PELAKON dan usahawan, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal menjadi inspirasi warga maya selepas menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,015,000.
Aeril menerusi laman sosial Instagram menjelaskan pihaknya membayar RM1.15 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan ia adalah hasil perniagaan tahun ini.
"Alhamdulillah, ini kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kami bersyukur atas nikmat dan rezeki yang tidak pernah putus daripada ALLAH SWT.
"Ini juga berkat sokongan tanpa henti daripada semua pihak dan pelanggan setia kami. Semoga 2024 dan tahun seterusnya akan menjadi tahun yang lebih baik lagi buat kita semua," katanya.
Tambah Aeril, zakat yang dikeluarkan itu diharap dapat membantu golongan yang memerlukan.
"Dalam rezeki kita, insya-ALLAH ada rezeki orang lain juga. Semoga ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Saya percaya, LZS adalah agensi terbaik dalam menguruskan perkara ini," kongsi Aeril.
Sementara itu, Wawa pula menitipkan kesyukuran selepas selesai melaksanakan rukun Islam keempat itu.
Baca juga: 'Sebahagian hasil ini kita derma ke Palestin.' Aeril Zafrel jual Lamborghini
Teruja melihat angka besar pada cek yang diserahkan Aeril kepada LZS, warga maya menzahirkan rasa bangga pelaksanaan tanggungjawab oleh pelakon itu dan menjadikan ia sebagai inspirasi.
-"Barakallah, Zakat harus diuar-uarkan, moga ALLAH kayakan legasi Wawa dan Aeril dab pelihara segalanya, @aeril_zafrel." - PU Amin
-"Bayar zakat 1 juta lebih, yang ni nak flex tak apa sebab boleh bagi inspirasi kepada usahawan lain untuk kerja kuat lagi supaya boleh bayar zakat banyak macam ni. Moga terus sukses Aeril dan Wawa!"
-"Alhamdulillah Ini lah keperluan umat Islam tu kaya, boleh membantu umat Islam yang lain dalam bentuk zakat."
-"Alhamdulillah., jaga agama ALLAH, ALLAH jaga rezeki kita. Terima kasih tunjuk contoh yang baik kepada orang Islam."
Baca juga: Bil RM10,000 Aeril Zafrel makan di restoran Salt Bae, netizen samakan hantaran
Tahun lalu, Aeril Zafrel meraih penghargaan daripada LZS kerana melaksanakan bayaran zakat melebihi RM50,000.
HIKMAH MENUNAIKAN ZAKAT PERNIAGAAN
1-Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada yang melibatkan barangan atau perkhidmatan.
2-Zakat perniagaan merupakan suatu tanggungjawab yang wajib ditunaikan ke atas mereka yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
3-Firman ALLAH SWT yang bermaksud:
"(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati ALLAH , dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” [Surah Al-Nur (24): 37]
4-Anas RA meriwayatkan bahawa Abu Bakar RA menetapkan baginya apa yang difardukan oleh Rasulullah SAW: Dan jika sesuatu harta berkongsi bercampur oleh dua orang, maka keduanya saling mengeluarkan zakat dengan adil (sesuai dengan kadar atau bahagian masing-masing). [HR Bukhari]
5-Syarat wajib zakat perniagaan
-Muslim. Jika perniagaan mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang Islam sahaja yang dikenakan zakat.
-Sempurna milik. Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.
-Cukup nisab. Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.
-Cukup haul. Genap setahun perniagaan. Penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.
-Niat Berniaga. Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.
-Barang perniagaan dan perkhidmatan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir atau perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.
Sumber: Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Instagram Aeril Zafrel
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!