Gaya hidup dan permakanan buruk cetus apendiks, pembedahan elak komplikasi

Iklan
7D62D720-B295-4BEA-9E4C-76C3E17F43B2

SEJAK dahulu lagi, kita sering diberi gambaran kononnya makan cili atau sambal terlalu pedas akan membuatkan kita mendapat apendiks.

Natijahnya, terdapat segelintir yang mendengarnya takut menyentuh makanan jenis itu.

Iklan
Iklan

Namun, benarkah kenyataan tersebut atau sekadar usikan manja sahaja?

Sebelum pergi jauh, kenali dahulu apa itu apendiks atau appendicitis dari sudut perubatan?

Iklan

Ia merupakan satu organ seakan kantung yang terkeluar daripada kolon di bahagian bawah dan kanan abdomen manusia.

Iklan

Menurut jurnal yang diterbitkan Biomedical Central, kira-kira 233 daripada setiap 100,000 populasi dunia mempunyai kebarangkalian antara 6.7 hingga 8.6 peratus untuk berdepan penyakit tersebut.

Secara spesifiknya, di Amerika Syarikat, apendiks adalah penyebab paling biasa sakit perut akut itu yang memerlukan pembedahan.

Daripada data yang dikongsikan National Institute of Diabetes and Digestive & Kidney Diseases, kira-kira 5 hingga 9 daripada setiap 100 orang berisiko mengalaminya.

"Kaum lelaki yang paling banyak menderita berbanding wanita. Ia lebih kerap berlaku pada orang yang berumur belasan dan 20-an, tetapi ia mungkin terjadi daripada pelbagai peringkat usia termasuk orang dewasa yang lebih tua.

"Ini bermakna sesiapa sahaja boleh dijangkiti dan tiada langkah pencegahan awal yang boleh diambil," kata sumber kesihatan berprestij itu.

Bagi mengulas lebih lanjut mengenai apendiks, SinarPlus menghubungi Pegawai Perubatan dan Pengarah Urusan Bersama Klinik Primer Cherang Kuala Terengganu, Dr Muhammad Hanif Che Mahdi.

Menurut Dr Muhammad Hanif, berdasarkan kajian terkini, apendiks dilihat bertindak sebagai sistem imun badan yang menentang jangkitan penyakit.

Ini kerana terdapat banyak salur limfa yang berupaya menghasilkan antibodi pada organ tersebut.

Mengapa keradangan apendiks berlaku? Jelas beliau, ia adalah rentetan daripada salur organ yang tersumbat dan dijangkiti kuman.

"Penyumbatan sangat mudah berlaku kerana ia hanya mempunyai satu laluan masuk dan keluar. Gumpalan bendasing, makanan atau najis adalah antara bahan yang boleh menutup laluan tersebut," terangnya.

Gaya hidup

Untuk penjelasan lanjut, SinarPlus turut merujuk penulisan Cleveland Clinic. Mereka menghuraikan secara terperinci mengapa apendiks boleh menghantui sesetengah orang. Antaranya:

i) Najis yang mengeras: Mendapan najis yang keras boleh menyebabkan batu apendiks tersekat pada bukaan apendiks. Ia boleh 'membawa' bakteria dan juga boleh memerangkap bakteria yang sudah ada di dalam apendiks seseorang.

ii) Hiperplasia limfoid: Sistem limfa merupakan sebahagian daripada sistem imun yang membantu melawan jangkitan dengan menghasilkan dan melepaskan sel darah putih ke dalam tisu. Ini boleh menyebabkan tisu limfoid pada apendiks pesakit membengkak, walaupun apabila jangkitan asal berada di tempat lain di dalam badan. Tisu yang bengkak pada apendiks boleh menghalangnya dan membawa kepada jangkitan di dalamnya.

iii) Colitis: Keradangan pada kolon boleh menjejaskan apendiks. Jangkitan mungkin merebak.

iv) Tumor, parasit dan cystic fibrosis.

Menjawab kepercayaan orang zaman purbakala kononnya cili termasuk jambu batu boleh mendorong kepada apendiks, Dr Muhammad Hanif menafikannya.

Pun demikian, faktor pemakanan dan gaya hidup adalah antara punca kepada penyakit berkenaan.

Seperkara, krisis kesihatan itu juga tidak mempunyai perkaitan langsung dengan genetik.

"Jangkitan apendiks ini tidak sama seperti kanser yang memiliki hubung kait dengan sejarah keluarga atau keturunan.

Sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mempunyai risiko yang sama untuk mengalami penyakit tersebut,” katanya sambil menambah, ibu hamil juga boleh mengalami radang apendiks secara tiba-tiba.

Kepada para perokok, anda perlu tahu bahawa tabiat merokok boleh mengganggu sistem imun, sekali gus menyebabkan ketahanan tubuh untuk melawan jangkitan menjadi rendah.

Justeru, tidak mustahil penyakit itu boleh melanda anda pada bila-bila masa-masa.

Dalam pada itu, Cleveland Clinic menyenaraikan perbezaan antara apendiks akut dan kronik.

i) Apendiks akut: Ia tercetus secara tiba-tiba dan bertambah teruk dengan cepat. Simptom awal yang biasa dialami pesakit adalah rasa sakit di sekitar kawasan pusat yang akan bergerak ke bahagian bawah kanan abdomen.

ii) Apendiks kronik: Sangat jarang berlaku dan tidak banyak yang diketahui tentangnya. Pesakit akan mengalami kesakitan yang lebih ringan yang berlarutan sehingga berbulan-bulan atau mungkin untuk beberapa tahun. Kualiti hidup boleh terjejas sekiranya mereka yang mengalami apendik kronik tidak mendapatkan perawatan segera.

baca juga: Dimasukkan ke hospital kerana apendiks, Jimin positif Covid-19

Menyentuh tentang apendiks akut, Dr Muhammad Hanif mengambil contoh jika keadaan itu menimpa kanak-kanak.

Lazimnya, kata beliau, si kecil akan mengadu mengalami kesakitan yang melampau sehingga tidak mampu berjalan secara tegak.

Antara simptom-simptom yang boleh dilihat secara jelas ke atas pesakit adalah seperti berikut:

i) Sakit perut yang berterusan (bahagian bawah abdomen sebelah kanan).

ii) Demam melebihi 38 darjah Celsius.

iii) Loya, cirit-birit dan muntah.

iv) Terdapat darah dalam air kencing.

Seperti yang dinyatakan oleh Cleveland Clinic, kesakitan yang dialami akan datang dengan cepat dan kritikal lebih-lebih jika pesakit bergerak dan menarik nafas panjang.

Dr Muhammad Hanif turut selari dengan pandangan itu.

Untuk ujian pemeriksaan pula, National Health Service United Kingdom membentangkan beberapa metode yang selalu dilaksanakan. Antaranya:

i) Ujian darah untuk mengesan tanda-tanda jangkitan.

ii) Ujian kehamilan untuk wanita.

iii) Ujian air kencing untuk mengesan jangkitan pada pundi kencing.

iv) Imbasan ultrasound untuk mengesan apendiks yang bengkak.

v) Imbasan Tomografi Berkomputer

Laparoskopik

Untuk menjawab tentang rawatan untuk apendiks, SinarPlus menemui Pakar Bedah Am, KPJ Selangor Specialist Hospital, Dr Atiki Falparado Ahmad.

Dr Atiki berkata, sebaik diagnosis dijalankan, biasanya pembedahan membuang organ bermasalah yang mengalami pembengkakan atau iritasi akan terus dijalankan.

"Bagi mengelak komplikasi menjadi lebih buruk, pembedahan adalah kaedah rawatan terbaik. Kepada pesakit yang tidak sesuai menjalani prosedur tersebut, mereka akan diberikan antibiotik sebagai alternatif.

Sebagai contoh, golongan yang sudah terlalu tua dan berisiko tinggi seperti mempunyai latar belakang sakit jantung,kencing manis, lelah dan kegagalan buah pinggang boleh mengalami keadaan jantung terhenti sekiranya dibius," katanya.

Kepada satu soalan, Dr Atiki berkata, rawatan terkini apendiks lebih terkehadapan apabila dunia perubatan diperkenalkan dengan pembedahan tebuk lubang atau laparoskopik.

"Kaedah tersebut menjadi pendekatan pilihan dalam kebanyakan prosedur perawatan perut termasuk apendiks ini.

Lazimnya tiga tebukan kecil akan dilakukan pada bahagian bawah abdomen.

"Pakar bedah akan memasukkan instrumen pembedahan melalui hirisan tersebut dan pembuangan apendiks akan dijalankan menggunakan imej daripada laparoskop," katanya.

Beritahu pakar tersebut, penyembuhan daripada pembedahan minimal invasif itu adalah lebih cepat kerana ia melibatkan luka yang sangat kecil iaitu kurang daripada 1.5 sentimeter.

Selain mengurangkan risiko komplikasi, ia juga tidak memerlukan pesakit untuk tinggal lama di hospital, kurang sakit dan lebih cepat sembuh.

Bagaimana pula jika pesakit apendiks adalah dalam kalangan wanita hamil?

Menjawab soalan itu, Dr Atiki berkata, nyawa ibu adalah lebih penting berbanding janin yang dikandung. Itulah hakikat yang sukar untuk ditangkis.

Jelas beliau, pembedahan akan dilaksanakan, namun si ibu akan dimaklumkan tentang risiko keguguran sebelum itu.

"Apa yang saya boleh katakan, situasi apendiks pecah atau bernanah adalah lebih memudaratkan," ungkapnya.

Menurut Dr Atiki, seorang manusia hanya mempunyai satu struktur apendiks.

Pun demikian, mereka yang telah menjalani pembedahan membuang organ tersebut mungkin akan mengalami jangkitan berulang.

"Sekiranya bahagian apendiks itu tidak dibuang sepenuhnya, baki organ yang tinggal masih berisiko untuk mengalami radang," terangnya.

Pakar itu menambah, pesakit yang menjalani pembedahan tiada halangan untuk menjalani aktiviti harian seperti memandu, berjalan, menaiki tangga dan tidak perlu berbaring di katil seperti pesakit kanser.

Cuma nasihat beliau, individu tersebut perlu mengurangkan dahulu aktiviti lasak seperti mendaki, berenang atau joging.

Kepada kami, pakar itu meluahkan kekesalannya apabila masih lagi terdapat individu yang memilih untuk pergi mengurut kerana beranggapan sakit perut yang ditanggung berpunca daripada masalah angin.

"Tindakan membahayakan itu menyebabkan apendiks berkemungkinan pecah, bocor, kontaminasi kuman dan seterusnya kematian,” ujarnya.

Baca juga: Biji cili punca seseorang mendapat sakit apendiks, betul atau karut?

ANEKDOT

PERBEZAAN antara apendiks dan gastrik:

Gejala apendiks:

i. Kesakitan tertumpu pada bahagian bawah kanan abdomen.

ii. Gejala semakin teruk apabila bergerak, menarik nafas, bersin atau batuk.

iii. Berlaku secara tiba-tiba.

iv Kesakitan yang teramat sangat dan tidak pernah dialami pesakit.

v. Kesakitan yang diiringi gejala lain seperti demam, hilang selera makan, muntah dan cirit-birit.

Gejala gastrik:

i. Kesakitan boleh berlaku pada mana-mana bahagian abdomen termasuk dada.

ii. Membuang angin lebih 13 hingga 21 kali dalam sehari dan kerap sendawa.

iii. Kesakitan beransur hilang selepas beberapa minit atau jam.

iv. Gastrik boleh sembuh tanpa rawatan.

Sumber HEALTHLINE DAN MEDICAL NEWS TODAY

baca juga:Makan cili boleh sebabkan punca apendiks? Ini yang anda perlu tahu

Koresponden

NUR NADIA Fatin Wahab tidak terfikir langsung sakit perut yang dialaminya merupakan simptom awal beliau menderita penyakit apendiks.

Pada awalnya, ibu kepada seorang cahaya mata itu hanya menyangkakan dirinya menderita gastrik.

"Ubat gastrik sudah saya makan, begitu juga dengan ubat tahan sakit. Kalau diikutkan, saya memang ada sejarah penyakit gastrik dan sembelit.

"Mula-mula kesemua ubat yang nyatakan tadi okey, tetapi lama kelamaan, kesakitan pada bahagian perut semakin mencengkam," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tidak mahu keadaannya semakin melarat, Nur Nadia Fatin terus ke klinik.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati selama ini gejala yang dialaminya bukanlah disebabkan gastrik.

"Bila doktor tekan pada perut sebelah kanan, sakitnya memang tak terkata. Sampai keluar air mata dibuatnya.

Doktor yang merawat saya kemudian menyarankan saya agar terus ke hospital untuk pemeriksaan dan pengesahan lanjut," ujarnya.

Apabila ujian klinikal terhadap sampel darah dijalankan, menghadirkan lagi kejutan buat wanita berkenaan.

Kali ini, pakar mengesan terdapat organ di dalam badannya yang mengalami pembengkakan.

Itu sekali gus membuktikan bahawa diagnosis awal doktor adalah tepat. Salur apendiksnya berdepan dengan masalah yang perlu penyelesaian segara.

"Saya terima dengan hati terbuka apabila doktor menasihatkan saya supaya menjalani pembedahan kecemasan pada malam hari yang sama.

"Ia (pembedahan apendiks) perlu dilakukan segera bagi mengelakkan jangkitan atau radang menjadi lebih teruk dan memudaratkan saya," ungkapnya.

Menerusi prosedur itu, tiga tebukan kecil telah dilakukan pada bahagian abdomen sebelah kanan. Seperti yang dimaklumkan pakar, pendekatan tersebut adalah adalah selamat dan tidak memakan masa yang lama, kongsi Nur Nadia Fatin.

Selepas fasa yang agak menakutkan itu berlalu, wanita berusia 31 tahun itu berkata, beliau semakin berhati-hati dalam pengambilan makanan.

Pun demikian, beritahu beliau, doktor tidak menyatakan sebarang pantang larang dalam diet pemakanan.

"Saya hanya diminta tidak melakukan kerja-kerja berat selama beberapa bulan bagi memastikan luka saya dapat sembuh dengan baik. Alhamdulillah, kini saya meneruskan aktiviti harian seperti biasa dan sudah kembali bekerja," katanya dengan nada gembira.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang