Luar biasa! Pesawat terhempas, ibu maut, 4 beradik bertahan hidup 40 hari di hutan Amazon jadi perhatian dunia

BARU-baru ini SinarPlus berkongsi kisah mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang menjaga tiga adik selepas pesawat yang dinaiki terhempas pada 1 Mei 2023.

Lebih memilukan, malapetaka yang menimpa penerbangan menuju ke San Jose del Guaviare, salah satu bandar utama di hutan hujan Amazon Colombia itu mengorbankan ibu mereka.

Baca juga: Kakak 13 tahun jaga 3 adik di hutan Amazon, bina tempat berlindung daripada dahan & daun, ibu bapa maut pesawat terhempas

Kredit foto: Twitter Angkatan Tentera Colombia

Malah dua juruterbang turut meninggal dunia dalam kejadian itu.

Pesawat Cesna 206 yang dinaiki mereka mengeluarkan amaran mayday akibat kegagalan enjin terhempas di sempadan antara Caquetá dan Guaviare di wilayah tengah selatan negara itu, kira-kira 250 batu di selatan ibu negara Bogota.

Kisah pencarian empat beradik Lesly Mucutuy, 13, Soleiny Mucutuy, 9, Tien Noriel Ronoque Mucutuy, 4, dan Cristin Neriman Ranoque, 1 , ini menggemparkan dunia.

Masakan tidak, kanak-kanak etnik Huitoto itu mampu bertahan hidup biarpun berminggu-minggu hilang di hutan tropika tebal yang terbesar di dunia.

Difahamkan keempat-empat mereka berkeliaran di dalam hutan di bahagian selatan Caqueta sejak nahas.

Dalam perkembangan terkini, keempat-empat beradik itu akhirnya ditemui selamat.

Lapor BBC, pasukan penyelamat berjaya mengesan mereka selepas melihat tanda di dalam hutan, kesan tapak kaki dan buah yang telah digigit.

Baca juga: Hanya minum air hujan, 2 budak lelaki hilang 4 minggu di hutan Amazon ditemui selamat

Lebih menyedihkan si bongsu yang berusia setahun dan kakaknya yang berusia lima tahun menyambut hari lahir di dalam hutan.

Pencarian pasukan penyelamat berakhir pada Jumaat, 9 Jun 2023 lalu.

Sekitar pukul 4 petang waktu tempatan, radio tentera tiba-tiba berbunyi.

“Keajaiban, keajaiban, keajaiban, keajaiban,” yang dalam bahasa Inggeris disebut miracle memecah kesunyian.

Ia merupakan kod untuk merujuk seorang anak yang ditemui hidup.

Kod tersebut diulang sebagai empat kali menunjukkan bahawa keempat-empat mereka selamat dan bertahan hidup di tengah hutan tebal itu.

Pemimpin suku Lucho Acosta berkata, penemuan bermula saat kru penyelamat mendengar tangisan si bongsu yang masih bayi.

“Mereka sangat lemah, kami menemui mereka selepas mendengar tangisan si bungsu.

“Anak-anak intu sangat lemah dan tidak lagi bergerak,” katanya.

Baca juga: Di mana Jude Angel? Bayi 18 bulan hilang di Beaufort, Sabah belum ditemui

KAKAK SULUNG DIPUJI JAGA ADIKNYA

Kredit foto: Twitter Angkatan Tentera Colombia

Kakak sulung, Lesly, 13, dipuji berjaya mengharungi situasi genting dan melindungi adik-adiknya itu.

Difahamkan keempat-empat mereka terselamat dengan memakan tepung dan yang ditemui dalam serpihan pesawat dan biji-bijian.

Menteri Pertahanan Colombia, Ivan Velasquez, yang melawat mereka di hospital bersama Presiden, Gustavo Petro memuji Lesly kerana menjaga adik-adiknya.

“Berkat kesungguhan Lesly menjaga dan pengetahuannya tentang hutan, tiga yang lain dapat bertahan

“Secara amnya, mereka berada dalam keadaan yang boleh diterima, menurut laporan perubatan mereka keluar dari bahaya, ” kata Velasquez.

Doktor tentera, Dr Carlos Rincon berkata keempat-empat kanak-kanak itu mengalami kekurangan nutrisi.

Pun begitu, keadaan mereka lebih baik daripada jangkaan kerana hanya mengalami beberapa kecederaan tisu lembut, gigitan dan lesi pada kulit.

Baca juga: 5 hari hilang di hutan Royal Belum, anggota tentera ditemui meninggal dunia, doa ibu agar kembali ke pangkuan berakhir sedih

Kredit foto: Twitter Angkatan Tentera Colombia

Dr Carlos juga memberitahu empat beradik itu masih belum boleh menerima makanan.

“Kami akan memulakan proses memasukkan makanan selepas selesai proses pemeriksaan klinikal yang akan dilakukan hari ini.

Iklan

“Jika keadaan berjalan lancar, kami percaya mereka akan tinggal di hospital selama dua hingga tiga minggu,” katanya.

Pengarah Institut Kebajikan Keluarga Colombia, Astrid Caceres berkata kanak-kanak itu tidak banyak bercakap dan memerlukan masa untuk pulih.

Namun dua daripada kanak-kanak itu sudah mula bermain.

Baca juga: Juruterbang ditemui setelah hilang 36 hari di hutan, bertahan dengan hanya makan telur haiwan, buah dan roti

NENEK SYUKUR CUCU DITEMUI

Nenek kanak-kanak itu, Fatima Valencia, bersyukur cucu-cucunya itu ditemui.

Beliau berkata, anak sulung daripada empat beradik itu sudah biasa menjaga tiga yang lain ketika ibu mereka bekerja.

Ia juga menjadi salah satu sebab mereka mampu bertahan di dalam hutan.

“Lesly memberi adik-adiknya tepung dan apa-apa buah dalam di dalam hutan.

“Mereka tahu apa yang mesti mereka makan,” katanya.

Keluarga dan kenalan berharap pengetahuan Lesly dan adik-adiknya tentang buah-buahan serta kemahiran ikhtiar hidup di dalam hutan memberi peluang untuk mereka terus bertahan.

Iklan

Ketika dalam operasi pencarian, helikopter menyiarkan mesej daripada nenek kanak-kanak itu yang dirakam dalam bahasa Huitoto menggesa mereka berhenti bergerak bagi proses mengesan kedudukan dan proses menyelamat.

IBU HIDUP SELAMA EMPAT HARI

Dalam perkembangan berkaitan, bapa kepada dua daripada kanak-kanak berkenaan, Manual Ranoque berkata Lesly memberitahu isterinya hidup selama empat hari selepas kemalangan.

“’Satu-satunya perkara yang dia (Lesly) jelaskan ialah ibunya masih hidup selama empat hari.

“Sebelum meninggal dunia, isteri saya memberitahu mereka untuk pegi menyelamatkan diri,”katanya yang merupakan bapa kepada dua anak yang kecil, Tien Noriel Ronoque Mucutuy, 5 dan Cristin Neriman Ranoque Mucutuy, 1 dan bapa tiri kepada Lesly Mucutuy, 13, Soleiny Mucutuy, 9.

Baca juga: Ini amalan doa masuk hutan, wanita suka hiking berkhemah, berkelah wajib tahu

Sumber: BBC, Daily Mail, Kompas

Kredit foto: Twitter Angkatan Tentera Colombia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang penuh inspirasi.