Mia hanya tunggu masa, kini bergantung kepada ubat tahan sakit & sawan. Kakaknya pula turut menderita

SESUNGGUHNYA ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.“

Petikan sebahagian Surah al-Baqarah ayat 286 itu membuatkan seorang wanita terus reda apabila qada dan qadar menentukan bahawa dirinya dikurniakan anak yang menghidap kanser otak tahap 4.

Juniza Ibrahim, 38, berkata, berawal, anak bongsu kesayangan beliau, Damiaa Maisarah Mohd Fairus atau manja dipanggil Mia dilahirkan normal.

Pun demikian, pada penghujung November 2021, tatkala pakar mengesahkan Mia berdepan dengan penyakit tersebut, seluruh kehidupan si kecil itu dan Juniza berubah 360 darjah.

mia kanser otak

“Semuanya bermula apabila Mia diserang demam panas berpanjangan, dia menjadi lemah dan kadang-kadang diserang sawan. Puas kami berubat termasuk mendapatkan rawatan di klinik, namun tiada perubahan positif.

“Apabila jururawat klinik desa berkunjung ke rumah, mereka menasihatkan saya untuk bawa Mia ke hospital. Kata mereka, kepala Mia nampak lebih besar daripada biasa,“ katanya.

mia kanser otak

Suri rumah yang menetap di Kampung Sungai Dua Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu menambah, apabila ujian imbasan Computed Tomography dijalankan, pakar mengesahkan terdapat ketumbuhan pada otak kanak-kanak berkenaan.

Baca juga Anak meninggal dunia, nenek yang derita sakit jantung sanggup jaga 3 cucu sakit kanser otak, autisme dan lembam

Susulan itu, si comel itu terus disarankan dibawa ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (HTAKL).

mia kanser otak

Di HTAKL, ceritanya lebih menyayat hati. Pemeriksaan terperinci melalui imbasan Pengimejan Resonans Magnetik mendapati, sel kanser rupa-rupanya sudah merebak pada otak kanan dan kini semakin menjangkiti otak kiri pula.

“Saya sangat sedih apabila doktor maklumkan tiada satu pun ubat atau prosedur yang boleh menyembuhkan Mia kerana semuanya sangat berbahaya.

 

“Doktor kata, jika pembedahan dilakukan termasuk pemasangan shunt untuk mengurangkan cecair pada otak, Mia boleh berdepan risiko koma seumur hidup atau menjadi lebih teruk,“ katanya yang ketika ini sudah mula menitiskan air mata.

Tiada apa yang dapat dilakukan. Mia kini bergantung kepada ubat tahan sakit dan sawan.
“Selain itu, rawatan fisioterapi diberikan bagi mengurangkan kekejangan pada tangan dan kaki. Setiap bulan juga, saya akan bawa dia ke hospital,“ ujarnya sambil memberitahu, Mia juga sudah tidak boleh makan makanan pepejal dan hanya bergantung kepada susu khas.

Tunggu masa

Sebagai seorang Muslim, Juniza seperti dapat menelah kesudahan yang bakal terjadi ke atas anaknya.

mia kanser otak

Bukan mahu cepat berserah. Realitinya, sel kanser sudah merebak ke bahagian lain termasuk leher. Saiz kepala anak istimewa itu pun sudah mencecah 24 inci.

Maka, seboleh-bolehnya kata Juniza, beliau mahu menghabiskan masa yang tersisa bersama Mia.

mia kanser otak

“Saya mahu terus menumpang kasih dengan Mia. Ya, kini dia tidak boleh bercakap, apatah lagi tertawa seperti dulu.

“Kini hanya rakaman video dan suaranya yang sempat dirakam ketika dia masih sihat menjadi penawar rindu kepada saya, adik-beradik termasuk ayahnya,“ katanya yang melalui hari-hari dengan penuh debaran.

Iklan

mia kanser otak

Selepas kami bersembang lama, barulah Juniza melondehkan satu lagi kisah. Selain Mia, ibu kepada tiga zuriat itu juga mempunyai seorang lagi anak yang berpenyakit.

Baca juga Boleh pergi pada bila-bila masa, kanser otak adik Nur Umairah kini pada tahap akhir

Sejak kecil, Duranni Iman yang kini berusia tujuh tahun menderita penyakit jantung dan paru-paru kronik.

“Doktor kesan saluran jantung Durrani terbalik dan banyak komplikasi lain. Bayangkan pada usia lapan bulan lagi, pembedahan memasukkan shunt pada jantung telah dibuat.

mia kanser otak

“Sepatutnya ada dua lagi prosedur yang perlu dijalankan, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ia boleh mengancam nyawanya. Sekarang ini, dia pun masih belum boleh ke sekolah kerana bergantung sepenuhnya dengan bantuan oksigen 24 jam,“ katanya.

Mengetahui suaminya, Mohd Fairuz Amsah@Hamzah, 38, hanya mencari rezeki sebagai pemandu lori sudah jelas memberi mesej kepada kita bahawa keluarga ini selayaknya dibantu.

Iklan

Baca juga Ditinggalkan suami akibat penyakit kanser, Marni Azjuwita seorang diri besarkan 3 anaknya

Dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur setiap bulan untuk membawa Mia ke HTAKL dan Duranni ke Institut Jantung Negara merupakan satu hal yang tidak mudah untuk keluarga tersebut.

mia kanser otak

“Kos ulang-alik ke hospital ditambah keperluan lain membuatkan duit yang ada cukup-cukup makan. Kami juga sedang memohon untuk mendapatkan katil khas buat Mia supaya dia lebih selesa. Sekarang ini, hanya lapik dengan toto sahaja untuk dia baring di ruang tamu,“ luahnya.

Sehubungan itu, kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan masalah yang ditanggung Juniza sekeluarga, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0599541100222044 atas nama Juniza Binti Ibrahim.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang