BUAT pencinta durian, peluang menikmati raja buah terus dari ladang merupakan satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.
Lagi menarik, kalau dapat bermalam dalam kebun, di samping melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama keluarga.
Mengetahui pendekatan itu diminati ramai, seorang kontraktor, Bong Choong Wei, 52, bersama adiknya, Bong Choong Yean, 48, bergandingan mengusahakan Durian_EcoLodge di atas tanah warisan keluarga seluas 4 hektar.
Destinasi tumpuan pelancong yang terletak di Lot 363 Batu 8, Jalan Tampin Pondoi, Negeri Sembilan yang dibuka sejak Oktober tahun lalu itu menjadi sensasi di media sosial terutamanya pada setiap kali tiba musim buah-buahan.
Menurut Pengurus Durian_EcoLodge, Alvin Bong Yi Bin, kebun durian yang terletak di kawasan berbukit tersebut sentiasa laku keras disebabkan pelbagai pilihan buah.
"Kami bukan sahaja mempunyai durian jenis Musang King dengan gred terbaik, malah ada durian jenis Duri Hitam,Tekka, Udang Merah, Sultan D24 dan IOI atau Mas Muar.
"Waktu terbaik untuk bertandang ke tempat kami adalah pada bulan Jun hingga Julai setiap tahun.
"Jangan bimbang jika anda datang pada masa lain kerana kami mempunyai lebih 40 jenis buah tempatan lain. Antaranya seperti jambu, nanas, belimbing, kedondong dan banyak lagi yang akan disajikan kepada para pengunjung secara percuma,” katanya.
Dalam pada itu, mengimbau tentang sejarah pembukaan Durian_EcoLodge, Alvin memberitahu, ayah bersama pak ciknya bersepakat mahu menjadikan tanah warisan milik keluarga bernilai komersial dengan merealisasikan satu idea kreatif.
Baca juga Mahu ketenangan, kita singgah ke kawasan air terjun. Perlukan privasi, jom kita glamping
"Ayah saya sebelum ini pernah mereka bentuk bangunan seperti hotel. Justeru, dia mahu mencipta satu karya signatur peribadi dalam kebun kami untuk orang ramai. Saya pula suka berkhemah, jadi kami gabungkan idea itu, maka wujudlah Durian_Ecolodge yang lain daripada lain.
"Bermula kamar karavan yang dibuat sendiri, sedikit demi sedikit unit bilik bertambah mengikut kesesuaian tanah," ujarnya.
Mengenai penginapan, Alvin berkata, ramai yang memilih untuk bermalam di dalam khemah. Secara keseluruhan, terdapat empat zon tapak yang memuatkan 24 unit khemah pada satu-satu masa.
"Ia (khemah) pilihan yang paling laris kerana caj dikenakan memang murah. Untuk kanak-kanak hanya RM20, manakala dewasa RM30 sahaja. Sambil barbeku, mereka boleh lihat suasana indah pada waktu malam.
"Bagi mereka yang mahu tidur lebih selesa, 15 pilihan kamar jenis karavan, king, piramid dan hostel tersedia dengan kelengkapan penuh seperti penyaman udara dan TV," ujarnya.
Aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah bermain basikal, ATV dan papan luncur. Si cilik pula boleh mandi kolam dan bermain dengan haiwan jinak di zoo mini di sana.
"Jangan lupa singgah kebun lebah kelulut untuk melihat lebih dekat penghasilan madu segar," katanya.
#rekreasipilihan
TIADA siapa yang ingin melepaskan peluang untuk menikmati durian secara percuma.
Tambah menarik sekiranya dapat berkhemah sambil menikmati raja buah itu bersama keluarga tersayang.
Itu sebab Durian_EcoLodge yang terletak di Negeri Sembilan menjadi destinasi tumpuan ramai sebaik dibuka kepada orang ramai.
Carian SinarPlus mendapati, terdapat beberapa lagi destinasi yang menonjolkan keunikan sama. Berikut empat lokasi disenarai pendek:
Rasa Durio Eco Glampz
Alamat: Lot 481, Jalan Ampang Pecah Rasa, Kuala Kubu Baru, Selangor
Waktu operasi: 9.30 pagi hingga 4 petang
Pakej: Bermula RM78
Aktiviti: Jelajah kebun, menoreh getah dan aktiviti air
Facebook: Rasa Durio Eco Glampz
Dusun Lata Bayu Campsite
Alamat: Lata Bayu, Baling, Kedah
Waktu operasi: 24 jam
Pakej: Bermula RM50
Aktiviti: Makan buah durian, barbeku dan
mandi sungai
Facebook: Dusun Lata Bayu Campsite
Kebun Kita
Alamat: 8-105, A133, Sungkai, Perak
Waktu operasi: 24 jam
Pakej: Bermula RM180
Aktiviti: Water rafting, tubing, mandi sungai, kolam renang, berbasikal
Facebook: KEBUN KITA.my
Instagram: @kebunkita.my
Greenstone Campsite
Alamat: Ulu Kongsor, Padang Rengas, Perak
Waktu operasi: 24 jam
Pakej: Bermula RM30
Aktiviti: Waterfall abseiling, mandi sungai dan barbeku
Facebook: GreenStone Campsite
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang