru ini saya teringin ubah stail. Lagipun, saya sibuk dengan kerja dan selalu balik lambat. Jadi, tak banyak masa untuk diri sendiri. Saya fikir rambut pendek adalah alternatif terbaik," kongsi Sissy.

Namun, terdapat kisah lucu di sebalik nekadnya itu. Lantaran tranformasi yang dibawa, selama dua hari beliau tidak bertegur sapa dengan ayahnya.

"Ayahanda yang melihat perubahan tersebut terus senyap dan tidak mahu bercakap dengan saya. Selepas itu, barulah hubungan kami kembali pulih," dedah Sissy sambil ketawa kecil tika mengenangkan semula insiden berkenaan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.