‘Saya harap hubungan baik ini berterusan sehingga ke akhir hayat’. Memey mahu silaturahim dengan Abby terus mekar

SOSOK tubuh ini pernah terpalit dengan kontroversi suatu ketika dahulu. Pelbagai tohmahan, kata-kata kejian dan pandangan sinis dilemparkan kepadanya.

Awan hitam yang menyelubungi diri beliau sedikit demi sedikit mula berlalu.

Baca ni Sambutan Aidilfitri kali ini lebih meriah, semangat dan tenang. Pengakuan eksklusif Puteri Sarah

Kebahagiaan yang dikecapi kini bersama anak-anak dan suami membuatkan pemilik nama Memey Suhaiza, 35, tidak putus-putus melahirkan rasa syukur diulit emosi terharu.

Hubungan baiknya bersama Abby Abadi juga sering diperkata, tidak kurang yang menjadikan mereka sebagai contoh terbaik dalam perhubungan.

Kepada yang mungkin terlupa, Abby ialah mantan isteri kepada pelakon popular, Norman Hakim yang kini suami Memey.

“Saya bersyukur dengan kehidupan kini. Nikmatnya (syukur) melebihi segalanya. Walaupun pada awalnya pelbagai proses terpaksa kami lalui, alhamdulillah DIA akhirnya berikan sinar buat kami.

“Semua pihak, baik keluarga kami dan juga kak Abby amat menjaga ukhuwah. Semua memainkan peranan, bukan datang daripada satu pihak sahaja,“ ungkapnya tatkala memulakan bicara awal.

Mesra disapa sebagai Mey sahaja, selebriti yang manis dipandang itu mengakui masih banyak kekurangan diri yang harus diperbaiki.

Ditebak mengenai sesetengah orang yang menjadikan beliau sebagai idola kerana ketabahannya, ini reaksi personaliti itu: “Idola? Oh! Tidak. Saya bukan seorang yang sempurna. Masih banyak benda yang kurang. Sepanjang perjalanan untuk sampai ke tahap ini, pelbagai ranjau dan halangan terpaksa ditempuh.“

Atas sebab itulah, membuatkan Mey sangat menghargai, saling menghormati dan memelihara hubungan baik supaya silaturahim dengan Abby kekal sehingga ke jannah.

“Saya mahu anak-anak membesar dan mendapat kasih sayang daripada semua pihak. Melihat wajah-wajah mereka tersenyum bahagia terutama apabila kami berkumpul ramai-ramai sudah cukup buat saya gembira. Saya harap ia berterusan sehingga ke akhir hayat,“ katanya dengan nada lembut.

Baca ni Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

Suka berdiam diri

Sedang asyik bercerita tentang keakraban dua keluarga, tiba-tiba persoalan mengenai satu persatu kes melibatkan keruntuhan rumah tangga selebriti dek kerana orang ketiga dan kecurangan pasangan terlintas dalam benak penulis.

Kesempatan itu membuatkan penulis terpanggil untuk mendengar sendiri pandangan empunya diri.

Namun, secara profesional beliau menolak untuk memberi ulasan. Beberapa kali kata maaf terpacul daripada mulutnya.

“Minta maaf sangat-sangat kerana saya tak boleh nak ulas tentang isu tersebut. Saya takkan cakap apatah lagi berkongsi tip kerana diri saya sendiri tak sempurna. Pada masa sama, saya bimbang disalah tafsir dan buat orang tersinggung.

“Saya tak cukup baik dan bukan juga orang terbaik, biarpun pernah melalui dan menghadapi pelbagai ujian dalam situasi tersebut,“ jelasnya.

Pemilik nama sebenar Suhaiza Suhaimi itu berkata, pendekatan sedemikian diambil sejak dahulu lagi.

Mey menambah, beliau memahami tindakan sesetengah orang yang menjadikan platform media sosial untuk meluah isi hati, berkata-kata dan komen tentang sesuatu.

Situasi sebegitulah yang membuatkan tuan punya badan sentiasa berhati-hati dengan apa sahaja dimuat naik baik di laman TikTok, Instagram atau di medium lain.

“Terbit rasa risau dan atas faktor itu, sebelum berkongsi, saya akan periksa berkali-kali supaya tak timbul sebarang masalah,“ katanya.

Prinsip yang Mey pegang seharusnya menjadi pedoman untuk kita. Tutur beliau, berdiam diri itu lebih baik.

“Kadangkala apa yang kita nak komen tentang isu yang berbaur emosi, kita tak tahu bagaimana reaksi orang di luar sana, sama ada okey atau tidak? Mungkin cara penyampaian kita tidak disenangi orang.

“Sebab itu saya suka diam. Bukan nak kata saya baik, cuma saya selesa dengan cara begini,“ katanya.

Daripada hati yang terdalam, ujar anak kelahiran Kota Tinggi, Johor itu, dirinya tidak berhenti menitipkan bingkisan doa buat rakan selebriti yang diuji dengan masalah rumah tangga.

Pada masa sama, duta Ephyra itu turut ditanya mengenai persepsi segelintir masyarakat yang selalu beranggapan bahawa wang dan populariti tidak dapat menjamin kebahagiaan?

Mendengarkannya, lalu Mey berkata: “Sejak dahulu lagi saya sudah biasa pegang duit sendiri dan tidak terlalu bergantung pada suami. Pada saya, kewangan adalah salah satu faktor yang cukup penting, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang.

