NAHAS pesawat terhempas di Bandar Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor menyayat hati.
Selain enam penumpang dan dua anak kapal pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dan penumpang kereta, pekerja p-hailing, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, adalah salah seorang mangsa.
Muhammad Hafiz yang merupakan anak sulung kepada lima adik-beradik kebetulan lalu di lokasi kejadian disahkan maut di lokasi kejadian pada kira-kira jam 2.40 petang.
Baca juga: Terhempas sekelip mata, hangus terbakar, berikut 5 tragedi pesawat menyayat hati
Adiknya, Norhikmah Muhammad Salleh, 26, memaklumkan berita duka itu hanya diketahui keluarga usai solat Maghrib apabila keluarganya menerima panggilan telefon daripada pihak berkuasa.
Norhikmah mengakui keluarga terkejut dengan insiden menimpa abang sulungnya. Biarpun perit menerima berita kehilangan, kedua ibu bapanya meminta ahli keluarga lain reda dengan pemergian Muhammad Hafiz.
Jenazah Allahyarham difahamkan akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani selesai semua prosedur.
Ujar Norhikmah, Muhamad Hafiz ada menyatakan hasrat pulang ke kampung pada 20 Ogis bagi membuat persiapan kenduri perkahwinan adiknya.
"ALLAH lebih menyayangi abang. Walaupun seorang yang pendiam dan tegas, tetapi dia sangat penyayang," katanya.
Manakala sepupu Allahyarham, Nurul Nazihah memberitahu Muhamad Hafiz yang merupakan lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2017 telah berhijrah ke ibu kota dan kini bekerja sebagai pekerja p-hailing.
"Kami memang rapat, baru sahaja jumpa di kampung masa hari raya korban lalu. Saya duduk Kulim, ibu arwah di Sidam. Kampung kami pula di Baling.
"Minggu depan kenduri kahwin adik dia. Sepatutnya dia balik minggu depan. Memang sedihlah. Masa raya tu kali terakhir jumpa. Dia jenis soft spoken, sembang tak merapu.
"Minta tolong semua doakan yang baik-baik, diampunkan dosanya, dan dikurniakan syurga buatnya," ujar Nazihah kepada Mstar.
Nurul Nazihah turut memohon maaf tidak dapat memberikan respons kepada media yang cuba menghubungi.
"Kami nak bercakap pun sukar. Masing-masing sedang hiba dan berduka atas kejadian yang menimpa Apit.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata hanya satu mayat mangsa nahas ditemukan sempurna.
Baca juga: Kematian akibat kebakaran, jenazah perlu dimandikan atau cukup hanya tayamum?
Lapor Astro Awani, ia adalah mayat Muhammad Hafiz dan identitinya telah dikenalpasti.
Sebelum ini, SinarPlus melaporkan pesawat jenis jet peribadi Beechcraft Model 390 (Premier 1) berlepas dari Langkawi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) , Subang jam 2.40 petang.
Namun pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.
Semasa terhempas pesawat berkenaan telah merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal.
Antara mangsa terkorban ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Selain beliau, mangsa lain yang dikenal pasti, Khairil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki, dan Idris Abdol Talib @Ramali. Dua kru kapal yang juga juruterbang pula dikenal pasti sebagai Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.
Sumber: Mstar, Astro Awani, Berita Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!