Sudah lama teringin buah rambutan, ibu kongsi detik cemas anak maut tercekik

KANAK-KANAK meninggal dunia akibat tercekik rambutan di Kampung Sungai Ling, Chenor, Pahang memang teringin makan rambutan tetapi dihalang ahli keluarga kerana mengalami batuk sejak sebulan lalu.

Itu pendedahan ibu kepada murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir, Nur Iman Fitriah Muhamad Nizam, 9, Suriani Tahir mengenai anak bongsunya itu.

Ujarnya, mangsa yang juga merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik sering kali meminta dibelikan rambutan.

Namun katanya, dia dan suami, Mohd Nizam Othman, 51, buat tidak endah sahaja permintaan Nur Iman Fitriah yang lebih mesra dipanggil Acu bagi mengelakkan masalah batuk dialaminya menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun pada petang kelmarin, sepupunya, Nor Shakirah Abd Rahim, 20, datang ke rumah dan mengajak makan rambutan di rumah jiran.

Baki rambutan itu dibawa pulang dan dia makan bersendirian di muka pintu dapur.

“Saya dan Nor Shakirah ada di rumah semasa kejadian manakala bapanya sedang meracun rumput di belakang rumah petang kelmarin,” ujarnya.

Baca juga Jangan panik kalau anak tercekik ketika makan, pakar ini kongsi langkah yang boleh diambil segera

Suriani yang berusia 48 tahun itu berkata, dia dan Nor Shakirah tidak menyedari Acu tercekik rambutan kerana tiada kedengaran suara dan aksi mencurigakan.

“Dia menghampiri kami tetapi mukanya sudah biru dan tubuhnya lemah. Kami sangat terkejut dan berusaha pelbagai cara untuk mengeluarkan buah rambutan yang tercekik di kerongkong Acu.

“Kami bergegas membawa Acu ke Klinik Kesihatan Pekan Tajau kira-kira lapan kilometer dari Kampung Kerayong Bukit Chempedak tetapi Acu tidak dapat diselamatkan.

Iklan

“Saya dan keluarga reda dengan ketentuan ALLAH SWT dan memohon orang ramai sedekahkan al-Fatihah kepada Acu anak syurga kami yang manja. Kami kehilangan orang tersayang yang menceriakan kehidupan kami,” katanya sebak.

Baca juga Tercekik kerana sosej, boleh membunuh kanak-kanak hanya dengan beberapa saat!

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Cempedak, Maran pada pukul 11 pagi semalam.

Iklan

Sumber: Bernama, Utusan Malaysia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!