Sudah terlantar atas katil sejak 21 tahun lalu, ibu ini mohon belikan kerusi roda

HANYA satu doa yang dipanjatkan Siti Zubaidah Mohd Ali kepada-NYA setiap hari.

Beliau dengan penuh pengharapan mahu dirinya diberi kekuatan dan kesihatan yang baik untuk menjaga puteri bongsu tersayang terlantar, Nur Athirah Najihah Ibrahim.

Meskipun wanita itu sendiri menderita sakit buah pinggang tahap 5 dan turut mengalami pendarahan pada saraf belakang mata yang boleh mengakibatkan hilang penglihatan, namun bagi beliau, Nur Athirah lebih penting.

Beritahu Siti Zubaidah, puterinya sudah terlantar lebih 20 tahun akibat penyakit meningitis.

Meningitis adalah situasi serius yang menyebabkan lapisan pada sekitar otak dan sumsum tulang belakang mengalami peradangan.

anak lumpuh

Pada usia sembilan bulan lagi, pakar terpaksa membuang kesemua bahagian otak kiri Nur Athirah bagi mengelak jangkitan lebih buruk.

Dengan kuasa ALLAH, remaja itu masih bernafas sehingga saat ini.

Namun, pada usia 21 tahun, beliau masih lagi tidak mampu bergerak. Mengurus diri sendiri, jauh sekali. Senang kata, semuanya mengharapkan kudrat Siti Zubaidah.

Mengimbau bagaimana detik awal anaknya ditimpa penyakit tersebut, wanita itu berkata, ia bermula apabila Nur Athirah dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan kerana demam panas.

anak lumpuh

“Sebelum itu, puas mak cik pergi ke klinik cari ubat, tapi semuanya tak berkesan. Bila doktor pakar maklum bahawa sebenarnya dia terkena jangkitan kuman di dalam otak, saya sangat terkejut,“ ceritanya yang menetap di rumah sewa di Desa Rebana, Machang.

Baca juga Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia

Di HUSM, satu pembedahan mengejut dijalankan. Meskipun operasi menakutkan itu berjalan dengan lancar, Siti Zubaidah berkampung selama lebih dua tahun di hospital.

Hari demi hari dilalui dengan tabah. Kata Siti Zubaidah, selepas itu, Nur Athirah membesar saling tidak tumpah seperti bayi.

anak lumpuh

“Setiap hari selepas mak cik uruskan makan dan minum, dia hanya boleh ketawa atau tersenyum jika diagah.

“Bila dia sakit pada bahagian kepala, dia akan menangis tanpa henti, berpeluh kepalanya sampai basah tilam. Masa itu mak cik pun menangis sekali sebab tak boleh nak buat apa-apa,“ ujarnya.

Keperluan kerusi roda

Kepada satu soalan, Siti Zubaidah memberitahu, pelbagai prosedur atau proses penyembuhan baik dari segi perubatan moden atau tradisional sudah tidak berkesan lagi.

Pembedahan juga pun tidak memberi impak yang positif.

anak lumpuh

Buat masa ini, suri rumah itu berusaha melaksanakan perubatan alternatif bagi mengurangkan rasa sakit Nur Athirah.

Akui Siti Zubaidah, usia yang semakin lanjut menyaksikan tenaganya semakin berkurangan.

Baca juga Kerap terputus bekalan susu anak, suami buta sebelah mata, wanita ini mohon simpati ramai sempena Ramadan penuh barakah ini

Iklan

“Mak cik sudah tak larat sangat nak angkat atau papah Nur Athirah setiap kali nak mandi atau bawa ke katil. Kalau ada kerusi roda, sangat-sangat membantu.

“Lagi pun mata mak cik ini bukannya boleh nampak sangat, ini pun samar-samar saja,“ katanya yang kematian suami akibat serangan sakit jantung pada 1 Januari 2010.

anak lumpuh

Meski memiliki tiga anak, wanita cekal itu memilih untuk duduk berdua dengan anak istimewanya.

Walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 sebulan, ia hanya cukup-cukup menampung kos sewa dan pembelian lampin pakai buang Nur Athirah.

Baca juga Anak lumpuh, suami strok. Zawani dah tak fikir soal makan sedap ketika berbuka, kesihatan keluarga lebih utama

“Mak cik sendiri pun perlu ke hospital untuk pemeriksaan susulan buah pinggang dan mata. Doktor minta buat pembedahan sebab mata sudah teruk, tapi memikirkan siapa nak jaga Nur Athirah, mak cik tangguhkan dulu.

anak lumpuh

Iklan

“Kata doktor, masalah mata mak cik ini disebabkan selalu sangat menangis dan buat kerja berat. Nak buat macam mana, mak cik sedih bila mengenangkan bagaimana masa depannya nanti,“ luahnya penuh sayu.

Sempena bulan yang penuh berkat ini, Siti Zubaidah sangat mengharapkan ihsan orang ramai untuk membantu memberi sumbangan cukup sekadar membeli makanan dan stok keperluan lampin Nur Athirah.

Baca juga Hanya sedar kehadiran ibu jika tangan atau kaki sentuh. Penderitaan adik Mell bikin ramai tersentuh

“Semua itu sudah memadai. Mak cik tak kisah dengan diri mak cik. Bagi mak cik yang penting ialah Nur Athirah. Biarlah mak cik tak makan sekali pun, asalkan perut anak kenyang,“ tuturnya penuh sebak.

Kepada pembaca SinarPlus yang ingin membantu nasib dua beranak itu, sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan terus ke akaun Agrobank 2006672000092426 atas nama Siti Zubaidah Binti Mohd Ali.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.