SIAPA yang tidak sedih apabila didiagnosis dengan penyakit kronik, lebih-lebih lagi seorang ibu tunggal yang mempunyai cahaya mata?
Meskipun berat untuk diterima, Marsuzanty Md Taib tetap cekal menerima qada dan qadar yang sudah tertulis untuknya.
Sejak didiagnosis menghidap kanser limfoma (sejenis kanser darah) tahap empat dua tahun lalu, Marsuzanty tidak putus memohon petunjuk daripada-NYA.
Dalam isi doanya, ibu tunggal berusia 48 tahun itu mengharapkan beliau akan terus dipanjangkan umur dan diberikan kesembuhan demi lima anak tersayang yang sedang membesar.
"Hati saya sebenarnya tak pernah tenang selepas disahkan alami kanser. Saya sangat risau kalau-kalau terpaksa pergi dulu dan meninggalkan anak-anak yang masih perlukan kasih sayang dan jagaan.
"Saya tak boleh bayangkan bagaimana nasib mereka bila jadi anak yatim piatu nanti. Tak sanggup saya bayangkan semua itu," luahnya yang menetap di rumah sewa di Taman Pulasan, Jitra, Kedah.
Marsuzanty menyambung bicara dengan nada yang cukup hiba.
Ujarnya, mengikut perkiraan doktor, sudah tiada pengubatan khusus untuk merawat kanser yang dideritai. Lebih teruk, proses transplan sel yang dilakukan sebelum ini menemui kegagalan.
"Memang perit mendengarkan berita seperti ini. Namun demikian, saya perlu cekal, kuat dan bersemangat bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak.
"Sekarang ini, saya hanya bergantung kepada rawatan susulan dan pemantauan doktor melalui ujian darah setiap bulan," katanya.
Menyingkap semula bagaimana beliau dikhabarkan menghidap penyakit ditakuti ramai itu pada tahun 2019, Marsuzanty berkata, beliau benar-benar tidak menduga demam panas hingga mencecah 40 darjah Celsius merupakan satu alamat buruk.
Apabila menyedari terdapat bengkak pada bahagian bawah leher seperti benjolan kelenjar yang semakin membesar, wanita berkenaan sudah berasa gelisah.
"Keadaan demam panas itu membuatkan saya sangat letih dan tidak bermaya waima untuk bangun sekali pun. Semua sendi saya sakit sampaikan tak mampu nak berjalan sendiri.
"Sudah banyak klinik saya pergi, semuanya tak dapat kesan punca penyakit saya," katanya yang kemudian mendapatkan pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Hasil pemeriksaan doktor pakar melalui ujian pengimejan resonans magnetik dan imbasan CT (Computed Tomography) sungguh memeranjatkan apabila beliau disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga ketika itu.
Selepas menjalani enam kali rawatan kemoterapi, suri rumah itu akhirnya disahkan bebas kanser pada tahun 2020.
Pun demikian, beliau sama sekali tidak menduga, penyakit yang sudah disangka pulih, dikesan semula pada Mac 2021 selepas satu benjolan tumbuh pada kawasan belakang paha kiri dikesan.
"Pada awalnya, saya susah nak terima hakikat kanser lama datang semula. Saya kerap menyalahkan takdir.
"Namun, saya bersyukur dikurniakan suami yang tenang (pada masa itu). Dia banyak memberi kata-kata positif. Saya kembali reda dan meneruskan tiga lagi rawatan kemoterapi seperti disarankan pihak hospital," ungkapnya.
Kekangan
Ujar Marsuzanty, tidak cukup diuji dengan penyakit membawa maut tersebut, beliau juga terpaksa berdepan dengan kehilangan insan tersayang yang menjadi tulang belakang hidupnya selama ini.
Suami yang sangat dikasihi, Aziz Md Nasib, meninggal dunia selepas dijangkiti wabak Covid-19 pada saat beliau menjalani rawatan kemoterapi di hospital.
"Saya masih ingat, ketika itu saya koma lebih kurang sebulan ketika menerima rawatan dan sebaik sahaja saya sedar, perkara pertama yang saya dapat tahu adalah suami sudah tiada.
"Hanya ALLAH saja yang tahu perasaan saya ketika itu dan panik memikirkan siapa yang akan jaga anak-anak? Nasib baiklah pihak sekolah dan jiran datang membantu dan tempatkan mereka di rumah emak buat sementara waktu," tuturnya sebak.
Kini, walaupun tidak sekuat dahulu, Marsuzanty tetap mengagahkan diri mencari rezeki dengan menjual lauk-pauk dan kuih-muih sejuk beku dengan penduduk setempat.
"Seawal jam 2 pagi, saya sudah bangun untuk siapkan tempahan makanan pelanggan kerana itulah sumber rezeki kami untuk menampung keperluan semasa.
"Anak-anak semuanya masih belajar termasuk yang sulung sedang belajar di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, manakala anak kedua belajar di German-Malaysian Institute dalam pengkhususan kejuruteraan," katanya.
Bergantung kepada hasil jualan dari rumah dan bantuan bulanan kerajaan, kadang-kadang semua itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Hal berkenaan memang membuatkan Marsuzanty susah hati.
Justeru, beliau memohon keprihatinan orang ramai supaya dapat membantu meringankan beban yang ditanggung terutamanya pembiayaan perubatan dan kos ulang-alik ke hospital.
Kepada pembaca SinarPlus yang prihatin, sumbangan anda sedikit sebanyak boleh meringankan bebanan keluarga ini.
Bantuan boleh disalurkan terus ke akaun Public Bank 4908321715 atas nama Marsuzanty binti Md Taib.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang