BENARKAH meninggal dunia dalam kebakaran dikategorikan sebagai mati syahid?
Mantan Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri berkongsi penjelasan mengenainya.
Secara umumnya, terdapat banyak riwayat yang menyebutkan kematian orang Islam yang dikira atau dikaitkan dengan mati syahid, dan salah satu daripada kematian tersebut ialah orang yang mati dalam kebakaran.
Daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda"Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan ALLAH tujuh orang, iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang punya luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan anak adalah syahid.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasaie).
Baca juga: Kematian akibat kebakaran, jenazah perlu dimandikan atau cukup hanya tayamum?
[caption id="attachment_122402" width="797"] Kredit foto: Pexels[/caption]
Al-Mulla Ali al-Qari menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan"صَاحِبُ الْحَرِيقِ” ialah orang yang terbakar. Dalam erti kata lain, seseorang yang mati disebabkan oleh kebakaran.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan ALLAH SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka.
Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menyatakan dalam kitabnya bahawa melalui hadis-hadis yang menyebutkan berkenaan orang-orang yang dikira syahid, mati syahid terbahagi kepada dua kategori berikut:
1)Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan ALLAH melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan agama-NYA) ikhlas kerana ALLAH dan dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri daripada musuh.
2)Syahid di akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia. Yakni, mereka masih perlu dimandikan, solat jenazah dan sebagainya.
3-Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menambah kategori yang ketiga iaitu mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat.
Ia bermakna di akhirat mereka memperoleh pahala mati syahid tetapi di dunia jenazah masih perlu dimandi dan disolatkan.
Bagi mengkhususkan istilah syahid kepada seseorang, ia hendaklah dilihat dari dua sudut iaitu:
1-Penyaksian Umum: Penentuan kesyahidan berdasarkan keadaan atau sifat yang berlaku yang mana sifat atau keadaan itu dinyatakan melalui al-Quran atau hadis Rasulullah SAW seperti hadis Jabir RA di atas. Maka hukumnya adalah diharuskan bahkan wajib untuk membenarkannya, kerana kita menyaksikannya berdasarkan sifat yang dikhabarkan oleh Rasulullah.
2-Penyaksian khusus: Yakni kita mengucapkan seseorang itu syahid pada orang tertentu seperti kita berkata 'orang itu syahid.' Maka hal ini tidak dibenarkan melainkan individu tersebut disaksikan syahid oleh Rasulullah SAW atau kesepakatan umat Islam.
Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam Sahih al-Bukhari iaitu Larangan Mengatakan Seseorang Itu Syahid.
Menurut Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari, larangan itu bermaksud atas jalan yang pasti. Ini kerana kepastian hanyalah boleh diterima berdasarkan kenyataan wahyu.
Justeru, Imam al-Bukhari seolah-olah menyandarkan larangan ini kepada hadis Umar (al-Khattab) yang berkhutbah:"Kalian mengatakan dalam peperangan-peperangan kalian, ‘si fulan mati syahid’ dan ‘si fulan mati syahid’ padahal mungkin orang itu mati kerana membebani tunggangannya dengan terlalu berat (lalu mati jatuh kenderaan). Oleh itu, janganlah kamu mengatakan sedemikian, sebaliknya katakanlah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
مَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ قُتِلَ فَهُوَ شَهِيدٌ
Maksudnya:"Sesiapa yang mati atau terbunuh di jalan ALLAH, maka dia telah syahid.”
Ibn Hajar menilai hadis ini sebagai hasan dan ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Sa‘id bin Mansur dan selain mereka.
[caption id="attachment_122403" width="796"] Kredit foto: Freepik[/caption]
Berdasarkan keterangan di atas makan jelaslah bahawa orang Islam meninggal dunia disebabkan oleh kebakaran dianggap sebagai mati syahid sebagaimana yang dinyatakan dalam nas yang sahih.
Bagaimanapun, syahid yang dimaksudkan ialah syahid akhirat iaitu mendapat pahala syahid di akhirat kelak. Jenazah mereka semasa di dunia masih perlu diuruskan seperti biasa iaitu perlu dimandikan dan disolatkan.
Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah SAW berdasarkan riwayat yang sahih.
Namun, hakikatnya hanya ALLAH SWT jualah yang Maha Mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid ataupun sebaliknya.
Oleh itu, doakanlah ganjaran syahid kepada mereka yang meninggal dunia dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW namun tidak menetapkannya secara qatie (pasti) dan bersangka baik.
Baca juga: Kronologi pesawat terhempas di Elmina, rupanya pemandu Grab tak ambil penumpang sejak jam 2 petang
Sumber: Maktabah Al-Bakri
Kredit foto utama: Pixabay
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!