Bertuahnya gadis ini! Rezeki dapat tunai haji, SPM pula paling cemerlang
BERTUAH! Dua rezeki besar dalam satu masa. Itulah yang terjadi kepada seorang jemaah haji muda, Nur Saffiyah Nasuha Ramlan.
Gadis berusia 18 tahun itu sedang membuat haji mengetahui keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM)nya menerusi panggilan video dari Masjidilharam bersama ibu dan ayahnya di Malaysia.
Berdasarkan perbualan video tersebut, difahamkan Nur Saffiyah berjaya merangkul keputusan cemerlang dengan mendapat 8A dalam peperiksaan tersebut.
Pencapaian itu sekali gus menjadikan Nur Saffiyah sebagai pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Raub, Pahang.
"Saya gembira kerana pertamanya dapat tunai haji pada usia muda dan pada masa sama mendapat keputusan cemerlang di bumi penuh barokah ini," ujarnya.
Dalam pada itu, jelas Nur Safiyah, dia hanya mengamalkan fokus ketika sesi pembelajaran di dalam kelas selain menyiapkan kerja rumah dengan masa yang ditetapkan.
"Saya tak ikuti tuisyen di luar. Apabila lepas Maghrib akan mengaji al-Quran dan berdoa setiap masa agar cemerlang dalam akademik, siasah dan agama serta berjaya di dunia dan akhirat.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih ibu bapa, adik-beradik dan guru-guru sekolah yang tanpa penat lelah membantu saya," katanya.
Pada permulaan video yang dikongsi Era.je, Nur Saffiyah yang berasa gementar meminta ibu bapanya menunjukkan keputusan yang diperolehinya.
"Tengok result saya,” katanya.
Ibunya kemudian memaparkan sijil SPM di hadapan kamera dan Nur Saffiyah mula melihat serta mengira berapa abjad A yang tertera di situ.
Selepas tidak dapat melihat dengan jelas, Nur Saffiyah mula bertanya kepada ibu bapanya berapa A yang telah dirangkul olehnya.
"Berapa A?" tanya Nur Saffiyah.
"8A,"kata ibunya.
Ibu remaja itu menjawab dengan penuh gembira dan berpuas hati dengan pencapaian anaknya itu.
Apabila ditanya mengenai perasaan kedua ibu bapanya, mereka berkata sangat gembira dan menunjukkan muka senyum.
"Happy ke?" tanya Nur Saffiyah lagi ingin kepastian.
"Happy lah," jawab ayahnya.
Nur Saffiyah kini berada di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan haji bersama empat kakak-kakaknya dan seorang abang ipar.
Sambil mengucapkan syukur, Nur Saffiyah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada guru-guru, adik beradik dan ibu bapanya yang selalu menyokongnya selama ini.
Nur Saffiyah juga berharap dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia UIAM dalam jurusan Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan.
Semalam seramai 10,109 calon peperiksaan SPM 2022 berjaya mendapat keputusan cemerlang A, A+ dan A- dalam semua mata pelajaran.
Sumber: Era.je, Sinar Harian
Semoga bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.