Hilang 6 insan tersayang sekelip mata, Abdul Rahman ditaja umrah
HILANG ibu, ayah dan empat adik dalam sekelip mata, anak sulung keluarga terlibat kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada Jumaat lalu bakal menerima tajaan menunaikan umrah.
Abdul Rahman Amir Ruddin, 19, mendapat tajaan daripada sebuah syarikat pelancongan, Jay Ibrahim Travel & Tours Sdn Bhd.
Menerusi akaun Facebook rasmi syarikat itu, pihaknya sudah dapat menghubungi Abdul Rahman selepas menguar-uarkan tentang hasrat tersebut.
Memetik portal tempatan, pengasas syarikat umrah dan haji tersebut, Jay Ibrahim memaklumkan bahawa niatnya membantu Abdul Rahman adalah untuk memberikan ruang kepada pemuda tersebut berdoa di hadapan Kaabah.
Baca juga Sudah lama teringin buah rambutan, ibu kongsi detik cemas anak maut tercekik
"Niat saya memang nak taja adik Abdul Rahman menunaikan umrah supaya dia boleh berdoa depan Kaabah, Makkah dan Raudhah di Madinah supaya adiknya yang masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat segera sembuh.
"Alhamdulillah, hasil bantuan rakan-rakan di Facebook, saya dapat berhubung dan berjumpa Abdul Rahman hari ini (Ahad). Saya menyatakan hasrat untuk menajanya menunaikan umrah dan dia terima. Cuma, dia mahu adiknya yang kini masih di ICU dapat pergi bersama.
"Saya cakap, kalau adik dia diizinkan hidup, saya memang akan bawa juga. Tapi, saya pelawa untuk pergi awal supaya dia dapat mendoakan kesihatan adiknya di sana. Seperti yang kita tahu, depan Kaabah antara tempat mustajab berdoa.
"Insya-ALLAH, di sana Abdul Rahman boleh merawat jiwa di depan Kaabah. Semoga dia diberi kekuatan.
"Niat saya ini lebih pada tanggungjawab sebagi orang Islam untuk membantu mereka yang susah. Saya bersimpati atas apa yang berlaku.
"Doakan usaha kecil kami ini dipermudahkan dan dapat memberi manfaat kepada adik Abdul Rahman dan keluarga serta mendapat keberkatan ALLAH," ujarnya.
Terdahulu, ibu bapa serta empat lagi adik kepada Abdul Rahman disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, ketika mereka dalam perjalanan untuk menghantar ibunya di Segamat.
Mangsa yang terlibat ialah Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, bersama empat lagi anaknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi anak mereka Abdullah,15 tahun pula parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat akibat kecederaan parah di bahagian kepala,usus dan paru-paru
Difahamkan, ibunya merupakan guru Sekolah Agama Semedak manakala bapanya merupakan seorang imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang.
Jenazah enam beranak itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong pada petang Sabtu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!