Baca ni Wajah comel terpapar pada botol kordial F&N hampir 2 dekad, ini wajah terkini Madihah ‘si gadis sirap’

“Demikian juga dengan bab populariti. Ada orang popular tak bahagia dan ada juga sebaliknya. Pun begitu, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melalui luaran sahaja. Terpulang kepada cara masing-masing mengemudi kehidupan. Paling penting, kita kena usaha sebaik mungkin, selebihnya terserah kepada DIA.“

Keluarga & Normey

Jika pembaca SinarPlus perasaan, Mey sudah hampir tidak kelihatan di kaca televisyen.

Sambil tersenyum, katanya, kehidupan yang dijalani sekarang lebih memfokuskan kepada keluarga dan perniagaan sahaja.

Pengasas bersama jenama Normey itu berkata, beliau selesa dengan pendekatan sebegitu dan gembira dengan keputusan yang diambil.

“Alhamdulillah, ALLAH telah permudahkan segalanya, rumah saya dekat dengan butik. Maka, senang untuk saya uruskan anak-anak sendiri.

“Masa juga lebih fleksibel untuk keluarga dan dapat melihat si kecil membesar depan mata. Secara tak langsung, ia membolehkan hubungan kami bertambah rapat,“ ungkap ibu kepada Muhammad Darwisz Hakim, 10; Muhammad Dikhriz Hakim, 8; dan Mikayla Delisha, 5, itu.

Iklan

Berbicara lanjut, ujar empunya badan, beliau tidak kisah berkongsi kehidupan peribadinya dengan masyarakat.

“Sejak bergelar anak seni, saya bukan jenis yang menyorokkan keluarga daripada pandangan orang ramai, lebih-lebih lagi bila sudah menceburi bidang perniagaan. Namun, semuanya ada had. Saya sangat berjaga-jaga,“ katanya.

Menyorot kembali pembabitan Mey dalam arena bisnes, segalanya bermula seusai beliau melahirkan anak kedua. Ketika itu, momentum aktiviti seni semakin diperlahankan.

“Disebabkan saya bukan jenis yang suka duduk diam, saya memilih untuk buka butik. Alhamdulillah, jenama Normey mendapat sambutan baik sehingga sekarang.

“Mencuba bidang baharu bukan semudah yang disangka, persaingan cukup sengit seperti mana dalam dunia seni. Namun, saya selesa dengan apa yang saya lakukan,“ ujarnya.

Baca ni ‘Mak ladang pahala & rezeki.’Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!

Pun demikian, beritahu Mey, selok-belok bisnes perlu diterokai lagi demi memastikan jenama Normey sebaris dengan label popular lain.

Sehingga pada saat ini, selebriti yang ramah itu masih dalam proses belajar.

Beliau tidak malu untuk mendaftar kelas, sertai kursus dan bertemu dengan orang ramai untuk memperkenalkan Normey yang baru tiga tahun menapak.

“Seperkara, saya tak nafikan, penggunaan media sosial banyak membantu mempromosikan jenama ini, sekali gus membuatkan nama saya masih dikenali sehingga kini walau jarang muncul di layar kaca.

“Itu salah satu sebab saya sentiasa tampil dengan konten dalam media sosial. Biarpun masih belum sampai tahap membanggakan, namun Normey tetap berkembang dan sentiasa laku keras setiap kali koleksi baharu ditampilkan,“ akuinya.

Iklan

Air tangan isteri

Menjawab satu soalan, kata Mey, dirinya bukan langsung enggan berlakon, tetapi beliau perlu selektif disebabkan posisinya sekarang.

“Jika tawaran tersebut tidak membabitkan masa yang panjang seperti drama dan sebagainya, saya tak akan tolak,“ katanya lagi.

Meskipun sibuk berbisnes, ujar Mey, ia sedikit pun tidak membataskannya untuk memasak pelbagai sajian daripada air tangan sendiri untuk Norman dan anak-anak. Buktinya, beliau rajin memuat naik menu sihat yang dimasak di laman sosial.

Ujar Mey, itu antara kepuasannya apabila dapat berkongsi resipi dengan warganet dan para peminat tersayang.

“Saya tak sangka ramai yang suka (dengan perkongsian tersebut). Sejujurnya niat saya hanya mahu beri inspirasi kepada para wanita di luar sana. Walaupun kita sibuk atau tak pandai, jangan hadkan niat untuk belajar dan beri yang terbaik kepada suami dan anak-anak.

“Saya rasa masakan antara tarikan yang kuat dalam hubungan kekeluargaan. Keterujaan itu lebih terserlah apabila melihat mereka suka dan menikmati hidangan dengan penuh keterujaan,“ ungkapnya.

Dedah Mey, kepandaian beliau memasak sebenarnya datang daripada ibu tersayang.

“Sejak kecil, mak sudah dedahkan saya dengan macam-macam menu. Kebetulan saya jenis yang suka mencuba. Bila dah jadi isteri dan ibu, hari-hari saya akan pastikan air tangan saya terhidang buat keluarga.

“Kalau saya tiada di rumah, anak-anak akan mengadu rindu nak makan itu ini setiap kali kami berhubung melalui telefon. Justeru, saya rasa bab makan itu menjadi magnet buat kami sekeluarga,“ kata Mey sambil tertawa kecil.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.