Penyanyi era 90-an, Along Spoon dibunuh disumbat dalam guni 23 tahun lalu, pembunuhnya kini terlepas hukuman penjara sepanjang hayat
BEKAS anggota polis, Mohamed Ya’cob Demyati yang membunuh penyanyi kumpulan Spoon era 90-an, Allahyarham Along terlepas hukuman penjara sepanjang hayat selepas Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini, meminda hukuman tersebut kepada penjara 33 tahun.
Keputusan sebulat suara diputuskan panel lima hakim, diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas membenarkan permohonan semakan Mohamed Ya'acob, 57 selaku pemohon.
Menurut media tempatan, berikut fakta kes;
1. Tengku Maimun berkata, mahkamah menggantikan hukuman berkenaan bermula dari tarikh tangkap pada 4 Januari 2000 beserta sebatan. Ini bermakna pesalah lelaki itu telah menjalani hukuman di Penjara Kajang lebih 23 tahun.
2. Bagaimanapun, Mohamed Ya'acob terlepas hukuman sebatan kerana dia telah berusia lebih setengah abad.
3. Berdasarkan Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah 2007, pesalah wanita, individu yang dijatuhi hukuman mati dan pesalah berumur lebih 50 tahun, tidak boleh dikenakan sebatan.
4. Selain Tengku Maimun, turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Nordin Hassan serta Datuk Abu Bakar Jais.
5. Pengantian hukuman tersebut dibuat susulan Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023 dikuat kuasakan, empat bulan lalu.
6. Pada 2 November 2010, Mohamed Ya'cob kekal dihukum gantung atas kesalahan membunuh Along atau nama sebenarnya Sabi'ul Malik Shafiee setelah rayuan akhirnya ditolak Mahkamah Persekutuan.
Baca juga Suami sanggup lafaz taklik, cerai isteri vaksin Covid-19, peguam nasihat segera ke mahkamah syariah
[caption id="attachment_118667" width="800"] Kredit foto: Freepik[/caption]
7. Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi memutuskan demikian setelah berpuas hati bahawa keterangan ikut keadaan yang disandarkan pendakwa raya ialah kukuh untuk mensabitkan perayu atas tuduhan berkenaan.
8. Mahkamah ketika itu sebulat suara berpendapat, keterangan-keterangan tersebut juga mencukupi untuk menolak andaian kononnya penyanyi kumpulan remaja itu diculik dan dibunuh oleh individu lain.
9. Ini kerana Mohamed Ya'acob merupakan orang terakhir dilihat bersama Along pada malam kejadian manakala penemuan mayat mangsa dalam guni di tempat yang sama mereka ditinggalkan, menguatkan lagi kes pendakwaan.
10. Sehubungan itu, Zaki yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong berpuas hati bahawa tiada sebab bagi panel tersebut menolak penemuan hakim bicara ketika mensabitkan perayu.
Baca juga Ceritera Hafidzah Hassan luar mahkamah
11. Dengan itu, panel berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan pada 10 April 2002 yang mensabitkan anggota polis tersebut serta Mahkamah Rayuan yang mengekalkannya pada 29 Ogos 2008.
12. Mengikut pertuduhan Mohamed Ya'acob yang merupakan bertugas di cawangan pengawal pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dituduh membunuh Sabi'ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada jam 1 pagi, 26 Disember 1999.
Sebelum ini, Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999. Polis kemudian menjumpai rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!