Rumah kayu atas pokok, keunikan Rainforest Tree House jadi tarikan di Kulai, Johor

Iklan
Rainforest Tree House

KEINGINAN untuk mengembalikan zaman kanak-kanak membuatkan Tan Yong Yeow mewujudkan Rainforest Tree House berkonsepkan rumah kayu yang terletak di Jalan Air Terjun, Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai, Johor.

Lelaki berusia 40 tahun itu berkata, dia menggunakan sepenuhnya pengalaman bekerja sebagai pemandu pelancong dan pengurusan sebuah ladang organik bagi membangunkan destinasi percutian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Iklan
Iklan

Untuk merealisasikan Rainforest Tree House, Yong Yeow menggunakan khidmat Orang Asli yang tinggal berdekatan di premis itu untuk membina rumah kayu terpakai berbumbungkan daun bertam.

"Kepakaran mereka amat diperlukan kerana rumah berkenaan terletak di atas pokok meranti setinggi dua meter. Strukturnya amat kukuh dan tiada apa yang perlu dirisaukan.

Iklan

"Sebaliknya, saya pasti pengunjung akan teruja apabila dapat melihat keindahan panaroma matahari terbenam dari tingkap bilik,” katanya yang memulakan operasi resort hutan berkenaan sejak 2014 lagi.

Iklan

Selain itu, Yong Yeow atau mahu disapa sebagai Ah Yao berkata, lokasinya yang berhampiran Air Terjun Gunung Pulai itu telah memberi tambah nilai kepada bisnesnya.

 

"Bila saya lihat kawasan ini, memori zaman kanak-kanak terus terimbau depan mata. Hutan pun tidak ditarah, air terjun terjaga dan hal itu menjadi tarikan kepada saya.

"Sebab itu apabila pemilik tanah buat tawaran sewa, saya terus rebut peluang itu tanpa fikir panjang. Paling penting, sepanjang pembinaan lima unit rumah di sini, saya tidak merosakkan ‘ketulenan’ pokok,” katanya.

Bercerita lanjut, menurutnya, bilik yang sentiasa menjadi rebutan di premisnya ialah Sunset Tree House yang boleh memuatkan lapan orang sekali gus.

Baca juga Bersantai di rumah atas pokok, Desa Tunas Hijau tawar penginapan premium buat ramai puas hati

Di situ terdapat pangkin jaring terbuka di tingkat paling atas dan biasanya menjadi port untuk pelanggannya melihat kehijauan alam di sekeliling.

Moonlight Tree House yang dilengkapi bumbung cermin gergasi pula memberi peluang kepada penghuni untuk menghayati ruang angkasa yang tersergam indah.

Screen Tree House juga mempunyai ruang cermin gergasi.

Mengenai kemungkinan diganggu haiwan liar, Yong Yeow berkata, premis tersebut sudah menyediakan tempat makan khas kepada habitat tersebut.

Baca juga Ambil masa 30 tahun ‘bina’ sendiri hutan tropika di belakang rumah. Usaha saintis ini bikin ramai ternganga

"Cuma nasihat saya, barang peribadi perlu disimpan rapi. Seperkara, saya nak maklumkan cuaca di sini agak dingin terutama pada waktu malam, jadi bersedialah dengan baju sejuk,” katanya.

Yong Yeow yang turut menetap di tapak tersebut juga menawarkan aktiviti lain yang boleh dilakukan pelancong, antaranya seperti mendaki Gunung Pulai, menjelajah ekosistem hutan dan mandi sungai.

"Apa yang saya boleh katakan, Rainforest Tree House merupakan destinasi paling sesuai untuk ibu bapa dan anak-anak yang mahu lari sekejap daripada kesibukan kota.

"Bebaskan diri anda daripada gajet kerana inilah lokasi untuk mengecas tenaga yang positif,” katanya yang turut menyediakan kafe khas.

Rainforest Tree House

Alamat: 25, Jalan Air Terjun, Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai, Johor

Waktu operasi: 24 jam

Pakej: RM128 hingga RM616 (dewasa) dan RM88 hingga RM140 (kanak-kanak)

Aktiviti: Mendaki gunung, jelajah ekosistem hutan dan mandi air terjun

Facebook: Rainforest Tree House

Instagram: @rainforesttreehouse

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang