PEMANDU e-hailing Grab, Sharipuddin Shaari, 53, salah seorang mangsa nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang, Sharipuddin yang sedang melalui kawasan kejadian turut terkorban apabila pesawat pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang gagal dikawal lalu terhempas dan mengenai kereta jenis Nissan Almera dipandunya.
Seolah-olah dapat menjangka akan pergi selama-lamanya, lelaki itu sempat menyerahkan gambar berukuran pasport kepada anaknya, Muhammad Sharul Izuan, 16.
"Pada pagi hari kejadian (Khamis), sebelum ke sekolah, saya sempat bertegur dengan ayah yang sedang isi air di tangki kereta.
"Minggu lepas waktu kami sekeluarga dalam perjalanan ke 'mall' di Sepang untuk beli buku adik, dia (arwah) tiba-tiba bagi dua gambarnya untuk saya simpan. Dia hanya kata, ambil dan simpan," ujar Muhammad Sharul hiba.
Mengetahui tragedi menimpa Sharipuddin jam 6 petang selepas anggota polis datang ke rumah, mereka sekeluarga terkejut dan tidak percaya.
Baca juga: Kronologi pesawat terhempas di Elmina, rupanya pemandu Grab tak ambil penumpang sejak jam 2 petang
Muhammad Sharul dalam nada sayu berkata, kira-kira jam 2.15 petang hari kejadian, bapa tersayang sempat menghubungi ibunya memberitahu singgah minum di Elmina.
"Kali terakhir dia (ayah) telefon ibu saya. Dia kata berhenti minum sekejap, kejap lagi abang balik," katanya.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi itu turut memaklumkan bapanya enggan makan pada malam sebelum kejadian.
Baca juga: Kebetulan memilukan, nahas pesawat di Elmina bukan kali pertama, 46 tahun lalu 34 hilang nyawa
"Bila dapat tahu berita ini memang tidak percaya. Tapi selepas tengok dashcam, memang betul itu ayah, kami reda," katanya.
Dalam pada itu, pengguna Facebook, Hazwani Hamdan yang merupakan saudara kepada Suriana berkongsi Sharipuddin sempat menghantar teks WhatsApp bergurau dengan wanita itu.
Sharipuddin yang berasal dari Kampung Rani Estate, Arau, Perlis meninggalkan seorang balu, Suriana Muda, 43, dan dua anak iaitu Muhammad Sharul serta Nur Izzara Arissya, 9.
Selain itu, Hazwani juga sempat memohon orang ramai untuk mendoakan kesejahteraan arwah Pokcik Din atau nama sebenarnya Sharipuddin bin Shaari.
"Mohon semua doakan kesejahteraan arwah Sharipuddin bin Shaari, semoga rohnya dirahmati ALLAH. Mohon semua kenalan mami daddu sedekahkan al- Fatihah buat arwah dan doakan semoga ALLAH ampunkan dosa-dosa arwah," kongsinya.
Jenazah Sharipuddin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sultan Hishamuddin Bandar Baru Salak Tinggi.
Di kesempatan ini SinarPlus mengucapkan takziah kepada semua mangsa nahas pesawat di Bandar Elmina. Semoga roh mereka dicucuri rahmat, al-Fatihah.
Baca juga: Meninggal dunia kebakaran dikira mati syahid, ini penerangan agamawan
Sumber: Sinar Harian, Hazwani Hamdan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!