TATKALA penulis menjengah masuk rumah usang yang dihuni Mahani Moktar, wanita itu agak malu-malu. Perasaan rendah diri menguasai dirinya.
"Maaflah rumah bersepah sedikit. Nak mengemas dan mop lantai pun tak sempat bila suami asyik panggil saja.
"Dia tak boleh kalau nampak saya ‘hilang‘ sekejap, pasti terjerit-jerit panggil emak...emak...emak tanpa henti."
Demikian kata ibu anak enam itu ketika menerima kunjungan SinarPlus bersama Adun Ijok, Jefri Mejan baru-baru ini.
Dengan kudrat yang tidak seberapa, wanita berusia 68 tahun itu dilihat tetap gigih menjaga suaminya yang terlantar akibat strok tanpa mengira waktu.
Terbaring lemah di atas katil mudah alih yang diletakkan di ruang kecil di penjuru rumah, bebola mata lelaki kurus itu tepat memandang kesemua tetamunya tanpa sebarang kata-kata.
Beritahu Mahani, suami tersayang, Sulaiman Taib sudah tidak mampu bangun dan berjalan, waima menguruskan diri selepas lumpuh separuh badan sejak empat tahun lalu.
Lebih menyedihkan, daya ingatan lelaki berusia 72 tahun itu juga semakin hari semakin pudar dan kelakuannya tidak ubah seperti anak kecil.
Itu sebab beliau memanggil Mahani ‘emak‘.
"Suami saya akan menangis secara tiba-tiba, nampak resah dan menjerit jika ditinggalkan seorang diri.
"Kalau saya mahu mengemas rumah atau ke dapur sekali pun, tangan suami akan pegang baju atau kain supaya saya tak pergi jauh.
"Jadi, saya jadi serba salah. Kadang-kadang, saya tunggu suami tidur dahulu, barulah boleh buat kerja rumah," ujarnya yang menetap di Jalan Dato Karjan, Bukit Badong, Ijok, Selangor.
Imbau Mahani, insiden suami terjatuh ketika bersarapan pagi pada empat tahun lalu membuatkan putaran hidup lelaki itu berubah secara total.
"Saya masih ingat, masa itu suami sedang makan dan secara tiba-tiba dia menjerit dan beritahu tangannya tak boleh bergerak. Semuanya terjadi sekelip mata sebelum dia terjatuh.
"Pada mulanya, saya sangka dia bergurau dan sengaja buat tangannya keras, tapi rupa-rupanya dia betul-betul diserang strok. Kebetulan anak ada sekali, jadi kami bergegas bawanya ke Hospital Sungai Buloh," ceritanya.
Sejak dari detik itu, separuh badan sebelah kanan Sulaiman lemah sehinggakan tidak boleh lagi mencari nafkah sebagai pekerja kebun kelapa sawit yang menjadi mata pencarian utama keluarga itu.
Rindu anak
Ujar Mahani, meskipun harapan untuk melihat suami kembali sihat semula agak tipis, namun dirinya tetap kuatkan semangat untuk terus mendapatkan rawatan di hospital untuk Sulaiman.
"Suami masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh, manakala pemeriksaan MRI (pengimejan resonans magnet) pula dilakukan di Hospital Selayang untuk masalah saraf pada otak.
"Dia juga bergantung dengan ubat supaya keadaannya tidak serius. Cuma apa yang buat saya risau adalah kos ulang-alik ke dua hospital setiap bulan agak membebankan. Suami saya turut memerlukan lampin pakai buang untuk dipakai sepanjang masa," katanya.
Mahani mengakui menerima bantuan bulanan kerajaan dan duit daripada anak-anak yang bekerja kampung, tetapi ia masih tidak mencukupi.
"Kalau ada orang sudi bantu kami, saya amat mengalu-alukan. Kalau diikutkan, duit yang ada memang tak cukup. Lebih-lebih kos barang dapur semakin mahal sekarang ini.
"Saya nak bekerja cari duit pun sudah tak larat dah. Kepada yang sudi hulurkan pertolongan, hanya ALLAH sahajalah yang dapat membalas jasa semua," ungkapnya dengan penuh berharap.
Baca juga Sudah terlantar atas katil sejak 21 tahun lalu, ibu ini mohon belikan kerusi roda
Selain keperluan tersebut, Mahani yang juga menderita penyakit darah tinggi, kolesterol dan kencing manis mengungkapkan satu hal yang mengejutkan kami.
Beritahu beliau, anaknya yang bernama Shamsiah didakwa menghilangkan diri ketika berusia 17 tahun.
"Sampai sekarang, saya belum dapat bertemu dengan Shamsiah. Sebelum ini anak-anak pernah mencari dan katanya sudah berkahwin. Namun, sehingga kini saya belum ada rezeki nak jumpa dia.
"Bukan apa, saya dan suami tak tahu lagi sampai bila boleh hidup. Kalau dapat jumpa sekali, dapatlah nak lepaskan rindu. Suami walaupun sudah tak ingat, tapi mesti dia pun mahu tatap muka anak sendiri," tuturnya dengan nada sebak.
Berbalik kepada kisah penderitaan Sulaiman, kepada orang ramai yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12083020258809 atas nama Mahani Binti Moktar.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang